Oleh Suriayati Baharom
BATU PAHAT, 6 Dis 2025 – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melakar satu lagi pencapaian penting apabila meluncurkan inisiatif EduTourism UTHM ketika berlangsungnya Istiadat Konvokesyen Ke-25 UTHM.
Peluncuran bersejarah yang disempurnakan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Tan Sri Dato’ Dr. Azmi Rohani yang juga Pro Canselor UTHM itu diisi dengan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara UTHM dan Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ) bagi memperkukuh agenda penyelidikan, pendidikan dan pemerkasaan komuniti.
Peluncuran itu menandakan fasa baharu pembangunan EduTourism di UTHM yang selari dengan aspirasi UNESCO Ecohydrology Demonstration Site, selain menyokong pencapaian Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) dan agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
UTHM terus mengukuhkan peranan sebagai peneraju EduTourism berimpak tinggi di Malaysia melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif akademik, penyelidikan dan pembangunan komuniti.
Usaha itu diperkasa melalui Task Force EduTourism UTHM dan dipacu oleh pengiktirafan kampus sebagai Tapak Demonstrasi Ecohydrology UNESCO.
Pendekatan itu turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), serta konsep Living Lab yang menjadi identiti UTHM.
Sebagai universiti teknikal berteraskan TVET, UTHM memanfaatkan kepakaran fakulti kejuruteraan, alam sekitar, teknologi hijau dan pendidikan untuk mengembangkan EduTourism bukan sekadar sebagai program pelancongan ilmu, tetapi sebagai platform latihan industri, penyelidikan aplikasi dan demonstrasi teknologi.
Pendekatan TVET ini memastikan bahawa setiap program dan aktiviti EduTourism memberi nilai kemahiran, kompetensi teknikal dan penyelesaian berasaskan masalah (problem-based learning) kepada pelajar, komuniti dan rakan industri.
UTHM turut mengetengahkan konsep living lab, iaitu menjadikan kampus dan persekitarannya sebagai makmal hidup.
Melalui pendekatan itu, pelajar, penyelidik dan komuniti menggunakan infrastruktur sebenar seperti tasik, sungai, sistem perparitan, biodiversiti kampus, makmal terbuka dan ruang pembelajaran luar untuk kajian dan demonstrasi.
Konsep itu seiring dengan kerangka UNESCO Ecohydrology yang menekankan integrasi sains air, ekologi dan pembangunan sosial dalam persekitaran sebenar.
Menurut Profesor Madya Ir. Dr. Mohd Adib Mohammad Razi, Pengurus Ecohydrology dan Edu-Tourism, Sustainability Campus Office (SCO) UTHM, EduTourism UTHM membawa pembelajaran ke tahap lebih tinggi.
“Pendekatan EduTourism UTHM bukan sekadar memberi ilmu, ia membina kemahiran TVET, mengintegrasikan penyelidikan serta menjadikan kampus sebagai living lab yang menyelesaikan masalah sebenar.
“Inilah nilai tambah yang membezakan UTHM di peringkat nasional,” jelas beliau.
Melalui kluster EduTourism seperti Ecohydrology, Biodiversiti, Teknologi Hijau, Kejuruteraan dan Inovasi, Warisan dan Pembelajaran Luar Bilik Darjah, setiap satunya merangka program berasaskan tiga tonggak utama: akademik, penyelidikan dan impak komuniti.
“Pendekatan kluster ini mematuhi garis panduan UNESCO Ecohydrology Framework, serta menyokong pelaksanaan SDG 6 (Air Bersih dan Sanitasi), SDG 11 (Komuniti Mampan), SDG 13 (Tindakan Iklim) dan SDG 15 (Kehidupan di Darat),” tambah Dr. Adib.
Di samping itu, UTHM turut memperluaskan kerjasama dengan agensi kerajaan, industri dan pihak antarabangsa bagi mengukuhkan penyelidikan dan demonstrasi Ecohydrology serta living lab.
EduTourism UTHM bukan sahaja meningkatkan keterlihatan universiti sebagai pusat rujukan UNESCO Ecohydrology, tetapi juga sebagai institusi TVET yang menerapkan pembelajaran praktikal, penyelidikan berimpak dan inovasi komuniti.
Kesinambungan usaha itu diharap mampu menjadikan UTHM sebagai model nasional dalam mengintegrasikan pendidikan, teknologi dan pemuliharaan alam sekitar seiring visi UNESCO dan aspirasi pembangunan mampan negara.

