Malaysia kini berada pada fasa peralihan penting dalam landskap global yang semakin mencabar. Dunia pascapandemik, ketidaktentuan geopolitik, kemajuan teknologi yang pantas serta perubahan jangkaan generasi muda terhadap pendidikan dan pekerjaan menuntut negara melakukan penyesuaian strategik yang menyeluruh. Dalam konteks ini, pendidikan tinggi tidak lagi boleh dilihat sekadar sebagai laluan mendapatkan ijazah, tetapi sebagai enjin utama pembentukan daya saing negara.

Pelancaran Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 menjadi langkah penting dalam memastikan sistem pendidikan tinggi negara kekal relevan, berdaya tahan dan mampu menyokong aspirasi pembangunan Malaysia MADANI. RPTM ini bukan sekadar dokumen perancangan, sebaliknya pelan hala tuju strategik 10 tahun yang menyusun semula peranan universiti, politeknik dan kolej komuniti dalam membina masa depan negara.

Pendidikan tinggi sebagai asas daya saing negara 

Daya saing sesebuah negara hari ini tidak lagi diukur semata-mata melalui kekuatan ekonomi atau sumber semula jadi, tetapi bergantung kepada kualiti modal insan. Negara yang memiliki tenaga kerja berkemahiran tinggi, berdaya fikir kritikal, beretika dan inovatif akan lebih bersedia menghadapi perubahan global.

Data menunjukkan pendidikan tinggi negara telah mencapai kemajuan memberangsangkan. Kadar enrolmen pendidikan tinggi meningkat daripada sekitar 48 peratus pada 2014 kepada 59 peratus pada 2024, manakala kebolehpasaran graduan mencapai 92.5 peratus pada 2024, melepasi sasaran nasional. Namun, kejayaan ini tidak boleh menjadikan negara selesa. Cabaran masa depan menuntut lonjakan baharu yang lebih strategik dan berimpak tinggi. Di sinilah RPTM 2026–2035 memainkan peranan penting sebagai pemacu daya saing negara.

Pendekatan berfasa

Salah satu kekuatan utama RPTM 2026–2035 ialah kaedah pembangunannya yang tersusun dan inklusif. Pelan ini dirangka melalui tiga fasa utama. Fasa pertama melibatkan semakan dan penilaian prestasi sistem pendidikan tinggi secara menyeluruh. Fasa kedua pula merumuskan dapatan empirikal dan maklum balas pihak berkepentingan bagi membentuk lonjakan strategik.

Fasa ketiga melibatkan libat urus awam berskala besar, melibatkan lebih 8,000 pihak berkepentingan dari pelbagai latar belakang. Pendekatan ini mencerminkan amalan libat urus yang menyeluruh, sekali gus memastikan RPTM tidak terpisah daripada realiti dan keperluan sebenar masyarakat.

Pendidikan berpaksikan kemanusiaan

Antara teras utama RPTM 2026–2035 ialah peralihan kepada pendidikan berpaksikan kemanusiaan. Dalam era persaingan global yang sengit, kelebihan sebenar bukan hanya terletak pada kemahiran teknikal, tetapi juga pada nilai, empati, integriti dan kesejahteraan emosi.

Kajian menunjukkan majikan hari ini semakin mengutamakan kemahiran insaniah seperti kepimpinan, komunikasi dan keupayaan bekerja dalam pasukan. RPTM menekankan pembangunan graduan yang seimbang dari segi intelek, emosi dan moral, sekali gus melahirkan warganegara yang bukan sahaja produktif, tetapi bertanggungjawab terhadap masyarakat.

Pendekatan ini penting dalam membina daya saing jangka panjang negara kerana ekonomi yang mampan memerlukan tenaga kerja yang beretika dan berjiwa besar.

Peralihan kepada STEAM dan penguasaan teknologi

Dalam usaha meningkatkan daya saing, RPTM 2026–2035 memperkenalkan peralihan daripada STEM kepada STEAM, dengan mengintegrasikan seni, kemanusiaan dan kemampanan dalam pendidikan sains dan teknologi. Ini selari dengan keperluan industri masa hadapan yang memerlukan inovasi berasaskan kreativiti dan pemikiran merentas disiplin ilmu.

Pada masa sama, RPTM memberi penekanan besar kepada pendigitalan dan aplikasi kecerdasan buatan (AI) dalam ekosistem pendidikan tinggi. Penggunaan AI bukan sekadar dalam pengajaran dan pembelajaran, tetapi turut melibatkan penyelidikan, pentadbiran dan perkhidmatan pelajar.

Pelaburan dalam pendigitalan ini penting kerana ekonomi global kini bergerak pantas ke arah automasi dan ekonomi berasaskan data. Negara yang gagal menyediakan bakat digital akan ketinggalan dalam rantaian nilai global.

Pemerkasaan TVET sebagai pemacu ekonomi

Satu lagi komponen penting RPTM 2026–2035 ialah pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). Pendekatan baharu ini tidak lagi melihat TVET sebagai laluan alternatif, sebaliknya sebagai laluan strategik pembangunan negara.

Data menunjukkan TVET menyumbang secara signifikan kepada tenaga kerja berkemahiran tinggi yang diperlukan industri pembuatan, pembinaan, tenaga dan teknologi. Dengan memperkukuh TVET, Malaysia berupaya mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing dan meningkatkan produktiviti nasional.

Pemerkasaan TVET juga membantu menangani isu ketidakpadanan kemahiran, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran belia dan daya saing ekonomi negara.

Akses inklusif dan keadilan sosial

RPTM 2026–2035 turut menekankan akses pendidikan yang inklusif dan adil. Antara inisiatif penting ialah jaminan penempatan pendidikan tinggi kepada pelajar cemerlang, sokongan pendidikan percuma kepada pelajar orang kurang upaya (OKU), serta bantuan kewangan kepada pelajar daripada keluarga miskin tegar.

Data menunjukkan penyertaan pelajar daripada kumpulan B40 kini mencapai sekitar 68 peratus, manakala enrolmen pelajar Orang Asli meningkat lebih dua kali ganda dalam tempoh sedekad. Ini membuktikan pendidikan tinggi menjadi instrumen mobiliti sosial yang berkesan. Akses inklusif ini penting kerana daya saing negara tidak boleh dibina jika sebahagian besar rakyat tercicir daripada peluang pendidikan berkualiti.

Lonjakan RDICE dan penyelidikan berimpak

Lonjakan Penyelidikan, Pembangunan, Inovasi, Pengkomersialan dan Ekonomi (RDICE) menandakan kematangan baharu sistem pendidikan tinggi negara. Dalam tempoh sedekad lalu, bilangan penerbitan dan sitasi meningkat dengan ketara, manakala nilai harta intelek yang dijana mencecah berbilion ringgit.

Namun, RPTM 2026–2035 perlukan pendekatan yang berimpak kepada industri dan masyarakat. Penyelidikan perlu menyelesaikan masalah sebenar komuniti setempat, menyokong pembangunan negara dan memberi sumbangan bermakna kepada masyarakat global. Pendekatan ini memastikan universiti bukan hanya pusat ilmu, tetapi pemacu inovasi dan pertumbuhan ekonomi.

Pembelajaran sepanjang hayat dan pendidikan fleksibel

Perubahan struktur demografi dan pasaran kerja menuntut pendekatan baharu terhadap pembelajaran. RPTM 2026–2035 memperluas pendidikan fleksibel dan pembelajaran sepanjang hayat, mengiktiraf bahawa pembelajaran kini bersifat berterusan dan tidak terhad kepada usia muda atau laluan konvensional.

Dengan jangka hayat yang semakin panjang dan perubahan kerjaya yang kerap, rakyat perlu diberi peluang untuk meningkatkan kemahiran pada bila-bila masa. Pendekatan ini memastikan tenaga kerja sentiasa relevan dan berdaya saing.

Secara keseluruhan, RPTM 2026–2035 bukan sekadar pelan pendidikan tinggi, tetapi strategi nasional untuk memperkukuh daya saing Malaysia dalam dekad akan datang. Melalui pendidikan berpaksikan kemanusiaan, penguasaan teknologi, pemerkasaan TVET, akses inklusif dan tadbir urus berkesan, pelan ini meletakkan pendidikan tinggi sebagai pemacu utama kemakmuran negara.

Cabaran masa depan sememangnya besar, namun dengan hala tuju yang jelas dan pelaksanaan berdisiplin, RPTM 2026–2035 berupaya memastikan Malaysia terus melahirkan bakat berkualiti, berdaya saing dan bersedia memacu pembangunan negara secara mampan.

 

Profesor Madya Ts. Dr. Md Fauzi Ahmad

Pensyarah dan Penyelidik Kanan Pengurusan Teknologi Pengeluaran

Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Rencana ini juga diterbitkan di:

1. Utusan Malaysia (muka surat: 13), 9 Februari 2026: RPTM 2026-2035 perlu lonjak daya saing negara

 

2. Utusan (utusan.com.my), 9 Februari 2026: RPTM 2026-2035 perlu lonjak daya saing negara 

RPTM 2026-2035 perlu lonjak daya saing negara