Oleh PM Dr. Mimi Suliza Muhamad, PM ChM. Dr. Hatijah Basri, PM Ts. Dr. Lee Te Chuan

PAGOH, 27 Jan 2026 – Bagi menyokong pembangunan infrastruktur di Ladang Buluh Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Kampus Cawangan Pagoh, seramai 52 peserta telah menyertai Program KTP-CSR Pembinaan Sistem Rawatan Air yang diadakan pada 27 Januari 2026 lalu.

Program itu dilaksanakan bertujuan merawat air bawah tanah, berkongsi ilmu dengan komuniti Orang Asli dan sebagai projek pembelajaran praktikal untuk pelajar tahun dua program Teknologi Pembinaan Bangunan.

Program KTP-CSR itu disertai staf dan pelajar daripada Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK), Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST) dan Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP), dengan kerjasama pihak Ranhill SAJ Sdn. Bhd. dan komuniti Orang Asli Kampung Sentosa, Lenga, Muar.

Melalui penglibatan secara langsung, pelajar dan komuniti Orang Asli berpeluang memperoleh ilmu dan pengalaman praktikal dalam pembinaan sistem rawatan air, sekali gus mengukuhkan kemahiran mereka dalam bidang pembinaan.

Antara aktiviti yang dijalankan, pemindahan ilmu berkaitan kerja-kerja konkrit bagi tapak sistem dan pembangunan sistem rawatan air, yang disampaikan oleh penceramah program, iaitu Ir. Ts. Dr. Mohamad Hairi Osman dan Profesor Madya Dr. Mimi Suliza Muhamad.

Aktiviti itu bertujuan meningkatkan pengetahuan serta kesedaran peserta terhadap kepentingan sumber air bersih yang lestari.

Turut berlangsung, majlis perasmian dan demonstrasi pengoperasian sistem rawatan air bertempat di Ladang Buluh UTHM, yang disempurnakan oleh Timbalan Dekan Penyelidikan, Pembangunan dan Penerbitan, FTK, Profesor Madya Ts. Dr. Noraini Marsi.

Selain itu, program itu juga diselitkan dengan aktiviti gotong-royong bagi membersihkan kawasan sekitar ladang buluh tersebut.

Ketua Kampung Kampung Sentosa, Tok Ayu Enn mewakili seluruh penduduk kampung turut menzahirkan penghargaan dan rasa terima kasih mereka atas perkongsian ilmu dan pendedahan berkaitan rawatan air bawah tanah,

“Program seumpama ini pastinya memberi banyak manfaat kepada kami, komuniti setempat,” katanya.

Manakala pihak universiti pula berharap program seumpama itu dapat memperkukuh kerjasama antara UTHM, industri dan komuniti dalam menyokong wawasan universiti sebagai kampus lestari, selain merapatkan lagi hubungan persaudaraan antara semua pihak yang terlibat.

Sistem penapis pasir