PAGOH – Program Menyemai Kesedaran SDG melalui STEM IoT dan SULAM anjuran Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang melibatkan penyertaan 150 pelajar sekolah rendah dari seluruh negeri Johor memberi peluang kepada mereka untuk meneroka inovasi teknologi berteraskan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).

Program yang dilaksanakan di Dewan Konvensyen Hab Pendidikan Tinggi Pagoh itu hasil kerjasama antara UTHM dengan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta rakan industri utama iaitu STMicroelectronics selaku penaja utama, serta Semisea dan Malaysia Semiconductor Industry Association (MSIA) yang turut menyumbang kepakaran serta sokongan dana.

Menurut penyelaras program, Dr. Hasliza Hassan, projek-projek yang dihasilkan pelajar bukan hanya bersifat kreatif, tetapi menunjukkan kefahaman mendalam tentang isu kelestarian.

“Mereka bukan sekadar belajar teknologi, tetapi memahami bagaimana inovasi dapat memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK), Prof. Madya Ts. Dr. Jumadi Abdul Sukor dengan kehadiran pegawai kanan JPNJ, PPD Muar dan wakil-wakil industri, menandakan komitmen kukuh semua pihak terhadap pembangunan bakat STEM peringkat akar umbi.

Program itu turut menekankan integrasi Internet of Things (IoT) menggunakan platform mikro:bit untuk mendorong pemikiran kritikal, kreativiti dan inovasi dalam kalangan pelajar.

Secara selari, komponen Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM) melibatkan penyertaan pensyarah dan mahasiswa UTHM yang membimbing pelajar sekolah membangunkan penyelesaian berasaskan teknologi bagi menangani isu komuniti tempatan.

Kemuncak program ialah Pertandingan Inovasi IoT Mikro:bit Peringkat Negeri Johor, yang menyaksikan penyertaan projek-projek berkualiti tinggi, masing-masing mengetengahkan penyelesaian kreatif bagi cabaran SDG seperti kemiskinan, makanan lestari, air bersih, tenaga boleh baharu, kesihatan dan persekitaran.

Johan disandang oleh Sekolah Kebangsaan (SK) LKTP Batu 27, Muar dengan projek bertajuk “Aquaponic with IoT,” yang menggabungkan sistem akuaponik pintar dengan pemantauan IoT, sekali gus dinobatkan sebagai juara keseluruhan.

Projek itu berjaya mengintegrasikan 11 elemen SDG, termasuk SDG 2 (Zero Hunger), SDG 3 (Good Health and Well-Being), SDG 6 (Clean Water and Sanitation), SDG 7 (Affordable and Clean Energy), SDG 12 (Responsible Consumption and Production) dan beberapa elemen lain yang menjadikan mereka antara yang paling komprehensif serta berimpak tinggi.

Dengan menggunakan mikro:bit, sistem tersebut dapat memantau kadar air, kualiti persekitaran, pembesaran ikan dan tumbuhan secara automatik, sambil menyediakan data masa nyata untuk pengurusan yang lebih efisien.Selain Johan, pihak penganjur turut menyampaikan dua anugerah khas iaitu ‘Pembentang Terbaik’  kepada SK Kota Raja Panchor, Muar melalui persembahan projek yang jelas, meyakinkan dan berstruktur profesional, walaupun pada peringkat sekolah rendah.

Manakala satu lagi ‘Rekabentuk Terbaik’ kepada SK Kampong Bahru, Bt28, Muar melalui reka bentuk projek yang kemas, kreatif dan berfungsi tinggi, sekali gus menyerlahkan kreativiti teknikal pelajar.

“Melalui pendedahan awal seperti itu, pelajar bukan sahaja memahami asas elektronik dan IoT, malah didorong untuk meneroka kerjaya dalam bidang teknologi tinggi.

“Program ini dijangka diteruskan secara tahunan bagi mengekalkan momentum pembangunan pelajar STEM negeri Johor, sekali gus menyokong aspirasi negara dalam melahirkan generasi celik teknologi, berkemahiran abad ke-21 serta berjiwa lestari,” tambah Dr. Haliza.