Kehidupan dan gaya hidup semakin mencabar, arus teknologi yang semakin pantas, tuntutan hidup yang semakin menekan seperti akademik, tekanan kerja dan cabaran ekonomi masih sama seperti tahun-tahun sebelumnya. Ramai daripada kita tidak menyedari bahawa punca keletihan mental, hilangnya fokus dan tekanan dalam hidup kadang kala berpunca daripada tabiat harian yang kelihatannya kecil tetapi diulang-ulang setiap hari. Penggunaan telefon pintar berjam-jam sehari boleh mengganggu tidur dan fokus, bekerja tanpa rehat menjejaskan produktiviti dan meningkatkan tekanan serta burnout. Manakala pengabaian pola makan dan tidur yang teratur serta senaman ringan menyebabkan kesejahteraan diri terganggu. Tahun 2026 bakal menjelang tidak lama lagi. Sudah tiba masanya untuk kita mencari titik permulaan mental yang meningkatkan komitmen kita untuk membuang tabiat lama dan membentuk tabiat baharu untuk hidup yang lebih sihat dan sejahtera.
Berikut adalah antara tabiat yang telah sebati dalam diri yang wajar untuk ditinggalkan sebelum menjelang tahun 2026 dan menggantikan dengan tabiat baharu yang boleh meningkatkan kesejahteraan hidup.
- Melayari media sosial tanpa kawalan
Ramai dalam kalangan kita telah menghabiskan lebih kurang empat hingga enam jam sehari melayari media sosial tanpa sedar. Tujuan asal hanyalah untuk mengisi sela masa tetapi tanpa disedari berjam-jam masa telah kita habiskan dengan menghadap dari satu platform media sosial ke media sosial yang lain. Tindakan yang tidak dikawal ini boleh menyebabkan berlakunya gangguan tidur, kurang fokus terhadap suatu pekerjaan dan menyebabkan kelesuan pada minda dan mental. Mengapa tabiat ini perlu ditinggalkan? Penggunaan telefon pintar yang berlebihan mampu menjejaskan kesejahteraan fizikal, emosi dan mental, meningkatkan perbandingan sosial dan mengurangkan produktiviti. Apa yang boleh dilakukan selepas ini adalah menetapkan masa yang realistik dalam penggunaan telefon pintar. Contohnya menetapkan 30 minit untuk aktiviti bebas skrin pada waktu pagi dan 30 minit di sebelah malam. Ubah tabiat bangun dari terus mencapai telefon pintar kepada membuat regangan. Cuba untuk membina tabiat baharu dengan mengamalkan penggunaan telefon pintar secara sedar bukan secara automatik.
- Mengabaikan kesihatan fizikal dan mental
Kesihatan fizikal merujuk kepada keadaan tubuh yang sihat, cergas dan mampu melaksanakan aktiviti harian dengan baik. Manakala kesihatan mental pula adalah kesejahteraan emosi, psikologi dan sosial seseorang. Kesihatan fizikal dan mental yang sihat bukan sahaja tiada penyakit yang berbahaya tetapi juga mencakupi tahap tenaga, daya tahan, bagaimana kita berfikir, membuat keputusan dan mengurus perhubungan dengan orang lain. Kurangnya senaman, pola makan dan tidur yang tidak teratur, amalan hidup “ikut sempat,” pengambilan makanan dan minuman manis yang berlebihan boleh meningkatkan risiko obesiti, keletihan kronik dan penyakit berbahaya. Mengabaikan kesejahteraan mental seperti menyimpan masalah seorang diri kerana malu, takut dinilai atau tidak mahu menyusahkan orang lain akan menyebabkan tekanan emosi terkumpul seperti belon yang ditiup dan membesar akhirnya meletup. Tahun baharu ini adalah masa yang tepat untuk kita memulakan tabiat baharu seperti mulakan dengan pergerakan 15 hingga 30 minit sehari dengan berjalan laju, regangan atau senaman ringan. Dari sudut pemakanan pula cuba untuk pilih satu hidangan sihat setiap hari sebagai permulaan. Bebanan emosi yang ditanggung tidak perlu dipendam. Cuba luahkan dengan rakan yang dipercayai atau kaunselor untuk berkongsi isu atau perasaan yang membebankan.
- Individu toksik
Individu toksik adalah seseorang yang secara konsisten memberi kesan negatif kepada emosi, mental dan kadang-kadang fizikal kita. Mereka boleh wujud dalam lingkungan kita seperti rakan sekuliah, ahli keluarga, pasangan atau rakan sekerja. Umumnya kehadiran mereka boleh menyebabkan tercetusnya tekanan, kehilangan motivasi dan menggugat kesejahteraan mental. Antara ciri-ciri individu toksik adalah gemar mengkritik orang lain, menggunakan emosi atau pujian palsu untuk mendapatkan apa yang mereka mahu, kerap menimbulkan konflik, perselisihan untuk menarik perhatian, tiada sifat tanggungjawab terhadap kesalahan sendiri dan sentiasa mencari “kambing hitam” untuk dipersalahkan. Masih kekal dalam lingkungan sosial yang negatif ini akan melemahkan semangat, menurunkan motivasi, mencetuskan drama dan akhirnya akan mempengaruhi kesihatan mental dan keyakinan diri. Bina kekuatan untuk mencari lingkungan yang menyokong yang terdiri daripada individu yang mendorong, mendengar dan membantu dalam perkembangan diri. Belajarlah untuk mengenal pasti individu toksik dan belajar mengurus perhubungan demi menjaga kesihatan mental, fizikal dan produktiviti diri. Usaha untuk menjauhkan diri dan menolak lingkungan negatif ini langkah paling tepat untuk kesejahteraan diri.
- Berbelanja mengikut emosi
Berbelanja mengikut emosi adalah suatu tabiat membeli barang bukan kerana keperluan sebenar tetapi kadang-kadang lebih kepada memindahkan emosi negatif dengan cara yang kurang tepat. Antara contoh tindakan yang dimaksudkan adalah membeli barangan kerana rasa kecewa atau mengikut gaya hidup orang lain, membeli minuman dan makanan manis secara luar biasa kerana tekanan atau membeli gajet terkini kerana ingin rasa gembira yang sementara. Akibat yang timbul adalah kewangan akan terganggu, simpanan semakin berkurang malah hutang pula meningkat dan rasa bersalah selepas membeli hingga menyebabkan tekanan mental. Ubah tabiat lama ini dengan menggunakan kaedah Baharu iaitu 50-30-20, yang mana kita membahagikan pendapatan bulanan kepada tiga kategori utama. Asingkan 50 peratus pendapatan kepada keperluan asas untuk kelangsungan hidup seperti sewa atau ansuran rumah, bil-bil, pengangkutan dan insuran. Tiga puluh peratus pula kepada kehendak bagi memenuhi keselesaan dan gaya hidup yang tidak membebankan seperti makan di luar, membeli belah dan bercuti. Akhir sekali 20 peratus adalah untuk simpanan masa depan dan kecemasan. Berbelanja mengikut emosi hanya memberi kepuasan sementara yang akhirnya boleh menjejaskan kewangan dan kesejahteraan mental.
- Masa untuk diri sendiri
Kita kadang-kadang sentiasa sibuk sehingga tiada ruang dan hampir lupa untuk menyendiri dan menyediakan masa untuk diri sendiri. Memberi masa untuk diri sendiri adalah tempoh di mana kita memberi sedikit ruang untuk merehatkan minda, emosi dan tubuh badan tanpa ada gangguan dari luar untuk meningkatkan kesejahteraan fizikal dan emosi. Kesibukan ini boleh menyebabkan kita mengalami kelesuan mental dan fizikal, hilang motivasi diri dan mengganggu perhubungan. Keletihan ini boleh menyebabkan “overthinking” iaitu terlalu banyak memikir, risau tentang masa hadapan dan memikir situasi yang belum berlaku. Sebelum keadaan menjadi lebih serius buatlah jadual
“me-time” selama 10 hingga 15 minit dalam sehari untuk bermonolog atau berehat tanpa skrin. Amalkan menulis jurnal ringkas dengan membuat semakan diri dan buat catatan tentang tiga perkara yang kita syukuri setiap hari.
Tahun baharu datang selari dengan azam ingin berubah. Perubahan tidak semesti drastik tetapi cukup untuk menjadikan kita individu yang lebih baik. Mulakan tahun baharu dengan satu tabiat kecil tetapi konsisten kerana konsisten lebih penting daripada kesempurnaan.

Dr. Noraishah Daud
Pusat Kaunseling Universiti
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Rencana ini juga diterbitkan di:
1. Malaysia Gazette (malaysiagazette.com), 18 Disember 2025: Tinggalkan tabiat lama sebelum masuk tahun baharu
https://malaysiagazette.com/2025/12/18/tinggalkan-tabiat-lama-sebelum-masuk-tahun-baharu/
2. Bernama (bernama.com), 18 Disember 2025: Tinggalkan Tabiat Lama Sebelum Masuk Tahun Baharu
https://www.bernama.com/bm/tintaminda/news.php?id=2504049
4. Harian Metro (muka surat: 14), 23 Disember 2025: Tinggalkan tabiat merugikan

5. MyMetro (hmetro.com.my), 23 Disember 2025: Tinggalkan tabiat merugikan
https://www.hmetro.com.my/rencana/2025/12/1303170/tinggalkan-tabiat-merugikan
