Oleh Prof. Madya Ts Dr. Affero Ismail

KUALA LUMPUR, 21 Dis 2025 – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menjadi universiti pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) pertama dipilih UNESCO bagi melaksanakan Program Pembangunan Kapasiti TVET yang melibatkan penyertaan pemimpin utama insitusi TVET Republik Islam Iran.

Program yang berlangsung di Singapura dan Malaysia pada 15 hingga 20 Disember 2025 itu dianjurkan oleh UTHM, salah satu Pusat UNEVOC paling aktif di Asia Pasifik, dengan kerjasama UNESCO-UNEVOC Bonn dan Pejabat UNESCO Tehran.

Program yang mendapat pembiayaan Korea International Cooperation Agency (KOICA) itu diketuai oleh Pengurus Pusat UNEVOC UTHM, Profesor Madya Ts. Dr. Affero Ismail, melibatkan penyertaan 18 pengurus kanan dan pembuat keputusan utama daripada Technical and Vocational Training Organization (TVTO) dan Iran Instructor Training Centre (ITC).

Menurut Dr. Affero, persediaan bagi menjalankan program itu telah dilakukan sejak empat bulan lalu dengan bantuan dari pihak UNESCO dan kedutaan Iran.

Program bermula dengan pelancaran rasmi pada 15 Disember di Temasek Polytechnic, Singapura, bertemakan Advancing Governance, Innovation, Entrepreneurship, Digitalization and Greening.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Ketua UNESCO-UNEVOC International Centre for TVET, Friedrich Huebler, serta Seyed Jamil Ahmadi, Timbalan Presiden Latihan TVTO, yang mewakili Gholamhossein Mohammadi, Timbalan Menteri dan Presiden TVTO Republik Islam Iran.

Tambah beliau, sepanjang pelaksanaan di Singapura, peserta didedahkan kepada tadbir urus sistem TVET, inovasi digital, ekosistem keusahawanan dan amalan hijau, selain pendedahan terhadap pelaksanaan Industri 4.0 melalui lawatan akademik dan industri.

Manakala semasa lawatan rasmi ke UTHM, peserta terbabit diberi pendedahan kepada fasiliti berteknologi tinggi termasuk makmal automasi industri, Internet Pelbagai Benda (IoT), HVAC dan hangar aeronautik, yang mencerminkan kekuatan UTHM dalam mengintegrasikan teknologi terkini ke dalam pendidikan TVET.

“Peserta juga didedahkan dengan pelaksanaan program latihan bagi pendidik TVET di Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV).

“Selain itu, peserta turut mengikuti lawatan strategik ke Cypark Resources Berhad (Waste-to-Energy), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Putrajaya, serta MyFutureJobs di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi memahami pendekatan Malaysia dalam pembangunan kemahiran hijau, pendigitalan pasaran buruh dan penyelarasan ekosistem TVET,” jelas beliau.

Sebagai hasil utama program, dua surat hasrat telah ditandatangani antara UTHM, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) Malaysia serta TVTO Iran, yang disaksikan sendiri oleh Gholamhossein Mohammadi, Timbalan Menteri dan Presiden TVTO Republik Islam Iran.

Pemeteraian surat hasrat tersebut membuka ruang kepada kerjasama jangka panjang dalam latihan tenaga pengajar, pembangunan kurikulum, penyelidikan serta pertukaran kepakaran TVET antara kedua-dua negara.

Program Pembangunan kapasiti itu diakhiri dengan majlis penutup di Putrajaya yang menyaksikan peserta membentangkan Pelan Tindakan 90 Hari serta menerima sijil penyertaan daripada UNESCO-UNEVOC dan UNESCO Tehran Office.

“Penganjuran program ini mengukuhkan lagi kedudukan UTHM sebagai rakan strategik utama UNESCO-UNEVOC serta mencerminkan keyakinan komuniti antarabangsa terhadap kepakaran Malaysia dalam pembangunan kapasiti TVET di peringkat serantau dan global,” tambah Dr. Affero.