Ramai antara kita sudah pun melangkah masuk ke tahun 2026 dengan azam yang baharu, namun masih terbelenggu oleh tabiat lama yang sama. Kita tahu apa yang perlu dibuat, memiliki maklumat dan sumber yang mencukupi, tetapi tetap memilih untuk bertangguh. Sikap inilah yang disebut sebagai prokratis, satu istilah wacana untuk menggambarkan kecenderungan menunda tindakan sehingga penangguhan itu kelihatan wajar, rasional, malah seolah-olah berhati-hati.

Perlu dijelaskan bahawa prokratis bukanlah istilah rasmi dalam kamus atau terminologi psikologi. Dalam literatur akademik, istilah yang lebih tepat ialah procrastination. Namun istilah prokratis digunakan di sini bagi merujuk kepada satu pola sikap moden, apabila seseorang menjadi begitu mahir merasionalisasi penangguhan, sambil memberi ilusi kemajuan melalui perancangan, perbincangan dan persediaan yang tidak berkesudahan. Kita bukan sekadar bertangguh, tetapi pandai membungkus penangguhan itu sebagai produktiviti palsu.

Sikap prokratis ini subur hampir di semua ruang kehidupan. Dalam sektor awam, tugasan sering tertangguh dalam kitaran menunggu arahan, kelulusan atau mesyuarat seterusnya. Di sektor korporat, kerja hanya digerakkan apabila tarikh akhir semakin menghimpit, lalu menghasilkan keputusan yang jarang benar-benar optimum. Di universiti pula, mahasiswa mengumpul artikel jurnal, buku rujukan dan nota dengan tekun, namun pelaksanaan tugasan tetap berlaku dalam mod saat akhir. Lama-kelamaan, bertangguh tidak lagi dilihat sebagai kelemahan individu, sebaliknya menjadi budaya kolektif yang dinormalisasikan.

Isu ini sering mudah disandarkan kepada perbezaan generasi. Generasi muda dilabel kurang fokus dan mudah teralih perhatian, manakala generasi lebih lama dianggap terlalu selesa dan lambat berubah. Namun penjelasan ini terlalu ringkas. Hakikatnya, sikap prokratis merentas semua peringkat umur. Puncanya bukan generasi, tetapi persekitaran dan sistem. Budaya kerja yang terlalu bertolak ansur dengan kelewatan, sistem akauntabiliti yang kabur, serta ganjaran yang gagal membezakan antara mereka yang bertindak awal dan yang berlengah telah menyuburkan sikap ini secara struktural.

Lebih mendasar, prokratis berakar pada psikologi individu. Kita cenderung lebih takut kepada risiko kecil yang segera, seperti rasa tidak selesa memulakan tugasan sukar, berbanding risiko besar jangka panjang seperti kegagalan, kemunduran kerjaya atau peluang yang terlepas. Penangguhan terasa lebih selamat pada jangka pendek, walaupun kesannya jauh lebih mahal dalam jangka panjang.

Sikap bertangguh ini sering diselindungi oleh justifikasi yang kedengaran matang: “Saya sedang berfikir panjang,” “Saya mahu buat kajian dulu sampai lengkap,” atau “Saya menunggu masa yang lebih sesuai.” Hakikatnya, menurut Timothy Pychyl, pakar psikologi yang banyak mengkaji tabiat bertangguh, procrastination bukan isu pengurusan masa, tetapi isu pengurusan emosi. Kita menangguhkan bukan kerana tidak tahu apa yang perlu dibuat, tetapi kerana ingin mengelak emosi negatif seperti bosan, ragu-ragu dan takut gagal.

Fenomena ini semakin ketara dalam era digital. Teknologi yang sepatutnya meningkatkan kecekapan sering bertukar menjadi sumber gangguan. Media sosial, notifikasi tanpa henti dan kandungan hiburan segera menjadikan kita sentiasa sibuk, tetapi jarang benar-benar produktif. Ramai antara kita gemar menyimpan video motivasi, resipi sihat, tip kewangan dan kursus pembangunan diri dengan niat untuk dilaksanakan “nanti”. Namun minggu bertukar bulan, simpanan itu hanya menjadi arkib niat baik yang tidak disentuh.

Begitu juga dengan seminar dan bengkel pembangunan diri. Kita sanggup membayar ratusan malah ribuan ringgit, pulang dengan semangat yang tinggi dan buku nota yang penuh, tetapi beberapa minggu kemudian kehidupan kembali ke rutin lama. Semangat hadir, tetapi sistem tidak dibina dan tindakan tidak menyusul. Tanpa disiplin bertindak, pengetahuan hanya kekal sebagai maklumat, bukan pemangkin perubahan.

Dalam dunia kerja 2026, jurang antara individu produktif dan individu prokratis semakin ketara. Individu produktif berpegang pada prinsip progress over perfection. Mereka memulakan langkah dengan versi awal, menilai kelemahan dan memperbaiki sepanjang perjalanan. Individu prokratis pula menunggu kesempurnaan, keadaan ideal dan motivasi penuh sebelum bergerak. Dalam ekonomi yang pantas dan kompetitif, menunggu saat “sempurna” adalah satu ilusi yang mahal.

Dalam kalangan mahasiswa, budaya menyiapkan tugasan pada saat akhir sering dianggap kebiasaan, malah kadangkala diraikan sebagai kebolehan bekerja di bawah tekanan. Namun tabiat ini melatih minda untuk berfungsi secara reaktif, bukan melalui disiplin dan perancangan. Apabila memasuki alam pekerjaan, corak yang sama berterusan dan membentuk profesional yang bertindak kerana terpaksa, bukan kerana kesedaran.

Perubahan sebenar tidak memerlukan revolusi besar. Ia bermula dengan tindakan kecil tetapi konsisten, memulakan tugasan walaupun belum sempurna, membina sistem kerja yang jelas, serta berhenti menjadikan motivasi sebagai prasyarat untuk bertindak. Keputusan yang baik hari ini jauh lebih bernilai daripada keputusan sempurna yang tidak pernah dibuat.

Kita sudah berada di tahun 2026. Masa depan tidak ditentukan oleh berapa banyak idea yang kita simpan, tetapi oleh berapa banyak yang kita laksanakan. Dalam dunia yang bergerak pantas, bertangguh bukan lagi pilihan neutral, tetapi kegagalan membuat keputusan.

Pilihan ada di tangan kita, sama ada terus menjadi prokratis yang kaya dengan niat, atau beralih menjadi individu produktif yang berani memulakan langkah. Tahun 2026 menuntut tindakan. Bukan esok. Bukan nanti. tetapi sekarang.

 

Dr. Noor Aslinda Abu Seman

Pensyarah Kanan

Johor Business School

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

 

Rencana ini juga diterbitkan di:

1. Borneo Daily Bulletin (borneodailybulletin.com), 8 Januari 2026: 2026 Jadi Produktif, Bukan ‘Prokratis’

https://www.borneodailybulletin.com/2026-jadi-produktif-bukan-prokratis/