Dunia pekerjaan hari ini sedang berubah dengan sangat pantas akibat perkembangan teknologi kecerdasan buatan, automasi pintar dan digitalisasi dalam hampir semua sektor. Berdasarkan data global menunjukkan 85 juta pekerjaan akan digantikan secara keseluruhan menjelang akhir 2025, tetapi disertai dengan penciptaan 97 juta pekerjaan baharu, menghasilkan pertumbuhan bersih sebanyak 12 juta pekerjaan. Permintaan terhadap pekerja yang kemahiran AI telah meningkat, dengan premium gaji sehingga 56% bagi pekerja yang menguasainya.
Perubahan ini bukan sahaja mengubah cara organisasi beroperasi, malah menuntut graduan untuk memiliki kemahiran baharu yang lebih dinamik dan anjal. Pekerjaan yang wujud sepuluh tahun lalu mungkin tidak lagi relevan hari ini, manakala pekerjaan yang muncul dalam tempoh lima tahun akan datang mungkin belum wujud. Dalam realiti ini, graduan perlu memiliki dua komponen utama iaitu fleksibiliti dan adaptasi bagi memastikan mereka berjaya dalam pasaran kerja yang dipacu oleh AI.
Di Malaysia, data semasa menunjukkan perkembangan positif dalam kebolehpasaran graduan. Statistik terbaharu menunjukkan jumlah graduan warganegara Malaysia yang bekerja dalam bidang pengajian masing masing mencatatkan peningkatan sebanyak 62.5 peratus kepada 134,029 orang pada tahun lepas. Ini juga menunjukkan peningkatan sebanyak 4.6 peratus berbanding tahun 2021.
Peningkatan ini memberi gambaran bahawa graduan mula dapat menyesuaikan diri dengan permintaan industri dan berjaya menempatkan diri dalam bidang yang sesuai dengan kelayakan akademik mereka. Walaupun angka ini memberi harapan, realitinya dunia pekerjaan dipacu AI menuntut lebih daripada sekadar pencapaian akademik.
Sementara itu, statistik turut menunjukkan penurunan jumlah graduan yang bekerja di luar bidang. Walaupun perkembangan ini baik, isu ini masih perlu diberi perhatian. Terdapat laporan yang menunjukkan lebih dua juta lepasan graduan di Malaysia bekerja di luar bidang atau dalam pekerjaan yang tidak setaraf dengan kelayakan pendidikan mereka. Dalam konteks ini, fleksibiliti dan adaptasi graduan boleh menjadi faktor penting untuk mengatasi jurang tersebut.
Melihat kepada data sektor pekerjaan berkemahiran tinggi, pada tahun 2024 terdapat seramai 110,162 graduan bekerja dalam kategori mahir. Ini bersamaan 66.2 peratus dan merupakan peningkatan sebanyak 4.1 peratus sejak tahun 2021. Data ini menunjukkan peningkatan keperluan tenaga kerja mahir dalam sektor berasaskan teknologi.
Namun angka ini juga menggambarkan satu hakikat penting bahawa persaingan untuk pekerjaan berkemahiran tinggi semakin meningkat. Hanya graduan yang cepat menyesuaikan diri, sanggup belajar kemahiran baharu dan memahami peranan teknologi dalam kerjaya masing masing akan berjaya memasuki kategori pekerjaan ini.
Pekerjaan berasaskan rutin kini semakin banyak digantikan oleh automasi. Sistem kecerdasan buatan, perisian robotik, dan platform automasi sudah mula mengambil alih tugas seperti pengurusan data, perakaunan asas, khidmat pelanggan peringkat pertama dan beberapa kerja pentadbiran.
Walaupun automasi menggantikan sesetengah fungsi, teknologi ini pada masa yang sama mewujudkan peluang pekerjaan baharu yang memerlukan pemikiran kreatif, kemahiran penyelesaian masalah dan kemampuan mengurus teknologi. Keadaan ini menjadikan fleksibiliti sebagai keupayaan kritikal yang mesti dimiliki graduan.
Fleksibiliti menuntut kesediaan graduan untuk menerima perubahan, keberanian mencuba perkara baharu dan kemampuan untuk menyesuaikan diri dengan cara kerja yang berbeza. Contohnya, seorang graduan dalam bidang perniagaan kini perlu bersedia mempelajari penggunaan sistem analitik data atau memahami bagaimana AI digunakan untuk mengukur tingkah laku pengguna.
Graduan dalam bidang kejuruteraan pula perlu bersedia memahami elemen AI dalam penyelesaian teknikal. Fleksibiliti bukan hanya tentang kemampuan teknikal, tetapi juga tentang kesediaan mental untuk menerima perubahan tanpa rasa takut atau ragu.
Adaptasi memerlukan seseorang graduan untuk menyesuaikan diri dengan cepat apabila berlaku perubahan dalam persekitaran kerja. Dalam dunia pekerjaan yang dipengaruhi AI, adaptasi menjadi keupayaan yang sangat penting kerana perubahan berlaku dalam masa yang sangat singkat.
Graduan yang adaptif mampu mempelajari perisian baharu dalam masa yang singkat, mampu menyesuaikan diri dengan struktur kerja baharu seperti kerja jarak jauh dan kerja secara hibrid serta mampu menukar strategi kerja mengikut keperluan situasi. Tanpa adaptasi yang baik, seseorang graduan akan mudah berasa tertekan dan ketinggalan berbanding rakan sekerja yang lebih tangkas.
Dalam konteks negara, Kementerian Pengajian Tinggi turut memberi perhatian serius terhadap isu kebolehpasaran graduan. Kementerian menyambut baik sasaran keberhasilan dalam Rancangan Malaysia ke 13 bagi tempoh 2026 hingga 2030 yang menyasarkan 70.1 peratus graduan bekerja setara dengan kelayakan pendidikan.
Sasaran ini tidak akan dicapai sekiranya graduan hanya bergantung kepada pengetahuan akademik semata mata tanpa kemahiran tambahan yang berkaitan teknologi dan adaptasi kerja. Graduan perlu mengambil inisiatif sendiri untuk terus belajar dan membina kemahiran baharu yang sesuai dengan perubahan industri.
Selain kemahiran teknikal, graduan juga perlu membina kemahiran insaniah yang kukuh. Walaupun penggunaan teknologi semakin meningkat, terdapat banyak aspek pekerjaan yang tidak dapat digantikan oleh AI. Contohnya, kreativiti, empati, komunikasi, penyelesaian masalah secara manusiawi dan kebolehan bekerja dalam pasukan. Ini kerana AI hanya mampu berfungsi berdasarkan data, tetapi tidak memiliki nilai kemanusiaan yang diperlukan dalam keputusan penting dan interaksi sosial. Graduan yang berjaya ialah mereka yang mampu menggabungkan kemahiran insaniah dengan kemahiran teknologi, seterusnya menjadikan diri mereka lebih bernilai dalam organisasi.
Selain itu, institusi pengajian tinggi juga perlu memainkan peranan penting dalam melahirkan graduan yang fleksibel dan adaptif. Kurikulum perlu diperkasakan dengan elemen digital, analitik data dan AI merentas pelbagai program pengajian.
Pendedahan kepada industri juga perlu ditingkatkan agar pelajar memahami realiti pekerjaan sebenar. Namun usaha ini tidak cukup sekiranya graduan sendiri tidak bersedia untuk mengubah sikap, meningkatkan pembelajaran kendiri dan mencari peluang untuk meningkatkan kemahiran.
Kesimpulannya, cabaran dunia pekerjaan era AI memerlukan graduan yang mempunyai fleksibiliti dan adaptasi tinggi. Teknologi akan terus berkembang dan industri akan terus berubah. Graduan yang tidak bersedia untuk berubah akan ketinggalan, manakala graduan yang sentiasa ingin belajar dan mampu menyesuaikan diri akan terus maju dan berdaya saing.
Masa depan pekerjaan bukan lagi bergantung kepada kelayakan akademik semata mata, tetapi bergantung kepada sejauh mana seseorang graduan mampu beradaptasi dalam dunia penuh perubahan ini. Dengan fleksibiliti, adaptasi dan semangat belajar berterusan, graduan Malaysia mampu menjadi tenaga kerja masa hadapan yang menyumbang kepada kemajuan negara dan ekonomi digital global.
Profesor Madya Ts. Dr. Md Fauzi Ahmad
Pensyarah dan Penyelidik Kanan Pengurusan Teknologi Pengeluaran
Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
