Oleh Norsyafira Rahmat

MUAR – Polis Bantuan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus melakar kecemerlangan apabila dua anggota wanitanya dinobatkan sebagai ‘Pelatih Terbaik Latihan Luar (Wanita)’ selama dua tahun berturut-turut ketika menyertai Latihan Kursus Asas Polis Bantuan (KAPB) yang diadakan di Maktab Teknik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bakri, Muar.

Bagi tahun 2024, Anugerah Pelatih Terbaik Latihan Luar (Wanita) diraih oleh Konstabel Polis Bantuan Noorazimah Mohamad.

Beliau menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang mengikuti kursus yang merangkumi latihan kawad, kecergasan fizikal, disiplin serta pengetahuan asas kepolisan.

Kejayaan itu sekali gus membuktikan tahap komitmen dan profesionalisme tinggi yang ditonjolkan oleh beliau sebagai anggota Polis Bantuan UTHM.

Kejayaan sama diraih pada tahun 2025 apabila Sarjan Mejar Polis Bantuan Siti Haslinda Ahmad telah diumumkan sebagai Pelatih Terbaik Latihan Luar (Wanita) ketika berlangsungnya Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Polis Bantuan Siri 10/2025 pada 04 Disember 2025.

Majlis tersebut telah disempurnakan oleh YDH DCP Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, Timbalan Pengarah (Operasi Pencegahan / Koordinasi Sumber sokongan) Jabatan Pencegahan Jenayah dan keselamatan Komuniti, Bukit Aman.

Hadir sama, Superintenden Polis Bantuan Muhammad Khair Mahmood Dean, yang juga Pengarah Pejabat Polis Bantuan dan Keselamatan UTHM (APSeM).

Kursus tersebut telah dihadiri seramai 149 pelatih yang terdiri daripada 17 agensi kerajaan dan swasta.

Seorang pegawai kanan bersama 11 anggota Polis Bantuan UTHM telah berjaya menamatkan kursus tersebut.

Kejayaan dua tahun berturut-turut itu merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan dan mencerminkan keberkesanan sistem latihan, pemantauan serta sokongan berterusan oleh pengurusan Polis Bantuan UTHM dalam melahirkan anggota yang berdisiplin, berintegriti dan yang mampu bersaing dengan secara professional dalam perkhidmatan keselamatan.

Pihak universiti mengucapkan syabas dan tahniah kepada kedua-dua anggota tersebut kerana mereka bukan sahaja mengharumkan nama Polis Bantuan UTHM, malah meningkatkan lagi imej positif universiti di mata umum.

“Diharapkan pencapaian ini dapat menjadi inspirasi dan motivasi kepada seluruh anggota Polis Bantuan UTHM untuk terus mengekalkan kecemerlangan dalam menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan,” kata Muhammad Khair.