Oleh Dr. Mohd Faisal Hushim, Dalila Mohd Harun   

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Kampus Cawangan Pagoh (UTHM-KCP) terus memperkukuh komitmen terhadap tanggungjawab sosial apabila warganya memulakan lembaran tahun baharu dengan menyertai Program Derma Darah Peringkat Edu Hub Pagoh.

Program yang berlangsung di Kolej Kediaman Kampus Pagoh (KKKP) menyaksikan penglibatan aktif warga universiti dalam menzahirkan tanggungjawab sosial kepada masyarakat.

Program anjuran Exco Kebajikan dan Kesukarelawanan, Majlis Kepimpinan Pelajar (MKP) dengan kerjasama Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat kampus berkaitan kepentingan menderma darah, selain membantu menambah bekalan darah negara khususnya bagi kes kecemasan, pembedahan dan rawatan pesakit kronik di hospital-hospital awam.

Menurut pengarah program, Ahmad Nazafie Norazmi program derma darah itu mendapat sambutan yang menggalakkan dalam kalangan warga UTHM-KCP dan penduduk setempat, sekali gus mencerminkan nilai empati yang mendalam setiap penderma.

Program itu turut dibimbing oleh Dr. Mohd Faisal Hushim dan Dalila Mohd Harun selaku penasihat Exco Kebajikan dan Kesukarelawanan, MKP KKKP.

Menurut Dr. Faisal, inisiatif itu tidak hanya membantu menampung simpanan tabung darah negara, malah ia memberi peluang kepada semua warga UTHM untuk turut berkontribusi secara sosial.

“Sinergi strategik antara UTHM dan agensi kesihatan awam akan terus diperkukuhkan bagi menyediakan platform terbaik dalam mendepani keperluan kesihatan negara,” kata Dr. Faisal yang juga Duta Derma Darah lantikan HPSF.

Tambah beliau, program derma darah itu akan dijalankan secara berkala bagi tujuan pembangunan holistik yang akan melahirkan graduan bukan sahaja cemerlang akademik, malah memiliki jati diri yang prihatin dan bertanggungjawab.

Memandangkan bekalan darah hanya boleh diperoleh melalui pendermaan sukarela masyarakat yang sihat, penglibatan warga universiti dianggap sangat signifikan.

“Program seumpama ini akan diteruskan secara berkala sebagai salah satu aktiviti tradisi universiti yang menjadi platform terbaik dalam mendidik individu agar lebih peka terhadap peranan mereka dalam membantu menyelamatkan nyawa.

“Inisiatif ini selari dengan aspirasi UTHM untuk terus menyumbang kepada kesejahteraan sosial dan membentuk warga kampus yang sentiasa bersedia berkhidmat demi kepentingan kemanusian,” kata Dr. Faisal.