Malaysia sedang berada pada fasa peralihan penting dalam menghadapi cabaran ekonomi global. Ketidaktentuan geopolitik, perubahan teknologi yang pantas, tekanan kos dan persaingan rantaian bekalan memerlukan negara bertindak secara strategik dan bersepadu. Dalam konteks ini, Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 digubal sebagai kerangka transformasi industri negara ke arah ekonomi bernilai tinggi, berasaskan teknologi, inovasi dan kemampanan.

Namun, kejayaan NIMP 2030 tidak boleh bergantung kepada insentif, pelaburan atau pembaharuan struktur industri semata-mata. Asas transformasi industri negara bergantung kepada modal insan, ekosistem ilmu dan keupayaan untuk berinovasi. Di sinilah Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 memainkan peranan kritikal sebagai pemangkin utama kejayaan NIMP 2030.

 

Sinergi Dasar: Pendidikan tinggi dan perindustrian

NIMP 2030 menetapkan hala tuju jelas untuk merubah struktur industri negara daripada kebergantungan kepada aktiviti berintensifkan buruh dan kos rendah kepada industri berteknologi tinggi, digital, hijau dan berasaskan pengetahuan. Antara fokus utama NIMP 2030 ialah industri elektrik dan elektronik (E&E), aeroangkasa, bahan termaju, ekonomi digital, teknologi hijau, automasi dan kecerdasan buatan (AI).

Kesemua sektor ini memerlukan tenaga kerja yang bukan sahaja mahir secara teknikal, tetapi juga keupayaan untuk berfikir secara kritis, berinovasi, menyelesaikan masalah kompleks serta memahami konteks sosial dan kelestarian bumi. RPTM 2026–2035 telah dirangka untuk pendidikan tinggi bergerak seiring keperluan industri masa hadapan, bukan sekadar melahirkan graduan untuk memenuhi pasaran kerja sedia ada.

Melalui pendekatan bersepadu, RPTM 2026–2035 memastikan universiti, politeknik dan kolej komuniti menjadi sebahagian daripada ekosistem industri negara, bukan entiti terpisah. Inilah asas kepada hubungan simbiotik antara pendidikan tinggi dan NIMP 2030.

 

Pendidikan berpaksikan kemanusiaan, industri berdaya tahan

Salah satu pembaharuan penting dalam RPTM 2026–2035 ialah penekanan terhadap pendidikan berpaksikan kemanusiaan. Dalam era automasi dan AI, kelebihan daya saing manusia terletak pada nilai, etika, empati, kepimpinan dan kebijaksanaan membuat keputusan.

Industri masa hadapan memerlukan pemimpin dan profesional yang bukan sahaja cekap mengendalikan teknologi, tetapi juga mampu mengurus implikasi sosial, alam sekitar dan etika. Pendekatan ini sejajar dengan aspirasi NIMP 2030 yang menekankan pembangunan industri secara bertanggungjawab dan mampan.

Dengan menekankan nilai kemanusiaan dalam pendidikan tinggi, RPTM 2026–2035 membantu membentuk tenaga kerja industri yang lebih berdaya tahan, berintegriti dan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan struktur ekonomi.

 

Peralihan daripada STEM kepada STEAM

RPTM 2026–2035 turut memperkenalkan peralihan paradigma daripada STEM kepada STEAM dengan mengintegrasikan elemen seni, kemanusiaan dan kelestarian ke dalam pendidikan sains dan teknologi. Peralihan ini penting untuk memastikan inovasi industri tidak bersifat teknikal semata-mata, tetapi mengambil kira reka bentuk, pengalaman pengguna, budaya, nilai dan impak sosial.

Dalam konteks NIMP 2030, inovasi industri bernilai tinggi memerlukan pendekatan inklusif. Contohnya, pembangunan produk teknologi hijau atau peranti pintar bukan hanya soal kejuruteraan, tetapi juga melibatkan reka bentuk, psikologi pengguna, dasar awam dan kelestarian alam sekitar. Pendidikan tinggi yang bersifat STEAM membolehkan industri negara menghasilkan inovasi yang lebih holistik dan berdaya saing di peringkat global.

 

TVET dan pendidikan tinggi: Rakan strategik industri 

NIMP 2030 memberi penekanan besar kepada pembangunan tenaga kerja mahir dan separa mahir, khususnya dalam bidang automasi, pembuatan termaju dan teknologi digital. RPTM 2026–2035 menyokong aspirasi ini melalui pendekatan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

TVET tidak lagi dilihat sebagai laluan alternatif, tetapi sebagai komponen strategik pembangunan industri negara. Melalui integrasi TVET dengan pendidikan tinggi, industri mendapat akses kepada tenaga kerja yang bukan sahaja mahir secara praktikal, tetapi juga peluang mendapatkan kemahiran dan latihan semula teknologi baharu.

Pendekatan ini menyokong agenda NIMP 2030 untuk meningkatkan produktiviti, mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing berkemahiran rendah dan membina ekosistem industri berintensifkan kemahiran.

 

Lonjakan RDICE: Dari makmal ke pasaran 

Antara sumbangan paling signifikan RPTM 2026–2035 kepada NIMP 2030 ialah Lonjakan Penyelidikan, Pembangunan, Inovasi, Pengkomersialan dan Ekonomi (RDICE). Sepanjang dekad lalu, Malaysia mencatat peningkatan ketara dalam jumlah dan kualiti penyelidikan, dengan bilangan penerbitan dan sitasi meningkat serta nilai harta intelek mencecah berbilion ringgit.

Namun, cabaran utama ialah memastikan penyelidikan tersebut benar-benar relevan dengan keperluan industri dan mampu dikomersialkan. RPTM 2026–2035 memberi fokus baharu kepada penyelidikan berimpak, berorientasikan penyelesaian masalah industri dan komuniti.

Dalam konteks NIMP 2030, universiti berperanan sebagai pusat inovasi industri, pembekal teknologi tempatan dan rakan strategik kepada syarikat, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Pendekatan ini mengurangkan kebergantungan kepada teknologi import serta memperkukuh daya saing industri tempatan.

 

Digitalisasi, AI dan industri masa hadapan

NIMP 2030 meletakkan digitalisasi dan AI sebagai pemacu utama transformasi industri. RPTM 2026–2035 menyokong agenda ini melalui pengarusperdanaan teknologi digital dan AI dalam ekosistem pendidikan tinggi.

Institusi pendidikan tinggi digalakkan bukan sahaja mengajar teknologi baharu, tetapi mengaplikasikannya dalam pengurusan, penyelidikan, pengajaran dan pembelajaran. Ini melahirkan graduan yang bukan sekadar celik teknologi, tetapi benar-benar bersedia menghadapi persekitaran industri digital.

Tenaga kerja sedemikian penting untuk menjayakan automasi, analitik data besar, Internet kebendaan dan kecerdasan buatan dalam sektor perindustrian seperti yang digariskan dalam NIMP 2030.

 

Pendidikan fleksibel dan pembelajaran sepanjang hayat

Transformasi industri tidak berlaku secara statik. Perubahan teknologi dan struktur ekonomi menuntut tenaga kerja yang sentiasa bersedia untuk belajar semula dan menyesuaikan diri dengan teknologi baharu. RPTM 2026–2035 memperluas pendidikan fleksibel dan pembelajaran sepanjang hayat sebagai respons kepada perubahan ini.

Pendekatan ini menyokong NIMP 2030 dengan menyediakan laluan latihan semula kepada pekerja industri sedia ada, sekali gus memastikan mereka kekal relevan dan produktif. Pendidikan tinggi tidak lagi terhad kepada golongan muda, tetapi menjadi rakan pembelajaran sepanjang hayat kepada tenaga kerja industri.

 

Kemampanan sebagai teras pembangunan industri

NIMP 2030 menekankan pembangunan industri mampan dan hijau. RPTM 2026–2035 menyokong aspirasi ini dengan mengarusperdanakan agenda kelestarian bumi dalam pendidikan tinggi.

Universiti diletakkan sebagai pemacu penyelesaian kepada krisis iklim melalui penyelidikan, inovasi teknologi hijau dan pendidikan. Industri tempatan perlu disokong oleh teknologi dan penyelidikan dalam bidang kelestarian agar lebih berdaya saing dalam pasaran global yang mementingkan ESG.

Kesimpulannya, RPTM 2026–2035 bukan sekadar pelan pembangunan pendidikan tinggi, tetapi merupakan strategi nasional yang menjadi pemangkin kejayaan NIMP 2030. Melalui pembangunan modal insan yang berkualiti, pengukuhan ekosistem inovasi, integrasi pendidikan dengan industri serta penekanan terhadap nilai kemanusiaan dan kemampanan, RPTM 2026–2035 menyediakan asas kukuh untuk transformasi perindustrian negara.

Kejayaan NIMP 2030 bergantung kepada keupayaan Malaysia melahirkan bakat, idea dan inovasi. Dalam kontek ini, pendidikan tinggi bukan lagi pelengkap, tetapi nadi kepada masa depan industri dan ekonomi negara._Foto:The Vibes

 

 

 

Profesor Madya Ts. Dr. Md Fauzi Ahmad

Pensyarah dan Penyelidik Kanan Pengurusan Teknologi Pengeluaran

Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Rencana ini juga diterbitkan di:

1. Utusan Malaysia (muka surat: 15): Pendidikan, industri kunci Malaysia berdaya saing oleh Prof. Madya Ts. Dr. Md Fauzi Ahmad, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP), UTHM.