BATU PAHAT, 9 Dis 2025 – Ketika rakan sebaya melangkah ke universiti sebaik tamat sekolah, Luqman Aqil Mohd Zaifol Azhar, graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Vokasional (Kimpalan dan Fabrikasi Logam) dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) memilih laluan yang jauh lebih berliku demi sebuah kehidupan yang stabil untuk keluarga kecilnya.

Bagi graduan berusia 29 tahun ini, perjalanan akademiknya bermula empat tahun lebih lewat daripada kebanyakan rakan. 

Pada tahun kedua diploma, dia sudah bergelar suami dan bapa, memikul tanggungjawab keluarga sambil bekerja syif malam di sebuah kilang di Senai.

“Siang saya ke kelas, malam saya bekerja, hampir tiada rehat tetapi saya tidak mampu berhenti kerana saya perlu menyara keluarga,” katanya mengimbas fasa paling mencabar dalam hidupnya.

Walaupun pelajar lain berada ‘on track,’ dia pula terpaksa memperlahankan langkah demi membina dasar hidup yang kukuh buat keluarga walaupun adakala dia hampir berputus asa.

Namun, doa dan sokongan isteri serta keluarga menjadi kekuatan terbesar untuk membolehkan Luqman Aqil terus bertahan.

Perjalanan memperoleh segulung ijazah bukan sekadar tentang menghadiri kuliah, tetapi sarat dengan air mata, pengorbanan masa, kewangan dan tenaga bukan hanya daripadanya, tetapi juga daripada keluarga yang percaya bahawa pendidikan adalah jalan untuk mengubah masa depan mereka.

Pengorbanan itu akhirnya terbayar apabila beliau berjaya menamatkan pengajian dengan ijazah kelas pertama, satu pencapaian yang tidak pernah terlintas ketika sedang bekerja syif malam suatu ketika dahulu.

Hari ini, beliau bekerja sebagai jurutera di sebuah kilang di Johor Bahru sambil menunggu panggilan temuduga untuk posting sebagai guru, kerjaya yang diimpikannya sejak sekian lama.

“Saya berharap kisah saya dapat memberi inspirasi kepada pelajar lain, pada saya tidak mengapa kalau kita bermula lewat, yang penting kita tetap sampai,” katanya.

Kisahnya menjadi bukti bahawa kejayaan bukan hanya milik mereka yang bermula awal, tetapi milik mereka yang terus bertahan meskipun jalannya tidak mudah.