Oleh Profesor Madya Dr. Hamizah Mohd Safuan

Pusat Masyarakat Living Lab di bawah inisiatif Pusat Hubungan Industri dan Masyarakat (ICRC), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berperanan sebagai agen perubahan sosial melalui pelaksanaan pelbagai program berimpak tinggi, terutamanya di daerah Muar, Johor.

Bagi Living Lab Bandar Muar yang mengkhususkan program-program pendidikan, pendigitalan dan kelestarian, bidang teknologi makanan mempunyai potensi yang besar untuk diketengahkan.

Melalui jaringan kerjasama Living Lab bersama pelbagai rakan strategik seperti Majlis Perbandaran Muar (MPM), Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ) dan Institut Ahli Sunnah Wal Jamaah (ISWAJ), usaha itu digerakkan oleh sekumpulan pensyarah juga merupakan penyelidik kumpulan fokus Future Food dari UTHM Kampus Cawangan Pagoh.

Antara usaha yang telah dilaksanakan adalah memperkasa pengetahuan halal dan amalan keselamatan makanan bagi meningkatkan kesedaran dan pemahaman masyarakat mengenai konsep Halalan Toyyiban serta kepentingan pematuhan pensijilan halal.

Beberapa siri kursus yang melibatkan warga emas, pengusaha mikro, peniaga persendirian dari rumah dan pemilik restoran di daerah Muar telah dilaksanakan secara berstruktur dan berterusan.

Latihan ini merangkumi konsep halal, ramuan kritikal, keperluan dokumentasi pensijilan halal, serta pengendalian makanan yang betul menurut piawaian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Selain itu, turut dilaksanakan inisiatif mengukuhkan kemahiran pengendalian makanan, melalui penganjuran program berfasa rantaian inovasi dan pembuatan makanan difortifikasi mesra usia yang digerakkan di bawah Geran Komuniti@UniMadani pimpinan Profesor Madya Dr. Siti Fatimah Zaharah Mohd Fuzi bermula 20 Ogos 2025 hingga 4 Disember 2025.

Projek itu telah  berjaya memberi peluang kepada 30 orang komuniti bandar Muar mendapatkan kursus latihan pengendali makanan secara percuma, bertempat di di Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) Muar.

Peserta yang kebanyakannya terdiri daripada pengusaha dan peniaga dari rumah (home-based), telah berjaya melengkapkan diri dengan ilmu pengendalian makanan.

Bagi mengasah kemahiran, sesi hands-on bagi menghasilkan produk makanan difortifikasi warga emas juga disediakan dalam projek sama bertempat di Pejabat MPM.

Sesi tersebut memberi peluang melatih komuniti teknik-teknik dalam penghasilan produk dan potensi penjanaan pendapatan dari produk makanan yang dihasilkan.

Turut diadakan, inisiatif pemerkasaan ekonomi komuniti pesara dan usahawan mikro muar melalui pensijilan halal melalui kursus kesedaran halal kepada komuniti Muar yang disampaikan oleh Jurulatih Halal Bertauliah JAKIM iaitu Prof. Madya ChM. Dr. Norhayati Muhammad dan Dr. Nur Hafizah Malik.

Kursus itu bertujuan memberi pendedahan kepada komuniti tentang kepentingan pematuhan halal dalam penyediaan makanan, khususnya bagi mereka yang berhasrat menceburi keusahawanan makanan dari rumah.

Pengusaha-pengusaha Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dari daerah Muar berpeluang berkongsi pengalaman sebenar mereka termasuk cabaran pematuhan piawaian keselamatan, strategi pemasaran, teknik pemprosesan dan inovasi dalam penghasilan sesuatu produk makanan atau minuman.

Susulan itu, program bimbingan pensijilan halal melibatkan penyertaan lima syarikat berstatus industri makanan mikro dan kecil di Muar dilaksanakan untuk membolehkan peserta mendapat tunjuk ajar secara teratur melalui beberapa peringkat.

Ia merangkumi penyediaan dokumen sokongan, pengenalan kepada penggunaan sistem permohonan MYeHALAL JAKIM, serta penglibatan dalam latihan asas yang diperlukan bagi tujuan pensijilan.

Selain aktif menjalankan jaringan bersama agensi di Muar, Living Lab juga berfungsi sebagai penyedia latihan bersasar bersama JPNJ kepada ahli-ahli PeladangNita negeri Johor.

Bengkel pembuatan yogurt nanas hasil tunjuk ajar kumpulan pengajar profesional UTHM yang diadakan pada 22 hingga 25 Julai 2025 pula telah memberi peluang kepada 133 peserta berkaitan ilmu dan teknik-teknik yang betul dalam penyediaan makanan.

Menurut Pengarah ICRC, Profesor Madya Ts. Dr. Faridah Kormin, dengan pelaksanaan program itu, para peserta berjaya meningkatkan kemahiran dalam menghasilkan produk inovatif sama ada untuk kegunaan sendiri mahupun sebagai inisiatif penjanaan pendapatan melalui pengkomersialan hasil tani, seterusnya berpotensi berkembang ke tahap PKS/SME.

“Melalui rangkaian program yang berterusan bersama komuniti, usaha Living Lab  berfungsi secara berterusan sebagai pusat pembelajaran dan pusat inovasi komuniti wajar diteruskan kerana ia membawa kesan langsung kepada kesejahteraan dan kemajuan ekonomi setempat.

“Penglibatan peserta yang menunjukkan komitmen tinggi membuktikan bahawa komuniti Muar memiliki potensi besar untuk berkembang melalui pendekatan teknologi makanan berasaskan latihan dan inovasi.

“Living Lab bukan sahaja menyalurkan pengetahuan, tetapi juga membudayakan amalan selamat, halal dan berteknologi dalam industri makanan,” katanya.

Melalui pendekatan community-driven, Living Lab berjaya: memperkukuh hubungan universiti–komuniti–industri, menyediakan platform latihan berterusan, menyokong penghasilan produk makanan yang selamat, memupuk komuniti celik halal dan berkemahiran, serta menyemai budaya pembelajaran sepanjang hayat.

“Kejayaan pelbagai program di bawah inisiatif Living Lab dan kerjasama strategik UTHM membuktikan bahawa pusat komuniti ini memainkan peranan sebagai agen perubahan sosial yang kukuh, meningkatkan taraf hidup komuniti Muar, serta mencetuskan transformasi jangka panjang dalam ekosistem industri makanan daerah ini,” tambah Dr. Faridah.

Living Lab kini menjadi model rujukan bagaimana penglibatan universiti dalam masyarakat mampu memperkasa komuniti dan membawa perubahan bermakna melalui ilmu, latihan dan kolaborasi mampan.

Komuniti Muar ketika sesi hands-on penyediaan makanan 3.
Komuniti Muar ketika sesi hands-on penyediaan produk makanan.
Kursus Kesedaran Halal Komuniti Mukim Muar 1.
Komuniti Muar ketika sesi bimbingan PKS.