Oleh Khadijah Maulad Bahrol, Muhammad Dennish Hishamudin Zainudin

BATU PAHAT –Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Kursus Kokurikulum Berkredit (KKB) Pembimbing Rakan Sebaya, Seksyen 1, Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum (PPUK) terus memperkasakan tanggungjawab sosialnya dengan melaksanakan program Jalinan Kasih: Santuni Warga Emas bertempat di Pusat Jagaan Warga Tua Maimunah, Batu Pahat pada 20 Disember 2025 lalu.

Program khidmat komuniti ini melibatkan seramai 37 pelajar kursus di bawah bimbingan pengajar kursus, Khadijah Maulad Bahrol.

Penganjuran program itu bertujuan memupuk nilai keprihatinan, empati dan tanggungjawab sosial dalam kalangan pelajar terhadap golongan warga emas, di samping mengeratkan hubungan silaturahim antara generasi muda dan komuniti setempat.

Program itu selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari ke-3, yang menekankan kesejahteraan kesihatan fizikal, mental dan sosial untuk semua peringkat usia.

Antara pengisian utama program, aktiviti senamrobik ringan, sukan interaktif tradisional, sesi perkongsian dan luahan emosi melalui aktiviti lukisan, gotong-royong memasak, gotong-royong membersihkan kawasan pusat jagaan serta aktiviti mengecat bagi menceriakan persekitaran.

Aktiviti fizikal yang dijalankan membantu meningkatkan pergerakan dan kemahiran motor halus warga emas, manakala aktiviti sosial dan kreatif pula berperanan mengurangkan rasa kesunyian, menenangkan emosi serta merangsang minda agar kekal aktif dan sejahtera, selaras dengan aspirasi SDG 3.

Menurut Khadijah, program seperti itu merupakan satu pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman yang sangat bermakna.

“Penglibatan pelajar secara langsung bersama warga emas bukan sahaja memberi manfaat kepada komuniti, malah membantu pelajar memahami kepentingan kesejahteraan kesihatan fizikal, mental dan sosial, selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 3,” katanya.

Sementara itu, pengarah program, Muhammad Dennish Hishamudin pula berkata penganjuran program itu memberi impak positif kepada pelajar.

“Program ini membuka ruang kepada pelajar untuk mengaplikasikan kemahiran komunikasi, kepimpinan dan empati secara beretika.

Ia juga menyedarkan kami bahawa kesejahteraan kesihatan bukan hanya tertumpu kepada aspek fizikal, tetapi merangkumi kesihatan mental dan sosial seperti yang digariskan dalam SDG 3,” katanya.

Program itu turut menerima sumbangan daripada beberapa individu iaitu Noor Akmar Mohamed, Mohamad Noor Othman, Azrifah Mohamed Zauti dan Cheah Soon Long.

Sumbangan tersebut telah digunakan untuk membeli barangan keperluan asas harian bagi pusat jagaan warga emas tersebut, menambah nilai praktikal kepada program serta menyokong kesejahteraan mereka.

Melalui pelaksanaan program itu, pelajar bukan sahaja meningkatkan kesedaran terhadap isu kesihatan mental dan sosial warga emas, malah memperoleh pengalaman bermakna dalam membina sahsiah diri, semangat kesukarelawanan dan kepekaan terhadap keperluan komuniti.

Penglibatan aktif pelajar turut mencerminkan komitmen UTHM dalam melahirkan graduan holistik yang bertanggungjawab terhadap masyarakat.

“Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai usaha berterusan universiti dalam menyokong agenda pembangunan lestari serta memperkukuh kesejahteraan dan kebajikan warga emas,” tambah Khadijah.