Oleh Dr. Noraziahtulhidayu Kamarudin, Dr. Rahayu A Hamid

BATU PAHAT – Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melakar sejarah baharu apabila Studio Audio, Video dan Animasi yang dinaik taraf hasil kerjasama dengan Isianpadu Systems Sdn. Bhd. kini dilancarkan dengan nama baharu iaitu “Studio Isianpadu.”

Naik taraf studio tersebut merupakan kesinambungan daripada Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai antara UTHM dan Isianpadu Systems pada 15 Mei 2024 lalu hasil penyelarasan pensyarah fakulti, Dr. Che Samihah Che Dalim.

Untuk rekod, projek itu bermula pada Ogos 2025 dan siap sepenuhnya pada November 2025 dengan sumbangan bernilai RM10,000 daripada pihak syarikat.

Majlis peluncuran nama baharu yang diadakan pada 30 Disember itu turut dihadiri wakil Isianpadu Systems iaitu Ts. Jasmani Dari, Pengarah Jualan, Pemasaran dan Pembangunan Perniagaan; Kamill Bakhtiar, Pengurus Jualan; Wan Nur Aishah Hanis Rusli, Eksekutif Jualan dan Aishah Sazaly, Eksekutif  Pemasaran.

Dekan FSKTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Farhan Md. Fudzee dalam ucapannya merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Isianpadu Systems atas sumbangan yang disifatkan sebagai satu langkah besar dalam memastikan pelajar mendapat pendedahan kepada persekitaran teknologi bertaraf industri.

“Peluncuran Studio Isianpadu bukan sahaja menandakan peningkatan keupayaan teknikal FSKTM, tetapi juga membuka peluang kepada pelajar untuk meneroka teknologi terkini dalam bidang multimedia,” katanya.

Manakala Jasmani pula menyatakan pihaknya amat menghargai kerjasama erat daripada warga fakulti dan berharap usaha itu menjadi permulaan kepada pelan sumbangan berterusan akan datang.

Dengan sokongan berterusan daripada Isianpadu Systems, UTHM dijangka terus melahirkan graduan yang kompeten dan bersedia menghadapi cabaran industri kreatif digital.