Pada era ekonomi digital dan dunia yang semakin mencabar, keupayaan belia serta mahasiswa untuk memiliki bakat dan sifat keusahawanan menjadi antara kunci utama kepada kelangsungan pembangunan negara. Malaysia kini memerlukan generasi muda yang bukan sahaja berilmu, tetapi juga berani mengambil risiko, berdaya cipta, inovatif dan mampu mencipta peluang pekerjaan baharu, bukan sekadar menunggu peluang sedia ada.

Kerajaan MADANI melalui Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyedari realiti ini, lalu memperkenalkan pelbagai inisiatif yang menyokong pembentukan mahasiswa yang holistik dan berjiwa usahawan. Melalui pelaksanaan program berimpak tinggi seperti Pertandingan Inovasi Teknousahawan Electric Mobile Vehicle (E-Move) sebagai contoh, universiti awam dan politeknik kini menjadi platform utama membina ekosistem keusahawanan kampus yang dinamik serta mesra bakat belia.

Kemenjadian mahasiswa dalam konteks keusahawanan

Kemenjadian mahasiswa bukan hanya bermaksud pencapaian akademik semata-mata, tetapi melibatkan keseimbangan antara ilmu, kemahiran, sahsiah dan kebolehpasaran diri. Dalam konteks keusahawanan, kemenjadian ini dapat dilihat melalui keupayaan mahasiswa mengenal pasti masalah, mencipta penyelesaian bernilai komersial, serta mengurus idea menjadi produk atau perkhidmatan yang mampu memberi impak kepada masyarakat.

Sifat usahawan tidak lahir dalam sehari. Ia memerlukan bimbingan, latihan dan ruang eksperimen. Mahasiswa yang mempunyai bakat keusahawanan lazimnya berfikiran kreatif, berorientasikan penyelesaian, tidak takut gagal, serta sentiasa ingin menambah nilai dalam setiap tindakan. Mereka menjadi pencetus inovasi dalam kampus dan berpotensi besar untuk menjadi pemimpin industri pada masa hadapan.

Peranan KPT dalam melahirkan graduan usahawan

Kementerian Pendidikan Tinggi memainkan peranan utama dalam memperkasa agenda keusahawanan mahasiswa. Melalui dasar dan pelan strategik seperti Pelan Tindakan Keusahawanan (PTK) Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2021-2025, KPT menyasarkan agar sekurang-kurangnya 10% graduan menjadi usahawan selepas bergraduat.

Antara program yang menyokong matlamat ini ialah Pertandingan Inovasi Teknousahawan Electric Mobile Vehicle (E-Move), sebuah gerakan keusahawanan berasaskan teknologi peringkat nasional yang menyatukan pelbagai aktiviti, pertandingan, bengkel dan latihan berasaskan pengalaman (experiential learning) untuk mahasiswa di seluruh negara.

Pertandingan Inovasi Teknousahawan Electric Mobile Vehicle (E-Move) memberi peluang kepada pelajar universiti, politeknik, dan kolej komuniti untuk mempelajari asas keusahawanan secara praktikal melalui bootcamp, simulasi perniagaan, pertandingan pitching, serta sesi bimbingan bersama usahawan berjaya. Ia bukan sahaja memperkukuh kemahiran berniaga, tetapi juga menanam semangat kepimpinan, daya tahan dan sikap pantang menyerah yang penting dalam dunia sebenar.

Selain E-Move, pelbagai program lain turut dilaksanakan Business Challenge @MOHE (Compete), Business Matching@KPT, Proficiency Certificate For Entrepreneurship Educators 2022 (Proceed 2.0), Digital Innovation Creativepreneur (DICE) dan Impact Digital Entrepreneurship Apprentice (IDEA@KPT). Kesemua inisiatif ini memperlihatkan kesungguhan KPT untuk menjadikan kampus sebagai inkubator idea dan platform pembangunan usahawan muda.

Universiti sebagai hab keusahawanan belia

Universiti kini berfungsi bukan hanya sebagai pusat ilmu, tetapi juga hab keusahawanan yang melatih pelajar menjadi peneraju ekonomi masa depan. Hampir semua institusi pengajian tinggi awam dan swasta mempunyai Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Pusat Pembangunan Kerjaya atau unit keusahawanan yang menjalankan pelbagai aktiviti bimbingan dan sokongan kepada pelajar.

Program seperti Varsity Entrepreneurship Skills and Talent (VEST), Pertandingan Inovasi dan Pengkomersilan dan syarikat pemula pelajar membuka ruang kepada mahasiswa mempersembahkan idea perniagaan mereka di peringkat nasional. Ramai antara mereka berjaya menukar projek akademik kepada produk pasaran sebenar menunjukkan bukti nyata bahawa bakat keusahawanan boleh disemai seawal di bangku universiti.

Usaha ini juga disokong oleh pelbagai agensi luar seperti SME Corp, TEKUN Nasional, dan MARA yang memberi dana serta bimbingan kepada pelajar yang ingin memulakan perniagaan. Kolaborasi antara universiti dan agensi industri turut memperkukuh ekosistem keusahawanan negara agar pelajar tidak hanya belajar teori, tetapi turut menguasai realiti dunia perniagaan sebenar.

Sifat Keusahawanan sebagai asas kemenjadian belia

Bakat keusahawanan bukan hanya terletak pada kemampuan menjual atau mencipta produk, tetapi juga pada cara seseorang berfikir dan bertindak. Mahasiswa yang mempunyai sifat keusahawanan lazimnya memiliki minda positif, kemahiran menyelesaikan masalah, kepimpinan proaktif dan empati sosial. Mereka melihat cabaran sebagai peluang, dan kegagalan sebagai pembelajaran.

Dalam konteks pembangunan belia, sifat-sifat ini amat penting. Ia melahirkan generasi muda yang berdaya tahan (resilient), tidak bergantung kepada kerajaan semata-mata, dan mampu berdiri atas usaha sendiri. Malah, nilai keusahawanan juga memperkukuh keupayaan belia untuk memimpin masyarakat seterusnya menjadi agen perubahan sosial, memperjuangkan kelestarian, serta menyumbang kepada kesejahteraan komuniti.

Selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, mahasiswa yang berjiwa usahawan bukan sekadar mengejar keuntungan, tetapi turut menitikberatkan tanggungjawab sosial dan nilai kemanusiaan. Mereka membina perniagaan beretika, lestari dan memberi manfaat kepada masyarakat, seiring dengan konsep keusahawanan sosial yang semakin berkembang.

Mengarusperdanakan budaya usahawan di kampus

Bagi memastikan budaya keusahawanan benar-benar sebati dalam diri mahasiswa, pendekatan menyeluruh perlu dilaksanakan. Ia harus bermula dari bilik kuliah iaitu melalui integrasi elemen keusahawanan dalam kurikulum pelbagai bidang, termasuk sains, teknologi, seni dan kemanusiaan.

Universiti boleh memperkenalkan micro-credential dan kursus pendek berasaskan keusahawanan digital, e-dagang, serta pemasaran global agar pelajar dapat menyesuaikan diri dengan keperluan industri semasa. Aktiviti luar bilik darjah seperti bazarvaganza, pameran keusahawanan, mini karnival dan pertandingan perusahaan mini sosial, pula memberi ruang kepada mahasiswa meneroka bakat sebenar mereka dalam suasana terkawal tetapi mencabar.

Program E-Move oleh KPT yang kini diperluas ke seluruh institusi turut menonjolkan usaha menyeluruh kerajaan dalam membudayakan keusahawanan sebagai elemen teras pembangunan diri mahasiswa. Ia bukan sahaja memberi kesedaran, tetapi menyediakan platform latihan sebenar yang boleh mengubah minat menjadi kerjaya.

Menuju generasi usahawan muda MADANI

Kemenjadian belia dan mahasiswa berjiwa keusahawanan bukan lagi pilihan, tetapi satu keperluan dalam membina negara berdaya saing dan lestari. Di tengah ketidaktentuan ekonomi global, hanya generasi muda yang kreatif, inovatif dan berani mengambil risiko mampu memacu ekonomi negara ke tahap yang lebih tinggi.

Usaha KPT melalui program seperti E-Move, VEST dan pelbagai pelan strategik lain adalah bukti komitmen kerajaan dalam mempersiapkan mahasiswa sebagai pemimpin ekonomi masa depan. Namun, kejayaan sebenar bergantung kepada kesediaan mahasiswa itu sendiri untuk keluar dari zon selesa dan berfikir sebagai pencipta, bukan hanya pengguna.

Sebagai generasi penerus, mahasiswa hari ini perlu menyedari bahawa keusahawanan bukan sekadar jalan untuk mencari rezeki, tetapi wadah untuk membina jati diri, kepimpinan dan sumbangan kepada masyarakat. Dengan semangat ini, Malaysia mampu melahirkan generasi usahawan muda MADANI yang merangkumi elemen berilmu, beretika, dan berwawasan global.

 

Profesor Ts. Dr. Abdul Rasid Abdul Razzaq

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni)

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Dr. Anim Zalina Azizan

Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni)

Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)