Laporan Malaysia Herbal Extract Market Size & Outlook menunjukkan nilai pasaran herba ekstrak di Malaysia ialah USD742.3 juta pada 2023 dan pertumbuhan CAGR sekitar 8.9% ke 2030. Manakala di peringkat global, pasaran herba dijangka meningkat daripada USD165.7 bilion pada 2022 kepada USD347.5 bilion menjelang 2030, mencerminkan permintaan yang kukuh dan berterusan.
Statistik ini jelas menunjukkan bahawa industri herba merupakan peluang ekonomi strategik, khususnya untuk komuniti luar bandar dan golongan B40. Namun, di sebalik angka yang memberangsangkan, realiti di peringkat akar umbi memperlihatkan satu paradoks yang membimbangkan: permintaan tinggi dan sumber herba yang melimpah tidak diterjemahkan kepada kelangsungan perniagaan yang mampan.
Permasalahan dan cabaran utama industri herba komuniti
Industri herba komuniti sering dipromosikan sebagai jalan keluar kepada isu pendapatan luar bandar dan kebergantungan ekonomi. Namun, kajian lapangan dan pemerhatian industri menunjukkan bahawa ramai pengusaha herba komuniti gagal bertahan melebihi beberapa tahun, walaupun ianya beroperasi dalam pasaran yang sedang berkembang pesat. Apabila dilihat dan dikaji, didapati masalah utama ini bukan berpunca daripada kekurangan bahan mentah atau ketiadaan permintaan, tetapi daripada kelemahan asas dalam pengurusan pengeluaran dan kawalan kualiti. Ini adalah realiti yang perlu kita terima dengan hati terbuka.
Rentetan daripada kelemahan ini, impaknya adalah kepada kualiti produk itu sendiri yang mana hasilnya tidak seragam dari segi rasa, aroma, warna dan yang lebih penting adalah keberkesanan produk. Jika kualitinya berbeza antara satu pembelian dengan pembelian seterusnya, ini sekali gus akan menjejaskan keyakinan pengguna dan boleh menyebabkan kehilangan pelanggan dalam tempoh yang singkat.
Salah satu contoh kelemahan asas dalam pengurusan pengeluaran ialah proses pengeringan herba. Di kebanyakan komuniti, proses ini masih dilakukan secara konvensional iaitu bergantung kepada cuaca, ruang terbuka dan tempoh masa yang tidak terkawal. Akibatnya, kandungan lembapan bahan mentah selepas pengeringan didapati berada antara 15% hingga 30%, sedangkan piawaian pasaran mensyaratkan kadar lembapan kurang daripada 12%. Kadar lembapan yang rendah ini sangat penting bagi menjamin kestabilan dan jangka hayat produk. Perlu diingat, produk yang masih lembap mudah berkulat, cepat rosak dan berisiko ditolak pasaran. Sebaliknya, sebahagian pengusaha cuba mempercepatkan proses dengan menggunakan suhu pengeringan yang terlalu tinggi, yang akhirnya merosakkan sebatian bioaktif penting dalam herba. Walaupun produk kelihatan kering, kandungan antioksidan dan bahan aktif boleh merosot sehingga 25–40%, sekali gus menurunkan nilai sebenar produk.
Selain itu, penggunaan mesin dan peralatan tanpa Standard Operating Procedure (SOP) dan penyelenggaraan yang sistematik turut memburukkan keadaan. Kajian lapangan menunjukkan 59% mesin pengering, pengisar dan pembungkus terdedah kepada pencemaran silang, menghasilkan bau hangit, saiz bahan tidak sekata dan pembungkusan tidak kedap udara. Ditambah pula dengan amalan penyimpanan yang lemah, yang mana pengusaha tidak mempunyai ruang stor terkawal suhu atau kelembapan. Kesannya, mutu produk terus merosot dari semasa ke semasa. Juga perlu diingat; pada era digital yang semakin berleluasa, kelemahan kualiti ini tidak lagi boleh disembunyikan. Sebagai contoh, pengguna dipengaruhi oleh ulasan dalam talian sebelum mereka membuat keputusan pembelian. Bagi pengusaha kecil komuniti, satu penilaian negatif dari pelanggan sudah cukup untuk menutup peluang membina jenama dan menembusi pasaran yang lebih luas.
Penyelesaian: Pengukuhan asas, bukan teknologi mahal
Hakikatnya, masalah utama dalam mengembangkan industri herba dalam kalangan komuniti bukanlah kekurangan teknologi canggih atau modal besar, tetapi lebih menjurus kepada ketiadaan disiplin operasi dan sistem kawalan kualiti asas. Seringkali disalah anggap, aktiviti pengeluaran herba komuniti ini adalah aktiviti sampingan, bukan sebagai satu proses industri yang memerlukan kawalan rapi.
Oleh itu, penambahbaikan boleh dilakukan melalui pelaksanaan SOP yang ringkas bagi memastikan proses pengeringan, pengisaran, pembungkusan dan penyimpanan dijalankan secara lebih teratur. Penggunaan rekod dan senarai semak pengeluaran juga penting bagi menjamin konsistensi kualiti, di samping kawalan pengeringan yang lebih sistematik agar sebatian bioaktif tidak terjejas. Pada masa yang sama, amalan kebersihan dan penyimpanan yang baik perlu diberi perhatian bagi mengekalkan mutu dan kepercayaan pengguna. Kajian kes telah menunjukkan bahawa pengusaha yang melaksanakan SOP dan rekod pengeluaran secara konsisten mempunyai peluang 35–50% lebih tinggi untuk mengekalkan jualan tahunan, berbanding pengusaha yang tidak berbuat demikian.
Di peringkat dasar, sokongan kerajaan juga perlu disusun semula dengan memberi penekanan kepada pengukuhan asas pengeluaran, bukan sekadar bantuan kewangan. Garis panduan mudah difahami, latihan praktikal berterusan dan sokongan teknikal berskala kecil perlu diperkasakan. Kolaborasi antara agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi dan komuniti setempat amat penting bagi memastikan pemindahan ilmu berlaku secara berkesan dan berterusan.
Sumbangan dan impak kepada individu, masyarakat dan negara
Jika pengurusan kualiti asas ini dapat diperkukuhkan, impaknya adalah signifikan: Kepada individu pengusaha, ia meningkatkan kebolehpercayaan produk, kestabilan pendapatan dan daya tahan perniagaan. Kepada masyarakat luar bandar, ia membuka peluang pekerjaan mampan, mengurangkan kebergantungan ekonomi dan memperkukuh ekosistem keusahawanan tempatan. Kepada negara, industri herba komuniti yang lebih berdaya saing mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi desa, mengurangkan kadar kegagalan perusahaan mikro dan meningkatkan kebolehpasaran produk tempatan ke peringkat eksport.
Tanpa pembetulan serius terhadap aspek kualiti, latihan dan pemindahan ilmu, industri herba komuniti akan terus berisiko kekal kecil, rapuh dan kurang berdaya saing. Laporan ada menunjukkan bahawa hampir enam daripada sepuluh perusahaan mikro di negara ini gagal bertahan melebihi tempoh lima tahun, sekali gus membuktikan bahawa potensi pasaran yang besar sahaja tidak mencukupi tanpa asas pengurusan dan pengeluaran yang kukuh. Realiti ini menjadi peringatan bahawa kelestarian industri herba komuniti menuntut perubahan struktur yang lebih menyeluruh, bukan sekadar bergantung kepada permintaan pasaran atau bantuan kewangan semata-mata.
Kesimpulannya, industri herba komuniti sebenarnya berada di landasan yang tepat untuk berkembang, dengan sumber yang melimpah dan permintaan pasaran yang semakin kukuh. Apa yang diperlukan kini ialah kesediaan semua pihak untuk memperkemas asas pengeluaran melalui kawalan kualiti, latihan berterusan dan pemindahan ilmu yang lebih berkesan. Dengan pendekatan yang betul dan sokongan yang tersusun, industri herba komuniti bukan sahaja mampu menjana pendapatan mampan kepada masyarakat luar bandar, malah berpotensi muncul sebagai antara pemacu baharu ekonomi negara yang berdaya saing dan berteraskan kekuatan tempatan.

Profesor Madya Dr. Noor Akhmazillah Mohd Fauzi
Pensyarah (Profesor Madya)
Fakulti Teknologi Kejuruteraan
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
