Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) merupakan antara instrumen penilaian nasional yang paling berpengaruh dalam landskap pendidikan negara. Keputusan peperiksaan ini bukan sahaja menjadi penentu hala tuju akademik pelajar, malah sering dijadikan kayu pengukur kecemerlangan sekolah, keberkesanan guru serta kualiti sistem pendidikan secara keseluruhan. Justeru, sebarang perbincangan tentang tahap kesukaran dan kesesuaian soalan SPM tidak boleh dilihat sebagai isu remeh, sebaliknya perlu dinilai secara objektif, berfakta dan berhemah.
Mutakhir ini, timbul kebimbangan yang semakin ketara dalam kalangan ibu bapa, pendidik dan pelajar apabila soalan peperiksaan SPM dilihat terlalu mencabar sehingga majoriti calon tidak berupaya menjawab dengan penuh keyakinan. Kebimbangan ini bukanlah penolakan terhadap kewujudan soalan aras tinggi atau pemikiran kritis, sebaliknya mempersoalkan sejauh mana soalan tersebut benar-benar sejajar dengan kandungan silibus yang diajar secara formal di sekolah. Dalam konteks penilaian pendidikan, keselarasan antara pengajaran dan pentaksiran merupakan prinsip asas yang tidak boleh dikompromi.
Pelajar SPM telah melalui proses pembelajaran yang panjang dan tersusun selama hampir lima tahun, berpandukan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Sepanjang tempoh tersebut, mereka mengikuti pelbagai bentuk pengajaran, latihan berstruktur, penilaian formatif serta peperiksaan percubaan yang dirangka berdasarkan jangkaan kandungan dan aras kesukaran tertentu. Namun, apabila berhadapan dengan soalan sebenar yang dilihat di luar jangkaan dan tidak mencerminkan kandungan pembelajaran yang dominan, timbul persepsi bahawa wujud jurang antara apa yang diajar dan apa yang diuji.
Dalam konteks pendidikan moden, peperiksaan seharusnya berfungsi sebagai alat diagnostik yang membantu mengenal pasti tahap kefahaman sebenar pelajar, bukannya sekadar mekanisme pemeringkatan. Penilaian yang terlalu menekankan kesukaran ekstrim berisiko mengaburkan gambaran sebenar keupayaan pelajar kerana ia lebih menguji kebolehan mentafsir soalan luar jangka berbanding penguasaan ilmu yang dipelajari. Hal ini secara tidak langsung boleh menjejaskan prinsip kebolehpercayaan peperiksaan, terutamanya apabila keputusan tidak lagi mencerminkan usaha dan prestasi konsisten pelajar sepanjang tempoh persekolahan.
Lebih membimbangkan, usaha gigih pelajar yang menghadiri kelas tambahan, program pecutan akademik dan tuisyen berbayar sering kali tidak diterjemahkan kepada keyakinan semasa menjawab soalan peperiksaan. Situasi ini memberi isyarat bahawa terdapat ketidakpadanan antara persediaan yang dilakukan dan tuntutan sebenar peperiksaan. Jika pelajar yang telah berusaha secara maksimum masih berasa terasing daripada soalan yang diuji, maka keberkesanan pendekatan penggubalan soalan wajar dinilai semula secara kritikal.
Peperiksaan nasional juga tidak seharusnya menjadi medan untuk “menapis” pelajar secara berlebihan sehingga mengorbankan kesejahteraan emosi mereka. Sudah sedia maklum, tekanan menghadapi peperiksaan SPM berada pada tahap tinggi, dan apabila sebahagian besar pelajar keluar dari dewan peperiksaan dengan perasaan kecewa, hilang keyakinan dan takut akan masa depan, satu refleksi menyeluruh perlu dilakukan. Jika terlalu ramai calon gagal mencapai prestasi yang diharapkan, adakah kegagalan tersebut harus diletakkan sepenuhnya di bahu pelajar, atau adakah sistem penilaian itu sendiri memerlukan penambahbaikan?
Impak situasi ini tidak terhad kepada pelajar semata-mata, malahan ibu bapa turut menanggung tekanan emosi dan kewangan apabila melihat pengorbanan masa, tenaga dan kos pendidikan anak-anak seolah-olah tidak membuahkan hasil yang diharapkan. Dalam jangkamasa panjang, pengalaman peperiksaan yang mengecewakan boleh menjejaskan motivasi pelajar, merendahkan harga diri serta membentuk persepsi negatif terhadap nilai pendidikan formal. Hal ini bercanggah dengan matlamat pendidikan nasional yang menekankan pembangunan insan seimbang dan berdaya tahan.
Tidak dinafikan bahawa sistem pendidikan perlu melahirkan pelajar yang berfikiran kritis, kreatif dan mampu bersaing di peringkat global. Oleh itu, soalan yang mencabar sememangnya diperlukan. Namun, cabaran tersebut mesti bersifat munasabah, berperingkat dan berpaksikan silibus. Soalan aras tinggi seharusnya dibina daripada konteks pembelajaran yang telah dilalui, bukannya muncul secara mendadak tanpa sokongan pedagogi yang mencukupi. Jika tidak, peperiksaan hanya akan mewujudkan jurang pencapaian dan ketidakpuasan dalam kalangan masyarakat.
Selain itu, isu tahap kesukaran soalan SPM perlu dilihat dalam konteks kepelbagaian latar belakang pelajar di seluruh negara. Jurang kemudahan pembelajaran antara bandar dan luar bandar, perbezaan kualiti sokongan akademik serta akses kepada sumber tambahan menjadikan kesan soalan yang terlalu kompleks tidak dirasai secara sama rata. Jika aspek ini tidak diambil kira, peperiksaan berisiko memperkukuh ketidaksamaan pendidikan sedia ada, sekali gus bercanggah dengan aspirasi sistem pendidikan kebangsaan yang menjunjung prinsip kesaksamaan peluang untuk semua pelajar.
Sehubungan itu, satu penilaian semula yang telus dan menyeluruh terhadap proses penggubalan soalan SPM amat diperlukan. Penglibatan pelbagai pihak termasuk guru berpengalaman, pakar penilaian, akademia dan wakil masyarakat wajar dipertimbangkan bagi memastikan keseimbangan antara kecemerlangan akademik dan keadilan penilaian. Peperiksaan yang berkualiti bukan sahaja menguji kecerdasan dan keupayaan berfikir, tetapi juga menghormati usaha, masa dan pengorbanan pelajar yang telah berjuang sepanjang tempoh persekolahan mereka. Dalam usaha membina sistem pendidikan yang dipercayai, keadilan dalam penilaian harus sentiasa menjadi keutamaan.

Dr. Nor Kamariah Kamaruddin
Pensyarah Kanan
Fakulti Pengurusan Teknologi & Perniagaan (FPTP)
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Rencana ini juga diterbitkan di:
1. Malaysia Gazette (malaysiagazette.com), 18 Disember 2025: Peperiksaan SPM mencabar: Antara kesahan akademik dan emosi pelajar
