IBARAKI – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus memperkukuh komitmen ke arah pengantarabangsaan apabila tiga pelajarnya terpilih menyertai Global Student Leadership Summit (GSLS) 2026 yang berlangsung di University of Tsukuba, Ibaraki, Jepun pada 9 hingga 11 Januari 2026.

Penyertaan itu selari dengan aspirasi UTHM dalam melahirkan graduan holistik, berdaya saing dan berfikiran global, di samping mampu menyumbang idea bernilai serta membina jaringan kepimpinan merentas budaya bersama peserta dari pelbagai negara.

Tiga pelajar tersebut terdiri daripada Najiha Natasha Mohamad Naszari dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP) dan Tengku Anwar Mukhlis Tengku Zaid dari Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV) yang juga merupakan ahli Majlis Perwakilan Pelajar UTHM Sesi 2024/2025, serta pelajar antarabangsa Ousman Mahamat Ousman Yussouf dari Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM).

Lawatan akademik dan penyertaan dalam persidangan kepimpinan antarabangsa itu turut disertai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTHM, Profesor Ts. Dr. Abdul Rasid Abdul Razzaq serta Timbalan Pendaftar Pejabat Hal Ehwal Pelajar, Ahmad Shah A Rahim sekali gus mencerminkan sokongan padu pihak pengurusan universiti terhadap pembangunan kepimpinan dan pendedahan global mahasiswa.

Sepanjang berlangsungnya GSLS 2026, para peserta didedahkan dengan pelbagai aktiviti berimpak tinggi seperti sesi keynote speaker antarabangsa, perbincangan panel, pembentangan idea, aktiviti kepimpinan rentas budaya serta kolaborasi kumpulan bersama pelajar dari universiti terkemuka dunia.

Pendedahan itu turut memberi nilai tambah kepada pelajar UTHM dalam aspek pemikiran kritikal, kepimpinan strategik dan kefahaman isu global, sekali gus menjadi pengalaman pembelajaran yang signifikan di luar bilik kuliah.

Bertemakan “Nurturing Future Global Leader,” GSLS 2026 menumpukan kepada enam teras utama iaitu Tindakan Iklim dan Kemampanan, Pemerkasaan Belia dan Penglibatan Sivik, Kesihatan dan Kesejahteraan Global, Kecerdasan Buatan dan Teknologi Baharu untuk Impak Sosial, Pembelajaran Sepanjang Hayat dan Kemahiran Masa Depan, serta Ekonomi Digital dan Keusahawanan Belia.

Penekanan terhadap isu-isu semasa itu menjadikan sidang kemuncak tersebut sebagai platform kepimpinan yang komprehensif dan relevan dengan cabaran global masa hadapan.

Program GSLS 2026 merupakan anjuran bersama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Yayasan Perkasa Siswa, Universiti Malaya serta dilaksanakan melalui kerjasama strategik bersama University of Tsukuba, Jepun.

Kerjasama itu membuka ruang jaringan akademik dan kepimpinan antarabangsa yang lebih luas antara institusi pendidikan tinggi Malaysia dan Jepun.

Prof. Abdul Rasid berharap penyertaan mahasiswa UTHM dalam GSLS 2026 dapat memperkasa lagi pembangunan sahsiah, kepimpinan dan keyakinan diri mereka, selain memperkukuh penjenamaan UTHM sebagai universiti teknikal dan kejuruteraan yang berorientasikan global serta berdaya saing di peringkat antarabangsa.

“Usaha itu juga selaras dengan agenda universiti dalam memperluas kolaborasi strategik dan menyokong ekosistem pendidikan tinggi berimpak tinggi,” katanya.