Setiap kali kes kanak-kanak tertinggal di dalam kenderaan dilaporkan, reaksi masyarakat hampir sama. Iaitu sedih, marah dan sukar menerima bagaimana ibu bapa boleh “terlupa” anak sendiri. Dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, beberapa tragedi seumpama ini di Malaysia telah mendapat perhatian meluas, sekali gus mencetuskan perbahasan awam yang sering menjurus kepada soal kecuaian dan kesalahan individu. Namun, realitinya tragedi ini bukan sekadar isu terlupa, sebaliknya mencerminkan satu fenomena keselamatan dan psikologi yang jauh lebih kompleks.

Dari sudut psikologi dan keselamatan, kejadian ini dikenali sebagai Forgotten Baby Syndrome (FBS), iaitu keadaan yang mana penjaga secara tidak sengaja terlupa kehadiran kanak-kanak di dalam kenderaan. Fenomena ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira tahap pendidikan, latar belakang sosioekonomi atau tahap kasih sayang terhadap anak. Hakikat ini penting difahami, terutamanya apabila kes-kes sedemikian terus berlaku walaupun dalam kalangan keluarga yang kelihatan berfungsi dan bertanggungjawab.

Kanak-kanak yang tertinggal di dalam kenderaan tertutup berisiko tinggi mengalami hipertermia, iaitu peningkatan suhu teras badan ke tahap berbahaya akibat kegagalan mekanisme termoregulasi. Risiko ini menjadi lebih kritikal dalam iklim panas seperti di Malaysia. Kanak-kanak menyerap haba badan tiga hingga lima kali lebih pantas berbanding orang dewasa, menyebabkan tempoh singkat di dalam kenderaan yang diparkir sudah memadai untuk membawa akibat yang fatal.

Data daripada Heatstroke Organization di Amerika Syarikat menunjukkan bahawa antara tahun 1998 hingga 2025, sebanyak 1041 kanak-kanak meninggal dunia akibat strok haba di dalam kenderaan. Separuh dari angka ini adalah disebabkan oleh ibu bapa terlupa. Di Malaysia, kejadian FBS telah menimbulkan kebimbangan serius terhadap kesejahteraan awam. Dari tahun 2012 hingga 2026, sebanyak 18 kes kematian kanak-kanak akibat hipertermia dalam kenderaan yang diparkir telah dilaporkan.

Tragedi-tragedi ini telah membuka mata masyarakat terhadap kerentanan fisiologi kanak-kanak serta hakikat bahawa kecuaian tidak semestinya berpunca daripada sikap sambil lewa. Sebaliknya, insiden anak tertinggal dalam kenderaan lazimnya bersifat multifaktorial, melibatkan gabungan faktor manusia, rutin harian, tekanan emosi serta persekitaran kehidupan moden. Dalam konteks Malaysia, tekanan sosioekonomi, beban kerja dan tuntutan keluarga yang semakin kompleks meningkatkan risiko kegagalan ingatan yang tidak disengajakan.

Kajian rintis deskriptif yang dijalankan oleh penyelidik Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Institut Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mendapati bahawa 34 peratus responden mengakui pernah mengalami situasi terlupa anak di dalam kenderaan, sama ada untuk tempoh singkat atau melebihi 10 minit. Dapatan ini mengukuhkan hakikat bahawa risiko ini wujud dalam kehidupan seharian dan bukan sesuatu isu yang terpencil.

Dari sudut faktor manusia, tekanan, keletihan dan kurang tidur boleh menyebabkan otak berfungsi secara automatik. Rutin harian yang dilakukan secara berulang, seperti memandu ke tempat kerja atau menghantar anak ke pusat asuhan, boleh mengurangkan kesedaran situasional. Dalam keadaan ini, fungsi ingatan prospektif iaitu keupayaan mengingati perkara yang perlu dilakukan, boleh jadi terganggu dan menyebabkan penjaga yakin anak telah dihantar ke destinasi sepatutnya walaupun hakikatnya masih berada di dalam kenderaan.

Faktor sosiodemografi turut memainkan peranan. Ibu bapa dalam lingkungan usia bekerja sering memikul pelbagai tanggungjawab serentak. Kanak-kanak yang lebih besar pula kadangkala dianggap lebih berdikari, menyebabkan tahap kewaspadaan menurun. Bilangan anak yang ramai serta penggunaan kenderaan moden yang senyap dan selesa turut menyumbang kepada risiko kehadiran kanak-kanak tidak disedari (terlupa).

Selain itu, perubahan kecil dalam rutin harian, seperti laluan berbeza, singgahan tambahan atau tugasan tidak dirancang juga boleh mencetuskan kegagalan ingatan, terutamanya apabila digabungkan dengan tekanan emosi dan keletihan fizikal. Fenomena ini semakin relevan dalam kehidupan moden, termasuk di Malaysia, di mana jadual harian keluarga sering padat dan tidak menentu.

Justeru, tragedi anak tertinggal dalam kenderaan memerlukan pendekatan pencegahan yang menyeluruh dan berasaskan kefahaman, bukan budaya menyalahkan. Kesedaran awam perlu dipertingkatkan bahawa kejadian ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Pihak berkepentingan, termasuk kementerian berkaitan, penggubal dasar dan industri automotif, wajar memperkukuh usaha pencegahan melalui garis panduan, pendidikan keselamatan dan inovasi teknologi.

Keselamatan kanak-kanak adalah tanggungjawab bersama. Dengan memahami bahawa tragedi ini bukan sekadar soal lupa, masyarakat boleh beralih daripada sikap menghukum kepada pendekatan mencegah demi melindungi nyawa kanak-kanak yang tidak berdosa. Amalan kesedaran penuh (mindfulness), sokongan sosial serta keseimbangan antara kerja dan kehidupan keluarga dapat membantu mengurangkan beban kognitif penjaga. Pada masa yang sama, penggunaan teknologi pengesan kehadiran kanak-kanak dalam kenderaan serta pembudayaan amalan memeriksa tempat duduk belakang sebelum meninggalkan kenderaan perlu dijadikan norma keselamatan harian.

 

 

 

Dr. Junaidah Zakaria

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan

Fakulti Sains dan Teknologi Industri

Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)

 

Profesor Madya Dr Ezrin Hani Sukadarin

Fakulti Teknologi Kejuruteraan,

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)