Oleh Ts. Dr. Roslinda Ali
PAGOH – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Kampus Cawangan Pagoh sekali lagi membuktikan komitmen tinggi terhadap kelestarian melalui penganjuran Hari Kitar Semula@UTHM-KCP 3.0, yang berjaya mengumpul sebanyak 332 kilogram bahan kitar semula pada November lalu.
Program yang dijalankan dengan kerjasama SWM Environment Sdn. Bhd. itu berjaya mengumpul bahan kitar semula terdiri daripada kertas campur, surat khabar lama, kotak, besi buruk, plastik campur, tin aluminium, botol kaca serta barangan elektrik terpakai seperti monitor, pencetak dan kelengkapan elektronik lain.
Menurut pengarah program, Dr. Hasnida Harun, tahap pemahaman dan amalan pengasingan sisa dalam kalangan peserta menunjukkan peningkatan ketara berbanding penganjuran sebelum ini.
“Kebanyakan bahan kitar semula yang dihantar telah diasingkan mengikut kategori, dibersihkan dan dikeringkan sebelum diserahkan.
“Langkah ini mencerminkan keberkesanan pelbagai kempen kesedaran yang telah dijalankan oleh UTHM bersama rakan industri, sekali gus memudahkan proses pemprosesan semula oleh pihak SWM Environment,” katanya.
Tambah Dr. Hasnida, usaha sebegitu bukan sahaja membantu mengurangkan jumlah sisa ke tapak pelupusan, malah menyemai sikap tanggungjawab terhadap alam sekitar dalam kalangan mahasiswa dan masyarakat.
Selain itu, penganjuran program itu turut menyumbang kepada usaha UTHM mencapai sasaran Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs), khususnya berkaitan pengurusan sisa dan tindakan iklim (SDG 13).
Pelaksanaan berterusan seumpama itu membuka ruang untuk UTHM memperluaskan lagi aktiviti pendidikan dan libat urus komuniti, sekali gus memperkukuh peranan universiti sebagai peneraju inisiatif hijau di daerah Pagoh dan sekitarnya.


