Bencana banjir bukan lagi fenomena luar biasa di Malaysia, bahkan menjadi salah satu ancaman paling signifikan terhadap kelangsungan ekonomi negara. Setiap tahun, ribuan isi rumah terkesan, infrastruktur rosak dan aktiviti ekonomi terganggu berhari-hari malah berbulan-bulan. Menurut laporan rasmi Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), jumlah keseluruhan kerugian akibat banjir pada tahun 2024 dianggarkan sebanyak RM933.4 juta, meningkat daripada RM755.4 juta pada tahun sebelumnya iaitu hampir 0.05 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nominal negara.

Kerugian ini melibatkan kerosakan tempat kediaman yang melebihi RM372 juta, kerosakan aset awam dan infrastruktur berjumlah sekitar RM303 juta, serta kehilangan hasil dalam sektor pertanian dan perniagaan kecil. Statistik turut menunjukkan bahawa banjir besar pada tahun 2021 mengakibatkan kerugian keseluruhan melebihi RM6.1 bilion merangkumi kerosakan kepada aset awam, rumah, perniagaan dan kenderaan. Dalam konteks ini, PMKS menjadi kelompok yang paling rentan kerana PMKS menyumbang lebih 97 peratus daripada keseluruhan perniagaan di Malaysia, namun majoritinya masih beroperasi dengan margin keuntungan yang rendah, bergantung kepada lokasi fizikal dan kurang memiliki strategi kesiapsiagaan risiko.

Banjir yang semakin kerap khususnya di negeri-negeri seperti Kelantan, Pahang, Johor dan Selangor turut memberikan impak langsung kepada operasi PMKS. Kedai tidak dapat beroperasi, stok rosak, bekalan tergendala, pekerja tidak dapat hadir dan permintaan pengguna menurun dengan ketara dalam tempoh bencana. Dalam situasi ini, daya tahan bukan lagi pilihan, tetapi satu keperluan strategik untuk kelangsungan perniagaan. Belanjawan 2026 yang dibentangkan memberi gambaran jelas bahawa agenda mengukuhkan ketahanan ekonomi tempatan, termasuk PMKS, perlu ditangani secara menyeluruh daripada pelbagai aspek seperti pembiayaan, teknologi, hingga kesiapsiagaan bencana.

Pertama, keupayaan PMKS untuk bertahan ketika banjir banyak bergantung kepada kekuatan kewangan dan akses kepada pembiayaan. Belanjawan 2026 memperuntukkan 50 bilion ringgit kemudahan pinjaman dan jaminan kerajaan untuk usahawan tempatan iaitu peningkatan berbanding 40 bilion ringgit tahun sebelumnya.

Antaranya, Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) meningkatkan jaminan kerajaan hingga 30 bilion ringgit, merangkumi juga usahawan mikro. Langkah ini memberi peluang kepada PMKS mendapatkan modal kerja, membaiki premis, atau mengganti stok yang rosak akibat bencana. Selain itu, BSN dan TEKUN menyediakan lebih 2.5 bilion ringgit pinjaman mikro yang amat diperlukan oleh usahawan kecil yang terkesan.

Kedua, isu daya tahan operasi berkait rapat dengan keupayaan PMKS mengadaptasi teknologi. Bencana banjir menuntut perniagaan beralih kepada model operasi yang lebih fleksibel dan digital. PMKS perlu menggunakan platform e-dagang, data berasaskan penyimpanan awan, atau sistem inventori digital yang dapat mengurangkan impak kerugian berbanding perniagaan tradisional. Melalui Belanjawan 2026, kerajaan memperuntukkan hampir 1 bilion ringgit pendigitalan oleh institusi kewangan pembangunan (DFI) untuk menyokong automasi dan digitalisasi. Di samping itu, usaha nasional ke arah kecerdasan buatan (AI) seperti Geran Pecutan Digital bernilai 53 juta ringgit, program NAIO, dan latihan AI untuk PMKS di bawah MyMahir memberi peluang kepada perniagaan kecil membina sistem operasi yang tidak lagi 100% bergantung kepada lokasi fizikal.

Ketiga, PMKS juga perlu meningkatkan keupayaan dalam pengurusan risiko bencana. Di Jepun dan Korea Selatan, PMKS terbukti lebih berdaya tahan kerana mereka mempunyai pelan kesinambungan perniagaan meliputi strategi pemindahan operasi, sandaran data, pengurusan pekerja dan logistik kecemasan. PMKS memerlukan pengurusan yang lebih berkesan dalam menghadapi risiko bencana. Sebagai contoh, PMKS perlu menyimpan rekod digital di penyimpanan awan untuk mengelakkan kehilangan dokumen penting ketika banjir, memiliki insurans bencana dan membangunkan prosedur operasi standard (SOP) banjir. Kerajaan boleh memperkukuh inisiatif ini melalui geran latihan bagi PMKS yang ditempatkan di kawasan berisiko tinggi.

Keempat, ketahanan operasi PMKS turut dipengaruhi oleh kekuatan ekonomi tempatan. Belanjawan 2026 memberi tumpuan kepada pembangunan negeri, pemuliharaan sungai dan projek mitigasi banjir yang besar seperti RTB Sungai Buloh, progam pemuliharaan Sungai Gombak serta menaik taraf sistem saliran negeri-negeri utama. Peruntukan pembangunan Sabah dan Sarawak mencecah lebih 12 bilion ringgit, yang sebahagiannya melibatkan infrastruktur air, saliran dan jalan. Semua ini tidak hanya mengurangkan risiko bencana, tetapi memastikan rantaian bekalan PMKS tidak terputus. Apabila infrastruktur asas kukuh, kos logistik menurun dan kelancaran operasi meningkat untuk meningkatkan daya tahan PMKS secara sistemik.

Kelima, aspek pembinaan kapasiti bakat tempatan juga membantu PMKS menghadapi bencana dan ketidaktentuan ekonomi. Selain latihan digital oleh HRD Corp bernilai 3 bilion ringgit, TVET menerima 7.9 bilion ringgit yang memberi ruang kepada tenaga kerja Malaysia meningkatkan kemahiran. Dalam konteks banjir, pekerja berkemahiran juga diperlukan untuk kerja-kerja pemulihan, pembaikan elektrik, logistik, sanitasi, dan perkhidmatan masyarakat.  Sektor-sektor ini memberi peluang kepada PMKS untuk terlibat secara langsung dalam ekonomi pemulihan bencana.

Seterusnya, PMKS boleh meningkatkan daya tahan operasi melalui pendekatan komuniti dan kerjasama tempatan. PMKS di kawasan bandar boleh bekerjasama dengan koperasi tempatan bagi berkongsi stor penyimpanan barang di lokasi yang lebih selamat, manakala di kawasan luar bandar, PMKS boleh membangunkan pusat logistik mikro di bangunan komuniti atau dewan orang ramai. Inisiatif seperti Ikhtiar MADANI bernilai 1 bilion ringgit serta program kampung dan sekolah angkat turut membuka ruang kepada PMKS terlibat dalam projek-projek komuniti, sekali gus memantapkan jaringan sokongan sosial dan ekonomi.

Selain itu, kerajaan juga menyediakan insentif cukai untuk pelancongan dan pembangunan bandar. Walaupun nampak jauh daripada isu banjir, kemakmuran ekonomi tempatan sebenarnya berperanan besar dalam memastikan PMKS mempunyai aliran pendapatan yang lebih stabil. Dengan sasaran 47 juta pelancong dan pendapatan pelancongan RM329 bilion pada 2026, PMKS berpeluang mempelbagaikan pendapatan, mengembangkan pasaran dan meningkatkan daya tahan menghadapi kejutan ekonomi mahupun bencana semula jadi.

Akhir sekali, strategi PMKS menghadapi banjir dan ketidaktentuan ekonomi memerlukan perubahan paradigma daripada reaktif kepada proaktif. PMKS tidak boleh hanya menunggu bantuan, tetapi perlu membina infrastruktur pengurusan risiko sendiri, melabur dalam teknologi, mempelbagaikan produk, mengukuhkan pemasaran digital, dan meluaskan akses pasar. Sementara itu, sokongan kerajaan melalui pembiayaan, pendigitalan, peningkatan infrastruktur dan penyertaan ekonomi masyarakat mewujudkan ekosistem yang memberi peluang kepada PMKS untuk bukan sahaja bertahan, tetapi berkembang dalam keadaan yang mencabar.

Secara keseluruhannya, banjir dan ketidaktentuan ekonomi perlu dilihat sebagai realiti baharu yang menuntut PMKS untuk lebih tangkas, bersedia dan inovatif. Dengan dasar-dasar menyeluruh dalam Belanjawan 2026, PMKS berada di landasan yang lebih kukuh untuk membangunkan keupayaan daya tahan operasi. Namun, keberhasilan sebenar bergantung kepada sejauh mana PMKS mengambil peluang ini untuk menstruktur semula operasi, melabur dalam teknologi, merancang risiko bencana, dan bekerjasama dengan komuniti serta institusi kerajaan. Melalui langkah-langkah strategik ini, Malaysia mampu memastikan PMKS menjadi tulang belakang ekonomi negara untuk kekal teguh menghadapi banjir, ketidaktentuan ekonomi dan cabaran masa depan.

 

Profesor Madya Ts. Dr. Md Fauzi Ahmad

Pensyarah dan Penyelidik Kanan Pengurusan Teknologi Pengeluaran

Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)