TIRUVANNAMALAI – Pensyarah Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Profesor Madya Ts. Dr. Suliadi Firdaus Sufahani berjaya meraih Outstanding Faculty Award 2025 ketika menyertai International Research Conclave and Faculty Awards (IRCFA-2025) anjuran Aronax Research Foundation (ARF).

Majlis penyampaian anugerah berprestij itu telah berlangsung secara hibrid di Amoha Hotel, Tiruvannamalai, Tamil Nadu, India pada 28 Disember 2025 lalu, dengan penyertaan penyelidik dan ahli akademik dari pelbagai negara.

Anugerah tersebut bagi mengiktiraf sumbangan cemerlang Dr. Suliadi dalam bidang pendidikan tinggi, penyelidikan, inovasi serta amalan terbaik akademik yang berimpak tinggi.

Outstanding Faculty Award diberikan kepada ahli akademik yang menunjukkan kecemerlangan berterusan, pemikiran futuristik serta komitmen tinggi terhadap pembangunan ilmu dan masyarakat.

Pencapaian itu sekali gus mencerminkan peranan aktif Dr. Suliadi dalam menerajui penyelidikan berasaskan analitik, pengoptimuman dan sokongan keputusan, khususnya dalam aplikasi kesihatan, pemakanan dan pembangunan mampan.

Pengasas dan Pengarah Eksekutif ARF, Dr. Kasi Kamalakkannan dalam ucapannya berkata pengiktirafan itu adalah simbol penghargaan terhadap sumbangan akademik yang memberi kesan signifikan kepada komuniti global, selaras dengan misi ARF iaitu meraikan kecemerlangan penyelidikan dan inovasi.

Dr. Suliadi berharap kejayaan yang diraihnya bukan sahaja dapat mengharumkan nama UTHM, malah turut memperkukuh kedudukan Malaysia di persada akademik antarabangsa.

“Semoga dapat menjadi inspirasi kepada warga akademik dan penyelidik tempatan untuk terus memperkasa budaya penyelidikan berkualiti tinggi serta berdaya saing di peringkat global,” katanya.