Oleh Profesor Madya Dr. Nor Aziati Abdul Hamid

LIUZHOU, 19 Dis 2025 – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menjadi salah satu institusi pengajian tinggi Malaysia yang terlibat dalam Perikatan Industri–Pendidikan TVET China–Malaysia atau China–Malaysia TVET Industry–Education Alliance (CMTIEA) yang telah dilancarkan secara rasmi di Liuzhou, China.

Penubuhan perikatan ini menandakan satu pencapaian penting dalam kerjasama dua hala Malaysia–China dalam bidang pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).

Persidangan sulung perikatan tersebut telah berlangsung di Lotus Villa Hotel dan Liuzhou Railway Vocational & Technical College (LVRTC), serta dirasmikan oleh Timbalan Datuk Bandar Kerajaan Perbandaran Liuzhou, Hu Lan.

Program itu menghimpunkan wakil kerajaan, universiti, institusi TVET dan rakan industri dari China dan Malaysia bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam pembangunan pendidikan vokasional dan industri.

Berteraskan prinsip perkongsian sumber, inovasi kolaboratif, integrasi industri–pendidikan dan manfaat bersama, perikatan itu memberi tumpuan kepada bidang kerjasama utama antara China dan Malaysia.

Antara bidang yang diberi keutamaan ialah pengangkutan rel, tenaga baharu dan pembuatan pintar, kecerdasan buatan (AI), serta pertanian moden, melalui tiga pendekatan utama iaitu pembangunan bakat secara bersama, pembinaan standard bersama dan penyelidikan serta pembangunan (R&D) kolaboratif,

Perikatan itu bertujuan membangunkan ekosistem integrasi industri–pendidikan bertaraf antarabangsa yang mampan.

Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) memainkan peranan kepimpinan strategik dalam penubuhan perikatan itu dan telah diiktiraf secara rasmi sebagai Naib Presiden Bersama CMTIEA, bersama LVRTC dan China Communications Construction Company (CCCC).

UMPSA turut dilantik sebagai Sekretariat Malaysia, manakala LVRTC berperanan sebagai Sekretariat China, sekali gus memperkukuh struktur tadbir urus Perikatan tersebut.

UTHM menyertai perikatan itu bersama beberapa institusi Malaysia lain termasuk Malaysia Rail Development Corporation (MRDC), Majlis TVET Negara (MTVET), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Universiti College of Yayasan Pahang (UCYP), Pahang Skills Development Centre (PSDC), Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) dan Kolej Komuniti Masjid Tanah.

Penglibatan UTHM dalam CMTIEA diselaras melalui Industrial Centre of Excellence for Railway (ICoE-Rail UTHM) yang memainkan peranan penting dalam penglibatan industri, pembangunan bakat rel, latihan profesional dan kerjasama antarabangsa.

Melalui ICoE-Rail, UTHM menyokong pelbagai inisiatif pembinaan kapasiti, latihan kemahiran rel serta penyelidikan gunaan yang sejajar dengan keperluan projek rel di peringkat nasional dan antarabangsa.

Selain itu, kepakaran pendidikan kejuruteraan rel daripada Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK), UTHM turut menyumbang dalam bidang seperti kejuruteraan sistem rel, isyarat dan komunikasi, rolling stock, elektrifikasi serta sistem pengangkutan pintar.

Sejak tahun 2024, UTHM melalui ICoE-Rail dan FTK telah terlibat secara aktif dengan rakan dari China, termasuk LVRTC dalam program latihan rel, pertukaran akademik dan pemindahan pengetahuan teknikal, bagi menyokong kesiapsiagaan tenaga kerja tempatan untuk projek infrastruktur rel utama negara.

Bermula tahun 2026, perikatan itu akan melaksanakan empat inisiatif utama iaitu International Railways Industry Skills Competition, Joint Malaysia Railway Industry Skills Competition, China–Malaysia “AI+” Teaching Resource Joint Development dan “AI+” Skills Competition, yang bertujuan memperkukuh kemahiran berteraskan industri, menggalakkan penerapan teknologi serta meningkatkan mobiliti bakat rentas sempadan.

Penubuhan Perikatan Industri–Pendidikan TVET China–Malaysia mencerminkan komitmen berterusan UTHM terhadap pendidikan sejajar industri, kerjasama antarabangsa dan pembangunan bakat rel yang mampan, selaras dengan aspirasi negara dalam bidang pengangkutan, pendigitalan dan pembangunan infrastruktur.