Oleh Suriayati Baharom

PAGOH – Bagi Nurul Zakiah Zamri Tan,42 perjalanan menamatkan pengajian doktor falsafah (PhD) bukan sekadar pencapaian akademik, tetapi kisah perjuangan luar biasa seorang ibu, isteri dan pelajar yang bertarung dengan ujian hidup selama lebih lima tahun.

Bermula pada tahun 2019 di bawah seliaan Profesor Madya Ts. Dr. Azrin Hani Abd Rashid, Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK), Zakiah menempuh laluan penuh liku, dari tekanan kewangan, beban emosi, hingga tanggungjawab membesarkan enam anak tanpa pembantu.

“Saya pernah tidur dalam kereta dan mandi di hentian R&R Pagoh semata-mata mahu jimat masa dan kos ulang-alik. 

Anak-anak dijaga ibu mertua, dan saya siapkan makanan frozen untuk beberapa hari,” ceritanya.

Lebih menyentuh hati, Zakiah turut mengambil upah memesin rumput, termasuk kawasan seluas empat ekar, selain bekerja sambilan sebagai pensyarah, mengemas homestay dan membuat rekaan grafik untuk menampung kehidupan.

“Kenapa mesin rumput? Sebab itu satu-satunya kerja yang saya boleh buat waktu itu dan anehnya, bunyi mesin rumput itu menenangkan fikiran saya,” ujarnya sambil tersenyum.

Ketika pandemik Covid-19 melanda, Zakiah tidak menghantar anak-anak ke pengasuh dan menguruskan mereka sepenuh masa sambil menyiapkan tesis. 

Dalam masa yang sama, beliau turut memikul tanggungjawab keluarga di Perlis dan menjaga keperluan ibu mertua.

Namun, di sebalik segala cabaran itu, Zakiah tidak pernah dibiarkan sendirian. 

Penyelia beliau, Dr. Azrin Hani menjadi sumber kekuatan yang tidak ternilai, bukan hanya sekadar pensyarah, tetapi juga sebagai ibu, kaunselor dan penjaga semangat.

“Di saat saya hilang dari radar, beliau tetap mencari saya, bimbing saya, beri ruang healing dan kata-katanya menyelamatkan saya berkali-kali,” kata Zakiah sambil mengimbas kembali saat beliau hampir menyerah.

Antara kata-kata yang paling diingatinya “Zakiah, kalau kita tak jumpa jalan lagi, minta Allah ubatkan hati kita, saya nak awak ada sesuatu.”

Tesis Zakiah bukan sahaja mendapat pujian panel sebagai “seronok dibaca seperti sebuah cerita,” malah turut dicalonkan untuk Anugerah Tesis Terbaik, walaupun beliau tidak memohon.

“Zakiah adalah inspirasi kepada mereka yang melalui kesusahan dalam menyelesaikan pengajian,” ujar penyelianya seusai Viva.

Zakiah yang juga pernah menjadi Ahli Jawatankuasa Siswazah FTK selama dua penggal, kini berharap kisahnya menjadi kekuatan buat pelajar lain yang sedang bergelut.

“Jangan lalui perjalanan ini seorang diri, cari circle yang positif, stuck bukan bermaksud gagal. 

Berhenti sekejap tidak bermaksud berputus asa, teruskan melangkah walaupun perlahan,” pesannya.

 

Berita ini juga diterbitkan di:

1. Berita Harian (muka surat: 16), 8 Disember 2025: Ambil upah mesin rumput, tidur di R&R demi segulung ijaza

 

2. Harian Metro (muka surat: 16), 8 Disember 2025: Berumah dalam kereta: Ibu enam anak dapat PhD 

 

3. MyMetro (hmetro.com.my), 8 Disember 2025: Balasan tak pernah putus asa, ibu enam anak dapat PhD

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2025/12/1297051/balasan-tak-pernah-putus-asa-ibu-enam-anak-dapat-phd

 

4. New Straits Times (nst.com.my), 8 December 2025: Mother of six earns doctorate after years of sacrifice, hard work

https://www.nst.com.my/news/regional/2025/12/1331944/mother-six-earns-doctorate-after-years-sacrifice-hard-work

 

5. New Straits Times (nst.com.my), 8 December 2025: Mowing lawns, sleeping at highway rest areas to earn a PhD

https://www.nst.com.my/news/nation/2025/12/1332416/mowing-lawns-sleeping-highway-rest-areas-earn-phd