Oleh Mohammad Zamri Ahmad, Suriayati Baharom
KUALA LUMPUR – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju pendidikan teknikal dan TVET apabila dianugerahkan ‘The World Brand of The Year – Excellence in Technical & TVET Higher Education 2025–2026’ oleh The World Best Brands Foundation.
Anugerah berprestij itu diterima bersempena ‘The BrandLaureate Brand of The Year Awards 2025–2026’ yang berlangsung pada 28 Januari 2026 lalu bertempat di The Majestic Hotel, Kuala Lumpur.
Anugerah berkenaan telah disampaikan oleh World President of The BrandLaureate, Profesor Emeritus Dr. KK Johan kepada Naib Canselor UTHM, Profesor Ts. Dr. Mas Fawzi Mohd Ali.
Prof. Mas Fawzi berkata pengiktirafan itu mencerminkan komitmen berterusan UTHM dalam memperkukuh penjenamaan universiti melalui kecemerlangan akademik, inovasi pendidikan TVET, hubungan strategik industri serta penyampaian nilai pendidikan yang relevan dengan keperluan semasa dan masa hadapan negara.
“Sebagai universiti peneraju TVET, UTHM kekal konsisten melahirkan graduan berkemahiran tinggi, berdaya saing dan bersedia menghadapi cabaran revolusi industri, sejajar dengan aspirasi pembangunan modal insan dan agenda nasional.
“Anugerah ini bukan sahaja menjadi simbol kepercayaan terhadap reputasi dan kredibiliti UTHM, malah mengukuhkan lagi peranan universiti sebagai institusi pilihan dalam memacu transformasi pendidikan teknikal dan TVET di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya.
Hadir sama ke majlis tersebut, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dr. Shahruddin Mahzan @ Mohd Zin; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Rabiah Ahmad, FASc; Penolong Naib Canselor (Strategik dan Kualiti), Profesor Dr. Nik Hisyamudin Muhd Nor; Ketua Pegawai Kewangan, Ismail Haron dan Pengarah Pejabat Pemasaran dan Komunikasi Korporat, Profesor Ts. Dr. Elmy Johana Mohamad.


