Institusi pendidikan tinggi (IPT) di Malaysia memasuki satu fasa baharu melalui pelaksanaan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035, yang menekankan transformasi pendidikan ke arah institusi yang lebih adaptif, berdaya tahan, berimpak dan mampan. Dalam landskap pendidikan tinggi yang semakin kompetitif, dipacu oleh pendigitalan, globalisasi dan jangkaan tinggi masyarakat, persoalan utama yang perlu diberi perhatian ialah bagaimana kualiti universiti dapat diperkukuh secara menyeluruh dan berterusan.

Hakikatnya, kualiti universiti tidak bermula daripada sistem, dasar atau dokumen semata-mata, tetapi daripada kualiti warga kerja yang menggerakkan institusi. Pensyarah, pegawai pentadbiran, staf sokongan, pengurusan dan semua warga kerja merupakan aset strategik yang menentukan keberkesanan pengajaran, penyelidikan, perkhidmatan dan tadbir urus universiti. Tanpa warga kerja yang berkualiti, sistem yang baik tidak akan mampu menghasilkan impak yang diharapkan kepada pelajar, masyarakat dan negara.

Lebih penting lagi, perlu difahami bahawa kualiti adalah tanggungjawab setiap individu. Ia bukan hanya terletak pada pihak pengurusan atasan atau unit tertentu, tetapi merupakan amanah bersama seluruh warga universiti. Setiap tindakan harian, setiap keputusan kerja dan setiap sikap profesional memberi kesan langsung kepada kualiti perkhidmatan, reputasi institusi serta impak universiti kepada pihak-pihak berkepentingan.

Dalam mengharungi tahun 2026 ini, setiap warga universiti wajar memperbaharui komitmen terhadap kualiti dan kecemerlangan institusi. Beberapa amalan utama berikut wajar dijadikan pegangan bersama dalam usaha memacu kualiti universiti:

  1. Menetapkan sasaran kerja yang selari dengan hala tuju universiti

Setiap warga universiti perlu menetapkan sasaran kerja peribadi yang jelas dan selari dengan hala tuju strategik dan objektif universiti. Sasaran yang realistik dan terukur akan memastikan setiap peranan menyumbang secara langsung kepada peningkatan kualiti pengajaran, penyelidikan, perkhidmatan pelajar dan tadbir urus.

Bagi pensyarah, sasaran ini boleh merangkumi peningkatan keberkesanan pengajaran, inovasi pedagogi atau penyelidikan berimpak. Bagi pegawai pentadbiran dan staf sokongan pula, ia boleh melibatkan peningkatan kecekapan perkhidmatan, pematuhan prosedur dan pengurusan sistem yang lebih tersusun. Apabila sasaran individu selari dengan matlamat institusi, universiti akan lebih berupaya memberi impak positif kepada pelanggan dan pihak berkepentingan, termasuk pelajar, ibu bapa, industri, masyarakat dan kerajaan.

  1. Mengamalkan budaya penambahbaikan kualiti

Universiti yang berkualiti dibina atas asas budaya penambahbaikan kualiti yang kukuh, disokong oleh warga kerja yang berfikiran kritikal dan bertindak sebagai penyelesai masalah, bukannya pencetus masalah. Setiap isu berkaitan akademik, pentadbiran, keselamatan, infrastruktur atau perkhidmatan perlu ditangani secara sistematik, berfakta dan berfokus kepada punca sebenar supaya penambahbaikan yang dilaksanakan benar-benar memberi nilai.

Budaya penambahbaikan kualiti ini merangkumi dua pendekatan utama. Pertama, penambahbaikan berterusan (Kaizen) yang menekankan peningkatan kecil tetapi konsisten dalam proses kerja harian, seperti pemantapan aliran kerja, pengurangan pembaziran dan peningkatan kecekapan. Kedua, penambahbaikan secara lonjakan (Kaikaku) yang melibatkan perubahan besar dan terancang, termasuk pendigitalan, automasi dan penggunaan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) bagi mencapai lonjakan prestasi yang ketara.

Apabila pendekatan Kaizen dan Kaikaku digabungkan dengan budaya penyelesaian masalah yang matang, universiti akan lebih berupaya meningkatkan produktiviti, mengurangkan kos dan ralat, serta mempercepatkan penyampaian perkhidmatan. Sekiranya warga universiti berdepan dengan isu di luar kawalan atau bidang kuasa sendiri, masalah tersebut hendaklah dilaporkan melalui saluran rasmi yang betul dan dimaklumkan kepada pihak berkaitan. Pendekatan ini mencerminkan nilai amanah, profesionalisme dan inovasi, di samping meningkatkan impak universiti secara menyeluruh.

  1. Pembelajaran berterusan, peningkatan kecekapan dan amalan profesional

Kualiti universiti tidak boleh dipisahkan daripada tahap kompetensi dan profesionalisme warganya. Justeru, pembelajaran berterusan perlu menjadi budaya kerja, di samping usaha meningkatkan kecekapan, kepantasan dan amalan bekerja secara profesional. Keupayaan warga kerja melaksanakan tugas dengan cekap, tepat dan berintegriti memberi kesan langsung kepada kualiti perkhidmatan serta impak universiti terhadap pihak berkepentingan.

Kecekapan dan profesionalisme ini perlu sentiasa dipupuk dan dibangunkan melalui latihan berterusan, pembangunan kompetensi, dan penguasaan teknologi digital. Apabila pembelajaran sepanjang hayat dan sikap profesional menjadi amalan harian, universiti akan lebih berupaya meningkatkan keupayaan operasinya dan memberi impak yang lebih besar kepada pembangunan organisasi dan pembangunan negara.

  1. Mematuhi prosedur dan standard kualiti

Pematuhan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) dan standard kualiti seperti ISO 9001 merupakan asas kepada konsistensi, dan kebolehpercayaan perkhidmatan universiti. Amalan kerja yang patuh kepada standard mencerminkan nilai amanah dan profesionalisme, serta mengurangkan risiko kesilapan dan ketidakpatuhan.

Konsistensi kualiti ini amat penting dalam menyokong impak universiti terhadap pencapaian rating, ranking dan pengiktirafan di peringkat nasional dan antarabangsa, sekali gus memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap institusi pendidikan tinggi negara.

  1. Menyumbang kepada ekosistem kampus yang berkualiti dan mampan

Kualiti universiti turut dinilai melalui impak ekosistem kampus yang dibangunkan. Persekitaran kerja dan pembelajaran yang kondusif, selamat dan mampan akan meningkatkan kepuasan pelajar serta kesejahteraan warga kerja.

Inisiatif Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA), penekanan terhadap keselamatan dan kesihatan, budaya kerja hijau, kesejahteraan mental dan kolaborasi berkesan akan membentuk ekosistem kampus yang berkualiti dan berprestasi tinggi. Ekosistem yang baik bukan sahaja menyokong kecemerlangan akademik, malah meningkatkan reputasi dan daya tarikan universiti.

Kesimpulannya, kualiti warga kerja merupakan pemacu utama kualiti universiti. Apabila setiap individu bertindak dengan amanah, bekerja secara profesional, berfikiran inovatif dan komited terhadap penambahbaikan kualiti, universiti akan mampu menghasilkan impak menyeluruh, meliputi ekosistem kampus yang berkualiti, memenuhi keperluan pelanggan dan pihak berkepentingan, serta meningkatkan rating, ranking dan pengiktirafan.

Dalam era pelaksanaan RPTM 2026–2035, kejayaan universiti tidak lagi diukur semata-mata melalui pencapaian akademik, tetapi melalui keupayaannya menghasilkan nilai kepada masyarakat dan negara. Pastinya semua ini bermula daripada kualiti warga kerja yang menggerakkan universiti ke arah kecemerlangan yang mampan.

 

 

Profesor Madya Ts. Dr. Musli Mohammad

Pengarah

Pejabat Pengurusan Kualiti

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Profesor Dr. Nik Hisyamudin Muhd Nor

Penolong Naib Canselor (Strategik dan Kualiti)

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)