Aplikasi komunikasi pintar menggunakan protokol internet bukan lagi baharu. Evolusi teknologi komunikasi berkembang sejak inovasi telefon dari Alexder Graham Bell. Pengguna Internet tegar menggunakan aplikasi chat seperti IRC sejak tahun 1997. Awal tahun 2000 aplikasi ICQ menjadi kegemaran ramai. Sekitar tahun 2000 hingga kini aplikasi borak menjadi seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Apa yang menarik tahap kepintaran aplikasi ini sentiasa berubah mengikut arus keperluan. Jelas kita lihat pelbagai jenis aplikasi pintar di pasaran dan ia boleh dimuat turun secara percuma atau langganan.

 

Medium penghubung

Sebagai pengguna tegar alat komunikasi, kita sentiasa ingin menerokai fungsi teknologi yang disediakan dalam aplikasi ini. Sejak aplikasi WhatsApp diperkenalkan, rata-rata pengguna menggunakannya sebagai medium utama untuk berhubung. Sama ada komunikasi rasmi atau tidak rasmi aplikasi WhatsApp menjadi kaedah terpantas menghubungkan sumber dan destinasi. Kelebihan aplikasi komunikasi pintar membenarkan hubungan berlaku secara dua hala dan berkumpulan. Terkini aplikasi komunikasi pintar bukan sahaja membenarkan penghantara mesej dalam bentuk teks, imej dan suara malah mesej berbentuk rakaman tanpa sedar juga boleh berlaku.

 

Rakaman suara dan imej 

Penggunaan aplikasi komunikasi pintar berlaku dalam beberapa mod. Mod yang biasa adalah penghantaran mesej berbentuk teks daripada satu entiti kepada entiti yang lain. Mod ini memerlukan seorang penghantar dan seorang lagi penerima mesej. Manakala mesej boleh terbentuk dalam teks, imej dan video. Komunikasi melalui aplikasi pintar boleh juga berlaku dalam dual mod dan serentak. Ianya mirip kepada perbualan telefon namun berlaku dalam talian Internet. Terkini komunikasi dalam bentuk satu mod tak serentak tetapi dengan rakaman suara dan video.

 

Padah salah tekan

Butang dengan ikon mikrofon dan kamera pada aplikasi WhatsApp amat sensitif kepada sentuhan jari. Apa yang sering berlaku adalah menekan butang rakaman tanpa sedar dan perbualan kita terakam secara auto. Setelah butang ikon mikrofon dilepaskan data suara akan terhantar secara tidak sengaja ke destinasi tertentu. Jika perbualan berbentuk rahsia pastinya akan tersebar tanpa sengaja.

Penghantaran mesej berbentuk rakan suara atau video akan terlaksana tanpa sedar. Kesannya jika mesej berbentuk umpatan, ejekan dan buli, ia bakal membawa perngaduan siber. Manakala ada juga berlaku rakaman tidak sopan.

 

Waspada dalam teknologi  

Penggunaan butang rakaman tanpa sedar dapat dielakkan dengan lebih berhati-hati dalam menggunakan aplikasi WhatsApp. Antara langkah pertama yang perlu diambil adalah pastikan tiada sebarang peranti di tangan jika ingin melakukan perbualan. Selain itu aturkan komunikasi secara berkesan. Ini bermaksud jika ada perbualan lisan elakkan penghantaran mesej. Akhir sekali bina polisi peribadi dalam penggunaan peranti. Kawalan kendiri mampu atasi diri dari bahaya budaya salah tekan. Salah rakam membawa padah.

 

 

 

Profesor Ts. Dr. Rabiah binti Ahmad, FASc

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi)

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Nurhuda binti Khamis

Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi)

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)