Kejadian tanah runtuh bukanlah kisah asing di Malaysia. Setiap musim hujan, seolah-olah ada skrip yang berulang. Berita tentang cerun runtuh, jalan terputus, rumah retak dan penduduk dipindahkan kembali memenuhi halaman akhbar. Namun di sebalik setiap kejadian, ada persoalan yang semakin mendesak iaitu; mengapa tanah runtuh masih berlaku begitu kerap di negara yang berkelembapan tinggi ini dan adakah kita benar-benar memahami puncanya?
Ramai mungkin cepat menuding jari kepada hujan setiap kali melihat cerun rebah. Hakikatnya, bagi mereka yang berada dalam dunia kejuruteraan geoteknik, hujan jarang menjadi pesalah utama. Ia hanyalah pencetus terakhir yang menolak cerun yang sudah lama lemah ke titik kegagalan. Sebuah cerun yang direka dengan baik mampu menahan curahan hujan tropika. Antara yang meyumbang punca biasanya ialah tindakan-tindakan manusia yang berlaku jauh sebelum hujan turun seperti potongan cerun yang terlalu curam, sistem saliran yang tidak sempurna, timbunan tanah yang tidak dipadatkan, atau penyelenggaraan yang diabaikan sehingga air meresap tanpa kawalan. Apabila tanah semakin berat dan kekuatannya menurun, cerun hanya menunggu masa untuk menyerah.
Sebelum ia rebah sepenuhnya, cerun sebenarnya tidak pernah diam. Ia memberi isyarat, tetapi isyarat yang halus dan cukup halus untuk dilepas pandang oleh kebanyakan orang. Antara isyarat yang diberikan adalah retakan kecil pada tanah, dinding rumah yang tiba-tiba merekah kecil, tiang pagar yang condong sedikit demi sedikit, pokok yang senget tanpa sebab, atau longkang yang berganjak daripada jajaran asal. Kadangkala muncul juga mata air misteri daripada kawasan yang selama ini kering, seakan-akan tanah membuat aliran rahsia dibawahnya.
Kesemua tanda ini adalah bahasa tubuh cerun yang sedang bergerak perlahan. Bagi kebanyakan orang awam, ia mungkin kelihatan agak remeh. Namun bagi jurutera, ia adalah amaran awal bahawa tanah sedang hilang kestabilan. Mengenali tanda-tanda ini bukan sekadar pengetahuan teknikal, tetapi ilmu menyelamatkan nyawa. Kepekaan terhadap perubahan kecil ini membolehkan penduduk bertindak lebih awal dengan memaklumkan kepada pihak berkuasa, mendapatkan pemeriksaan profesional, atau sekurang-kurangnya menjauhi kawasan berisiko. Kita sering terlupa bahawa hampir semua tragedi tanah runtuh besar bermula dengan tanda yang kecil dan senyap.
Sejarah tanah runtuh di Malaysia juga tidak kurang dramatiknya. Sejak 1961 hingga Ogos 2024, negara mencatatkan 6,532 insiden tanah runtuh. Angka ini bukan sekadar statistik; ia mewakili trauma, kehilangan dan kerosakan. Kerugian ekonomi dianggarkan mencecah RM4.9 bilion, manakala rekod sejak 1961 hingga 2007 menunjukkan 577 nyawa telah terkorban akibat bencana ini. Dalam kategori bencana alam, tanah runtuh berdiri antara di kedudukan utama di negara tercinta ini.
Tragedi Batang Kali pada 16 Disember 2022 menjadi peringatan yang paling segar di ingatan rakyat. Sebuah tapak perkhemahan yang sepatutnya menjadi tempat berehat bertukar menjadi lokasi malapetaka apabila runtuhan besar meragut 31 nyawa. Di Bukit Antarabangsa pula, deretan insiden sejak dahulu memperlihatkan bagaimana kawasan berbukit yang indah boleh bertukar menjadi zon bahaya apabila pembangunan tidak disertai disiplin reka bentuk dan penyelenggaraan yang rapi.
Walaupun tanah runtuh tidak dapat dibendung sepenuhnya, risiko ini sebenarnya boleh dikurangkan dengan ketara. Reka bentuk cerun yang betul, saliran yang sempurna, pemeriksaan berkala dan pemantauan berterusan adalah formula pencegahan yang telah lama terbukti. Namun, tanggungjawab ini bukan milik pihak berkuasa atau jurutera semata-mata. Masyarakat juga mempunyai peranan penting dengan tindakan sekecil memastikan longkang tidak tersumbat atau tidak menebang pokok di cerun, perbezaan besar boleh tercipta.
Akhirnya, tanah runtuh bukan sekadar isu teknikal. Ia adalah gambaran hubungan manusia dengan alam, hubungan yang memerlukan rasa hormat, disiplin, dan kesedaran. Cerun bukan hanya landskap, ia adalah struktur yang hidup dan sensitif. Jika kita memahaminya, menjaganya, dan mendengar amaran yang diberikannya, banyak tragedi boleh dicegah. Dengan kesedaran yang lebih mendalam dan amalan penyelenggaraan yang lebih berdisiplin, Malaysia mampu menukar lembaran statistik gelap ini menjadi kisah kejayaan dalam melindungi nyawa, harta dan masa depan masyarakat._Kredit foto-Paul Tan

Profesor Madya Ir. Dr. Mohd Khaidir bin Abu Talib
Jabatan Kejuruteraan Awam,
Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina,
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
