Setiap kali menjelang Syawal atau pada bulan Ramadan, suasana dapur emak pasti riuh-rendah. Biasanya emak akan sibuk menyusun mangkuk tingkat, mengisinya dengan nasi ambeng, sambal goreng Jawa dan serunding kelapa yang masih panas. Anak-anak pula ditugaskan untuk menghantar juadah itu ke rumah jiran-jiran dan saudara-mara yang lebih tua. Itulah tradisi ‘munjung,’ satu amalan yang nampak ringkas, namun sarat dengan adab dan sifat hormat menghormati antara satu sama lain.

Secara tradisinya, munjung bermaksud menghormati atau menjunjung. Di sebalik sebekas makanan yang berpindah tangan, tersirat satu pesanan halus: “Dalam setiap rezeki kita, pasti ada rezeki untuk yang lain. Rezeki Allah sangat luas.” Ia juga bukan soal kenyangnya perut semata-mata, tetapi soal menghidupkan silaturahim yang semakin sepi akibat kesibukan kerja.

Namun, dalam kemajuan dunia digital hari ini, tradisi munjung seakan-akan semakin terpinggir. Ramai antara kita, terutama anak muda, lebih selesa sekadar menghantar ucapan melalui aplikasi WhatsApp atau memesan makanan melalui aplikasi penghantaran tanpa perlu bersua muka. Walaupun teknologi itu memudahkan, sebenarnya ia tidak mampu menggantikan keakraban sebuah pertemuan. Munjung sebenarnya adalah ‘asas adab’ yang paling berkesan. Melaluinya, anak-anak belajar cara memberi salam di rumah orang, cara bersalaman dengan orang-orang yang lebih tua dan cara berbual bertanya khabar serta berkomunikasi dengan penuh hikmah.

Tradisi ini sepatutnya terus subur dan berkekalan sama ada di luar atau di kawasan bandar. Kita tidak perlu memaksa diri menyediakan menu nasi ambeng jika tinggal di kawasan bandar kerana mungkin kesukaran untuk mendapatkan bahan-bahan tradisi nasi ambeng seperti contoh daun pisang dan lain-lain. Anak-anak muda masih boleh mengikut trend terkini menghantar munjung dengan sekotak pastri atau set kopi buat jiran sebelah rumah yang mungkin selama ini kita hanya nampak pagar rumahnya sahaja. Apa yang penting bukan isinya, tetapi amalan menegur dan beramah mesra sesama jiran tetangga dan sanak saudara. Ia mendidik supaya anak-anak menjadi individu yang tidak mementingkan diri sendiri atau hanya berkurung dalam rumah memegang telefon pintar tanpa mengendahkan komuniti sekeliling.

Namun, cabaran untuk mengekalkan tradisi ini sudah tentu ada. Sebagai contoh, ada antara kita yang mungkin menghadapi keterbatasan waktu untuk menyediakan dan menghantar juadah. Sebenarnya dengan teknologi serba canggih pada waktu ini, banyak cara seperti menempah makanan dalam talian boleh dilakukan. Ambil inisiatif untuk cuba menghantar sendiri juadah tersebut demi mengekalkan silaturahim sesama jiran dan sanak saudara. Selain itu, tidak semestinya menyediakan juadah yang dimasak sendiri kepada jiran tetangga atau rakan-rakan, menyediakan bag asas makanan kering juga antara usaha yang sesuai untuk golongan ‘emas’ yang mungkin sudah tidak berdaya memasak dan bergotong royong di dapur, namun masih mahu mengekalkan tradisi menghantar munjung. Sedikit sebanyak ia dapat melengkapkan keperluan barang dapur rumah yang menerima.

Dalam pada kita berusaha mahu menghidupkan semula tradisi ini, satu perkara yang perlu ditegaskan ialah munjung sesekali tidak seharusnya menjadi bebanan atau perlumbaan untuk menunjukkan kemewahan jenis makanan yang diberi. Kita tidak mahu tradisi murni ini akhirnya menyusahkan mereka yang kurang berkemampuan sehingga ada yang merasa rendah diri atau tertekan kerana tidak mampu menyediakan juadah yang mewah. Budaya masyarakat kita, amalan munjung dianggap sebagai tanda hormat dan perhatian antara satu sama lain. Namun, perlu difahami bahawa munjung tidak semestinya memerlukan balasan. Fokusnya adalah untuk mengekalkan silaturahim dan menunjukkan adab sopan, bukan untuk membalas budi atau menilai siapa lebih banyak memberi.

Biarlah munjung terus hidup bukan sekadar sebagai satu nostalgia dalam kotak kenangan kita saban tahun. Dalam dunia yang bergerak terlalu pantas, kita perlu berhenti sejenak dan meluangkan masa menghargai mereka yang lebih tua dan menyantuni jiran tetangga. Kerana pada akhirnya, apa yang akan dikenang bukanlah sedapnya lauk di dalam mangkuk tingkat, tetapi ingatan tulus dan senyuman ramah mesra yang kita tinggalkan di hadapan pintu rumah mereka.

Nurulisyazila binti Othaman

Guru Bahasa

Pusat Pengajian Bahasa

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Rencana ini juga diterbitkan di:

1. Berita Harian (muka surat: 13), 4 April 2026: Hidupkan tradisi ‘munjung’ kukuh ikatan kasih sesama insan 

 

2. Berita Harian (bharian.com.my), 4 April 2026: Hidupkan tradisi ‘munjung’ kukuh ikatan kasih sesama insan 

https://www.bharian.com.my/rencana/minda-pembaca/2026/04/1529218/hidupkan-tradisi-munjung-kukuh-ikatan-kasih-sesama-insan