Oleh Muhaymin Hakim Abdullah, Farah Deena Md Rapee
JOHOR BAHRU – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus memperkukuh peranan dalam pembudayaan integriti apabila Angkatan Mahasiswa Anti-Rasuah (AMAR) UTHM menganjurkan Program Aku Janji Integriti bertempat di Kompleks Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Johor pada 23 Januari 2026 lalu.
Program berkenaan menjadi platform penting dalam menyemai nilai antirasuah dan etika kepimpinan dalam kalangan mahasiswa, selari dengan visi AMAR untuk mewujudkan generasi muda yang membenci rasuah serta menyokong usaha nasional memerangi salah guna kuasa.
Inisiatif itu juga mencerminkan komitmen berterusan UTHM dalam melahirkan graduan berintegriti, berprinsip dan bertanggungjawab terhadap masyarakat serta negara.
Sepanjang program, para peserta didedahkan dengan taklimat dan sesi perkongsian oleh pegawai SPRM Bahagian Pendidikan Masyarakat berkaitan peranan, fungsi dan pendekatan SPRM dalam pencegahan rasuah.
Pendekatan pendidikan berasaskan kesedaran itu sejajar dengan misi AMAR sebagai pemangkin kerjasama strategik antara institusi pengajian tinggi dan SPRM dalam menyebarkan mesej antirasuah secara berstruktur dan berkesan.
Kemuncak program ialah lafaz Aku Janji Integriti oleh Jawatankuasa Pelajar AMAR UTHM sebagai simbol iltizam mahasiswa untuk menjunjung nilai amanah, kejujuran dan keberanian menolak rasuah dalam apa jua bentuk.
Lafaz ikrar itu turut memperkukuh peranan mahasiswa sebagai ejen perubahan dalam menyampaikan mesej antirasuah bukan sahaja di kampus, malah kepada komuniti luar.
Selain itu, para peserta turut dibawa mengikuti lawatan pengurusan operasi SPRM Negeri Johor bagi memberi gambaran langsung terhadap sistem tadbir urus, mekanisme pemantauan serta cabaran sebenar yang dihadapi agensi tersebut dalam memastikan ketelusan dan keadilan terus terpelihara.
Penganjuran program itu juga menjadi signifikan apabila UTHM diberi penghormatan sebagai tuan rumah KEM AMAR peringkat negeri Johor 2026, yang bakal melibatkan penyertaan 11 institusi pengajian tinggi (IPT) di negeri ini.
Pelantikan itu sekali gus mengiktiraf keupayaan UTHM dan AMAR UTHM sebagai antara rakan strategik penting SPRM dalam memperluas agenda pendidikan antirasuah di peringkat negeri dan nasional.
Program Aku Janji Integriti itu bukan sekadar pengisian kesedaran, malah menjadi manifestasi komitmen UTHM dalam menyokong aspirasi AMAR dengan menjadikan mahasiswa sebagai suara utama dalam memerangi rasuah serta memupuk budaya integriti yang mampan dalam ekosistem universiti.


