Oleh Dr. Muhamad Helmy Sabtu, Dr. Nurul Aimi Razali, Prof. Madya Dr. Lutfan Jaes
BATU PAHAT – Kepakaran Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan, matematik dan seni terus dimanfaatkan untuk pembangunan komuniti setempat menerusi penghasilan sebuah modul pembelajaran bersepadu berasaskan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) yang dibangunkan oleh Jabatan Sains Sosial, Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum.
Modul yang dibangunkan dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Batu Pahat serta Sekolah Kebangsaan Jelotong itu dinamakan I-Eco STEAM.
Ia merupakan satu karya inovasi yang dirangka khusus bagi meningkatkan tahap penguasaan murid sekolah rendah ke tahap tertinggi iaitu tahap penguasaan 6 atau TP 6 (pengaplikasian ilmu pengetahuan) melalui proses pembelajaran yang lebih interaktif dan menyeronokkan.
40 orang murid dari lima sekolah di sekitar daerah ini telah dipilih mengikuti program perintisan yang diadakan, yang mana setiap kumpulan perlu menghasilkan produk inovasi pertanian bandar.
Penilaian terhadap kumpulan bukan sahaja mengambil kira aspek inovasi, tetapi juga aspek kemahiran pengucapan awam, pemikiran kritikal dan strategik serta daya kreativiti dalam menghasilkan reka bentuk produk.
Modul yang dibangunkan itu adalah sebahagian dari inisiatif yang dilaksanakan oleh UTHM di bawah program pembangunan komuniti agro usahawan desa Agropreneur Madani yang memasuki siri keduanya tahun ini.
Menurut Dr. Haji Asrar Najib, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Batu Pahat (Sektor Pengurusan Sekolah), penghasilan modul bersepadu itu dilihat signifikan dan tiba pada masa yang tepat kerana silibus dan sistem pentaksiran sedia ada yang dilaksanakan di sekolah pada ketika ini hanya mampu menilai murid sehingga tahap penguasaan 4 (TP 4) sahaja.
“Pihak kami amat berbesar hati dengan hubungan baik yang terjalin antara pihak UTHM dengan sekolah, yang berjaya memberi 1001 limpahan manfaat dan kebaikan dalam menyokong pembangunan sistem pendidikan yang lebih holistik dan mampan,” katanya ketika berucap dalam majlis perasmian Program Citra Sahsiah dan Inspirasi Gemilang Sekolah Kebangsaan Jelotong pada 29 November 2025 lalu.
Hadir sama ke majlis tersebut, Prof. Ts. Dr. Rabiah Ahmad, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UTHM serta Md Ezam Taslim, wakil rasmi Ahli Parlimen Sri Gading.
Turut berlangsung, penyerahan Sekolah Angkat Madani serta pelancaran bilik pembelajaran digital, i-Digital Classroom yang direalisasikan oleh Pusat Hubungan Industri dan Masyarakat (ICRC) UTHM serta Perpustakaan Tunku Tun Aminah (PTTA) UTHM.


