Sedekad kebelakangan ini, kecerdasan buatan (AI) telah berkembang dengan pesat pada kadar yang jauh lebih pantas berbanding perubahan teknologi lain yang berlaku sebelum ini.
Perkembangan arus AI ini bukan sahaja membawa kepada kemudahan dalam automasi tugas-tugas rutin dalam sesuatu pekerjaan, malah mula untuk mengubah struktur pasaran kerja global.
Terdapat sebilangan ramalan pakar yang menunjukkan bahawa dalam tempoh 10 tahun akan datang iaitu 2035, sebahagian besar pekerjaan berulang atau rutin dan bersifat manual akan berpotensi digantikan oleh teknologi AI menerusi sistem automasi, robotik serta model AI generatif.
Justeru itu, terdapat persoalan besar yang muncul iaitu bagaimana kita sebagai individu hendak memastikan kerjaya yang kita ceburi atau kerjaya yang akan diceburi kekal relevan dan tidak tergugat oleh gelombang perubahan AI ini.
Memilih kerjaya yang relevan dengan perkembangan arus teknologi pada masa akan datang atau dengan kata lain kalis masa hadapan adalah menjadi langkah paling penting untuk kita menjamin kelestarian hidup dalam era yang semakin digital pada masa sekarang dan masa hadapan.
Jenis kerjaya yang kalis masa hadapan ini biasanya melibatkan kemahiran yang sukar digantikan oleh mesin contohnya seperti pemikiran kritis, kreativiti, empati, penyelesaian masalah kompleks, dan kemahiran interpersonal. Satu situasi yang mana mesin atau robot tidak akan dapat menandingi kemahiran istimewa ini yang dianugerahkan kepada kita.
Bidang seperti sains data, kejuruteraan perisian, keselamatan siber, analitik perniagaan, reka bentuk pengalaman pengguna (UX), termasuk juga kerjaya yang memerlukan sentuhan kreatif dan semulajadi manusia seperti pendidikan, psikologi dan perubatan turut dijangka terus berkembang seiring dengan perkembangan AI pada masa hadapan.
Oleh itu, individu yang memilih laluan kerjaya ini bukan sahaja berpeluang menikmati kestabilan jangka panjang, malah mereka juga dijangka mampu bergerak seiring dengan arus teknologi tanpa ketinggalan.
Selain itu, pemilihan kerjaya kalis masa hadapan memberi nilai tambah yang lebih banyak dari segi kebolehan menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi. Dunia pekerjaan masa kini tidak lagi statik, dengan kemunculan kemahiran baharu setiap tahun, dan kita sebagai pekerja perlu sentiasa bersedia dan bersiap siaga untuk belajar serta meningkatkan kompetensi diri.
Kepada mereka yang berada di dalam kerjaya berasaskan pengetahuan dan teknologi akan mempunyai kelebihan untuk berkembang bersama inovasi baharu, jika dibandingkan dengan mereka yang bergantung kepada kemahiran rutin yang semakin kurang diperlukan apatah lagi pada masa hadapan.
Walau bagaimanapun, kesedaran awal tentang kepentingan memilih kerjaya yang sesuai juga perlu diterapkan sejak awal semasa di bangku sekolah. Oleh itu, pelajar harus diberikan pendedahan mengenai trend pekerjaan semasa, peluang kerjaya masa hadapan, serta kemahiran-kemahiran yang diperlukan dalam ekonomi digital.
Selain itu, bimbingan kerjaya yang lebih terancang perlu dirancang dan dilaksanakan bagi membantu mereka memahami kekuatan diri masing-masing, mengenal pasti kecenderungan minat mereka, serta apakah potensi perkembangan sesuatu bidang dengan arus perkembangan teknologi. Dengan adanya sokongan ini, generasi muda akan dapat membuat keputusan pendidikan yang lebih bijak dan strategik, seterusnya dapat membina laluan kerjaya yang mampan.
Kesimpulannya, memilih kerjaya kalis masa hadapan bukan sekadar soal mencari pekerjaan, tetapi untuk memastikan kemampuan diri untuk terus berdiri kukuh dalam dunia yang penuh perubahan. Dengan membuat persediaan awal, kesedaran yang mendalam dan kemahiran yang betul, generasi hari ini akan mampu mencipta masa depan yang lebih terjamin dan lestari, relevan dan berdaya saing dalam era AI.

Dr. Nor Amalina Mohd Sabri,
Pensyarah Kanan,
Jabatan Kejuruteraan Perisian,
Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Dr. Shahdatunnaim Azmi
Pensyarah Kanan,
Jabatan Kejuruteraan Perisian,
Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
Rencana ini juga diterbitkan di:
1. Malaysia Gazette (malaysiagazette.com), 23 Disember 2025: Penting pilih kerjaya kalis masa hadapan
https://malaysiagazette.com/2025/12/22/penting-pilih-kerjaya-kalis-masa-hadapan/
2. Harian Metro (muka surat: 14), 24 Disember 2025: Pilihlah kerjaya kalis masa hadapan 
3. MyMetro (hmetro.com.my), 24 Disember 2025: Pilihlah kerjaya kalis masa hadapan
https://www.hmetro.com.my/rencana/2025/12/1303485/pilihlah-kerjaya-kalis-masa-hadapan
