Dalam mendepani badai gangguan teknologi dan dinamik landskap global yang pantas berubah, sistem pendidikan tinggi negara tidak lagi boleh sekadar berpeluk tubuh dan selesa di takuk lama. Perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI), peralihan kuasa ekonomi dunia, serta krisis kelestarian iklim menuntut satu anjakan paradigma yang berani, radikal dan mampan. Institusi menara gading tidak boleh lagi beroperasi secara konvensional jika ia mahu terus relevan menyumbang kepada pembinaan peradaban bangsa.

Menyedari realiti dan cabaran maha besar ini, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah tampil merangka Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPTM) 2026–2035. Perancangan strategik ini bukanlah sekadar satu kesinambungan dasar atau dokumen kosmetik, sebaliknya ia bertindak sebagai sebuah kompas baharu buat negara. Digubal secara holistik menerusi siri libat urus dan perundingan menyeluruh bersama lebih 8,000 pihak berkepentingan yang merangkumi pakar akademik antarabangsa, pemimpin industri, pendidik dan masyarakat awam. RPTM beriltizam untuk merombak ekosistem pendidikan tinggi secara tuntas agar lebih tangkas, inklusif dan gah di persada antarabangsa.

Melahirkan pembina negara, bukan sekadar kilang pencari kerja

Menariknya, anjakan paling utama dalam RPTM ini memfokuskan kepada perubahan falsafah pembentukan bakat. Pelan ini meletakkan sasaran untuk melahirkan graduan yang digelar sebagai “pembina negara.” Berpaksikan nilai teras falsafah MADANI, universiti tidak lagi dilihat beroperasi ibarat sebuah ‘kilang’ cetakan yang sekadar melahirkan pencari kerja untuk memenuhi lambakan kekosongan dalam pasaran industri semata-mata. Pendekatan usang ini terbukti tidak lagi mapan apabila bentuk pekerjaan masa hadapan sentiasa berubah-ubah.

Sebaliknya, RPTM bercita-cita besar untuk membentuk graduan bermentaliti “pencipta pekerjaan” yang kalis masa hadapan. Transformasi ini menuntut satu titik keseimbangan yang sangat kritikal iaitu antara penguasaan teknologi terkedepan dan pemupukan kecerdasan kemanusiaan. Graduan masa hadapan negara bukan sahaja diharap berkemahiran tinggi dalam perkomputeran awan atau automasi, tetapi mereka wajib sarat dengan nilai empati, etika moral yang utuh, serta kesedaran tinggi terhadap kelestarian alam dan kesejahteraan komunal sejagat.

Merombak ekosistem pembelajaran dan pendigitalan inklusif

Bagi menterjemahkan visi besar ini ke lantai realiti, RPTM telah menggariskan 10 lonjakan strategik yang saling melengkapi. Tumpuan awal disasarkan secara langsung kepada perombakan ekosistem pembelajaran dan bakat dengan penerapan pendidikan fleksibel di semua institusi pendidikan tinggi (IPT). Ini membawa maksud bahawa kurikulum tradisional yang tegar dan memakan masa bertahun-tahun akan melalui proses perungkaian. Model ini membolehkan pembelajaran sepanjang hayat diakses dengan lebih mudah melalui kelayakan mikro, lantas membuka pintu menara gading kepada segenap lapisan masyarakat tanpa mengira usia.

Inovasi pedagogi juga akan diperkukuh ke tahap maksimum, khususnya menerusi pengintegrasian kemahiran STEAM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni, dan Matematik) dan pemerkasaan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET). Segala penyampaian perkhidmatan dan pengajaran ini akan dikemudi oleh teknologi pintar dan pangkalan data raya, menjamin sistem yang telus, responsif, serta mesra dalam menyantuni keperluan kumpulan rentan dan Orang Kurang Upaya (OKU), memastikan tiada siapa yang terpinggir dalam revolusi pendidikan ini.

Autonomi bersepadu, kelestarian kewangan dan penyelidikan berimpak

Bagi menyokong kelangsungan agenda akademik yang bercita-cita tinggi ini, RPTM turut berani menyentuh urat nadi pengurusan melalui transformasi tadbir urus dan kelestarian kewangan. Pengurusan institusi akan beralih ke arah pembuatan keputusan yang dipacu sepenuhnya oleh data berserta kerangka perundangan yang lebih tangkas. Ini termasuklah perancangan kerajaan untuk memperkenalkan Akta Satu Pendidikan Tinggi (OHEA) yang bakal mengharmonikan dan memberikan lebih autonomi kepada institusi.

Dalam masa yang sama, IPT digesa untuk memecahkan tradisi dan keluar daripada kepompong kebergantungan penuh terhadap dana kerajaan. Institusi perlu mula menjana pendapatan sendiri dengan mengoptimumkan instrumen kekayaan alternatif yang kreatif seperti endowmen, wakaf, dan pelaburan strategik. Dari sudut intelektual pula, peranan IPT melonjak ke tahap yang lebih kritikal melalui inisiatif Penyelidikan, Pembangunan, Inovasi, Pengkomersialan, dan Ekonomi (RDICE). Setiap geran dan penyelidikan selepas ini wajib dipacu oleh penyelesaian masalah dan misi negara, bagi memberikan impak langsung kepada kelangsungan sosioekonomi rakyat serta agenda kesihatan bumi.

Transisi tiga gelombang: Cetus, Pacu dan Tingkat

Menginsafi bahawa reformasi berskala besar dan struktural sebegini memerlukan transisi yang cermat tanpa menjejaskan operasi sedia ada, fasa pelaksanaan RPTM telah disusun rapi menerusi tiga gelombang masa berturutan. Gelombang pertama yang bermula dari tahun 2026 hingga 2028, dikenali sebagai fasa “Cetus.” Fasa ini bertindak sebagai asas pelancaran, yang mana tumpuan jitu diberikan kepada usaha menyemak semula akta-akta berkaitan, pembinaan rangka kerja kepimpinan baharu dan penetapan mekanisme pemantauan prestasi yang ketat di peringkat akar umbi institusi.

Seterusnya, peralihan kepada gelombang kedua iaitu fasa “Pacu” bagi tempoh 2029 hingga 2031, memperlihatkan peluasan inisiatif reformasi secara lebih agresif. Pada tempoh ini, ekosistem pendidikan maya yang matang serta agenda pengantarabangsaan mula meletakkan IPT negara di posisi yang berdaya saing pada peringkat serantau. Akhir sekali, gelombang ketiga yang dinamakan fasa “Tingkat” (2032–2035) merupakan kemuncak kepada segala transformasi. Pelaburan strategik dan usaha keras sedekad ini dijangka membuahkan hasil yang lumayan, menobatkan Malaysia sebagai hab pendidikan global yang berprestij, sambil dipandu teguh oleh amalan kelestarian berstandard dunia.

Tuntasnya, perjalanan menelusuri naskhah RPTM 2026–2035 ini membuktikan manifestasi komitmen luar biasa kerajaan dalam menjajarkan semula kompas pendidikan tinggi agar terus relevan dengan ritma pemodenan masa kini. Gagasan ini tidak mungkin direalisasikan secara bersendirian. Menerusi sinergi yang utuh antara pembuat dasar, warga akademia, pemain industri dan masyarakat awam, pelan strategik ini diyakini mampu menjadi saksi kepada kebangkitan Malaysia sebagai sebuah negara pembina ketamadunan masa hadapan yang unggul dan disegani dunia.

 

 

 

Profesor Madya Ir. Ts. Dr. Saifulnizan Jamian

Jabatan Kejuruteraan Mekanikal

Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)