Oleh Profesor Dr. Afandi Ahmad, Pejabat Provost UTHM-KCP
PAGOH, 9 Februari 2026 – Bagi memberi sokongan penuh kepada para pelajar agar terus cemerlang dalam tempoh peperiksaan, ‘Projek Pisang & Coklat’ yang terdahulu membawa jenama ‘Projek Pisang’ diteruskan lagi pada semester ini di UTHM-Kampus Cawangan Pagoh (UTHM-KCP).
Program anjuran warga kerja Pejabat Provost UTHM-KCP menerusi Projek 70:20:10 – 10% Inovasi Tadbir Urus itu bukan sekadar memberikan snek ringkas sarapan pagi kepada para pelajar sebelum menduduki peperiksaan, tetapi turut bertujuan mengangkat falsafah “Erti Hidup Dengan Memberi” dan “Terus Belajar & Memperbaiki Diri.”
Menerusi projek itu, warga kerja di Pejabat Provost dilatih berkaitan pengurusan projek, kepimpinan, kerja berpasukan, komunikasi berkesan yang merupakan kemahiran penting dalam merealisasikan organisasi yang efisyen.
Projek yang dibiayai sepenuhnya hasil sumbangan alumni dan staf itu menyaksikan kehadiran bersama kepimpinan dan kumpulan staf UTHM-KCP yang diketuai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dr. Afandi Ahmad.
Menurut Prof. Afandi, pisang dipilih untuk diberikan kepada para pelajar kerana snek itu menjadi pembekal tenaga dan sumber potassium yang terbaik.
“Potassium dalam tubuh akan hilang apabila diri berada dalam keadaan tertekan lebih-lebih lagi pada minggu padat menjelang peperiksaan, selain vitamin B yang dibekalkan juga baik untuk meredakan perasaan gementar.
“Manakala dark chocolate merupakan snek pemangkin minda yang kaya dengan flavonoid untuk meningkatkan pengaliran darah ke otak, sekali gus menajamkan fokus dan daya ingatan.
“Kandungan antioksidan yang ada didalamnya membantu melawan keletihan mental dalam tempoh peperiksaan yang lama, manakala rangsangan hormon endorfin bertindak meredakan tekanan kepada para pelajar,” katanya.
Projek yang dilaksanakan sebanyak tiga kali pada sepanjang tempoh tiga minggu peperiksaan itu mencerminkan kesungguhan ke arah membudayakan ekosistem prihatin di UTHM-KCP.
“Semoga usaha yang dijalankan ini dapat memberikan dorongan kepada para pelajar, seterusnya berjaya menjawab peperiksaan dengan cemerlang, selain menajamkan kemahiran pengurusan projek dalam kalangan staf di UTHM-KCP,” tambah Prof. Afandi.





