Ekonomi dunia tahun 2026 dijangka berkembang secara sederhana, dengan unjuran pertumbuhan sekitar 2.9% hingga 3.3%, lebih rendah daripada era pra-pandemik. Pemulihan global tidak sekata, dipengaruhi inflasi, ketidaktentuan geopolitik, tekanan kadar faedah, serta risiko rantaian bekalan dan kelembapan pelaburan global.

Menurut unjuran rasmi, ekonomi Malaysia dijangka mencatat pertumbuhan yang sederhana sekitar 4.0 hingga 4.5 peratus pada 2026, selepas berkembang sekitar 4.4 hingga 4.5 peratus pada 2025, menunjukkan perlahan berbanding tahun-tahun sebelum ini. Unjuran pertumbuhan eksport Malaysia dianggarkan sekitar 2.9 peratus pada 2026, sementara import dijangka meningkat sekitar 3.7 peratus, mencerminkan kelemahan permintaan luar negara berbanding tahun sebelum ini.

Malaysia perlu bersedia menghadapi cabaran ekonomi tahun 2026 dengan lebih tersusun, realistik dan berani melakukan pembaharuan struktur. Landskap ekonomi global yang semakin tidak menentu, ditambah pula dengan tekanan geopolitik, perubahan teknologi yang pantas serta kesan perubahan iklim, menjadikan tahun-tahun mendatang sebagai tempoh kritikal kepada kelangsungan daya saing negara.

Tahun 2026 merupakan satu fasa peralihan penting yang menuntut kesiapsiagaan menyeluruh daripada kerajaan, sektor swasta dan rakyat. Jika persediaan ini gagal dirancang dari sekarang, Malaysia berisiko terperangkap dalam perangkap ekonomi berpendapatan sederhana yang berpanjangan.

Antara cabaran utama ekonomi 2026 ialah ketidaktentuan ekonomi global yang berpunca daripada konflik geopolitik, dasar perlindungan perdagangan dan ketidakseimbangan rantaian bekalan dunia. Perang berpanjangan di Eropah Timur, ketegangan di Asia Barat serta persaingan strategik antara kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan China memberi kesan langsung kepada perdagangan antarabangsa, harga komoditi dan aliran pelaburan.

Sebagai sebuah negara dagangan terbuka, Malaysia amat terdedah kepada kejutan luaran ini. Oleh itu, strategi kepelbagaian pasaran eksport, pengukuhan perdagangan intra-ASEAN serta penerokaan pasaran baharu di Asia Selatan, Afrika dan Timur Tengah perlu dipercepatkan.

Kos sara hidup

Dalam konteks domestik, isu kos sara hidup dijangka terus menjadi tekanan utama kepada rakyat menjelang 2026. Peningkatan harga makanan, perumahan, utiliti dan perkhidmatan asas bukan sahaja menjejaskan kuasa beli, malah memberi kesan kepada kesejahteraan sosial dan kestabilan ekonomi negara.

Malaysia perlu menilai semula kebergantungan kepada import makanan, memperkukuh sekuriti makanan negara dan meningkatkan produktiviti sektor pertanian melalui teknologi pintar, automasi dan penggunaan data. Transformasi sektor pertanian daripada aktiviti tradisional kepada agro-teknologi bernilai tinggi adalah keperluan mendesak, bukan lagi pilihan.

Keperluan TVET

Selain itu, struktur pasaran buruh Malaysia juga berdepan cabaran besar menjelang 2026. Isu gaji, ketidaksepadanan kemahiran dan kebergantungan kepada tenaga kerja asing berkemahiran rendah masih belum diselesaikan secara tuntas.

Revolusi Perindustrian 4.0, kecerdasan buatan (AI) dan automasi dijangka menggantikan banyak pekerjaan rutin, sekali gus meningkatkan risiko pengangguran struktur jika tenaga kerja tempatan tidak dipersiapkan dengan kemahiran baharu.

Malaysia perlu melakukan reformasi menyeluruh dalam sistem pendidikan dan latihan, termasuk TVET, universiti dan latihan semula pekerja agar sejajar dengan keperluan industri masa depan.

Pemerkasaan PMKS

PMKS yang menjadi tulang belakang ekonomi negara juga perlu diberi perhatian serius dalam persediaan menghadapi ekonomi 2026. Walaupun PMKS menyumbang lebih 38 peratus kepada KDNK dan menyediakan majoriti peluang pekerjaan, kebanyakannya masih beroperasi dengan margin keuntungan yang rendah, tahap automasi yang minimum serta daya tahan kewangan yang lemah.

Tanpa sokongan bersasar dalam bentuk akses pembiayaan pintar, pendigitalan operasi, penggunaan model perniagaan berasaskan AI dan integrasi ke dalam rantaian nilai global, PMKS akan terus terpinggir dan sukar bersaing dalam ekonomi masa hadapan.

Takbir urus fisikal

Dalam masa yang sama, Malaysia juga perlu bersedia menghadapi cabaran fiskal dan hutang negara menjelang 2026. Perbelanjaan kerajaan, subsidi dan keperluan bantuan sosial perlu diimbangi dengan keupayaan hasil negara yang mampan.

Rasionalisasi subsidi, peluasan asas cukai dan penambahbaikan tadbir urus fiskal perlu dilaksanakan dengan berhati-hati agar tidak membebankan golongan rentan. Pendekatan bersasar dan berasaskan data harus menjadi teras kepada dasar fiskal baharu, selari dengan aspirasi keadilan sosial dan kemampanan ekonomi jangka panjang.

Ekonomi hijau

Peralihan kepada ekonomi hijau dan mampan turut menjadi cabaran besar yang tidak dapat dielakkan menjelang 2026. Tekanan antarabangsa terhadap pematuhan piawaian Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), mekanisme pelarasan jejak karbon serta permintaan pengguna global terhadap produk mesra alam akan mempengaruhi daya saing eksport Malaysia.

Industri tempatan, khususnya PMKS, perlu dibantu untuk memahami dan melaksanakan prinsip kelestarian tanpa menjejaskan kelangsungan perniagaan. Pelaburan dalam tenaga boleh diperbaharui, ekonomi kitaran dan teknologi rendah karbon harus dipercepatkan agar Malaysia tidak ketinggalan dalam agenda global ini.

Ekonomi digital

Ekonomi digital pula bakal menjadi pemacu utama pertumbuhan menjelang 2026, namun Malaysia masih berdepan jurang digital yang ketara antara bandar dan luar bandar, serta antara perusahaan besar dan PMKS. Infrastruktur digital, akses internet berkelajuan tinggi dan literasi digital rakyat perlu diperkukuh secara menyeluruh.

Pada masa yang sama, isu keselamatan siber, perlindungan data dan etika penggunaan AI perlu ditangani secara serius bagi memastikan kepercayaan terhadap ekonomi digital dapat dipelihara. Tanpa ekosistem digital yang selamat dan inklusif, potensi ekonomi digital tidak akan dapat dimanfaatkan sepenuhnya.

Kestabilan politik dan dasar ekonomi

Dari sudut tadbir urus, Malaysia perlu memastikan kestabilan politik dan kejelasan dasar ekonomi bagi menarik pelaburan jangka panjang menjelang 2026. Pelabur bukan sahaja menilai insentif dan kos, tetapi juga konsistensi dasar, kecekapan institusi dan ketelusan pentadbiran.

Reformasi institusi, pengurangan kerenah birokrasi serta pemerkasaan tadbir urus berasaskan integriti adalah prasyarat penting untuk memastikan keyakinan pelabur terus kukuh. Tanpa keyakinan ini, usaha pemulihan dan pertumbuhan ekonomi akan berdepan pelbagai kekangan.

Daya tahan rantaian bekalan

Aspek daya tahan rantaian bekalan domestik turut menjadi isu kritikal pasca pandemik dan dijangka terus relevan sehingga 2026. Gangguan global sebelum ini mendedahkan kelemahan Malaysia yang terlalu bergantung kepada sumber luar bagi bahan mentah, komponen industri dan barangan strategik.

Oleh itu, agenda membangunkan industri tempatan, memperkukuh vendor tempatan perlu diberi keutamaan. Langkah ini bukan sahaja meningkatkan ekonomi, malah membuka peluang baharu kepada PMKS untuk menyertai rantaian bekalan bernilai tinggi.

Masyarakat menua

Satu lagi cabaran penting yang perlu diambil kira menjelang 2026 ialah dinamika demografi dan penuaan penduduk. Malaysia sedang bergerak pantas ke arah status negara menua, dengan peratusan penduduk berusia 60 tahun ke atas dijangka meningkat secara signifikan dalam tempoh terdekat. Perubahan struktur demografi ini akan memberi tekanan kepada pasaran buruh, sistem kesihatan awam dan perbelanjaan sosial kerajaan.

Jika tidak ditangani secara strategik, kekurangan tenaga kerja produktif boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi. Malaysia perlu merangka dasar pekerjaan fleksibel, memanjangkan usia persaraan secara berperingkat serta menggalakkan penyertaan tenaga kerja wanita dan warga emas berkemahiran dalam ekonomi.

Akhirnya, persediaan Malaysia menghadapi cabaran ekonomi 2026 memerlukan perubahan dan usaha kolektif semua pihak. Kerajaan perlu bertindak sebagai pemudah cara yang strategik, sektor swasta sebagai pemacu inovasi dan rakyat sebagai tenaga kerja yang berdaya saing serta adaptif. Kejayaan bukan ditentukan oleh dasar jangka pendek semata-mata, tetapi oleh keberanian membuat keputusan sukar hari ini demi kesejahteraan generasi akan datang.

Jika Malaysia mampu menyusun langkah dengan bijaksana, berasaskan data dan berpaksikan keadilan sosial, cabaran ekonomi 2026 bukan sahaja dapat dihadapi, malah boleh menjadi peluang untuk melonjakkan negara ke tahap yang lebih tinggi._foto hiasan:Thevocket

 

Profesor Madya Ts. Dr. Md Fauzi Ahmad

Pensyarah dan Penyelidik Kanan Pengurusan Teknologi Pengeluaran

Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

Rencana ini juga diterbitkan di:

1. Utusan Malaysia (muka surat: 14), 1 Januari 2026: Malaysia menuju pertumbuhan mampan 

 

2. Utusan (utusan.com.my), 1 Januari 2026: Malaysia menuju pertumbuhan mampan 

https://www.utusan.com.my/premium/2026/01/negara-menuju-pertumbuhan-mampan/

 

3. Berita Harian (muka surat: 11), 5 Januari 2026: Cabaran ekonomi 2026 tuntut Malaysia lebih bersedia 

 

4. Berita Harian (bharian.com.my), 5 Januari 2026: Cabaran ekonomi 2026 tuntut Malaysia lebih bersedia 

https://www.bharian.com.my/rencana/komentar/2026/01/1492652/cabaran-ekonomi-2026-tuntut-malaysia-lebih-bersedia