Musim Monsun Timur Laut 2025 kembali mencetuskan siri banjir yang menjejaskan beberapa negeri di Utara dan Pantai timur Semenanjung Malaysia, termasuk Selangor dan Kuala Lumpur. Analisis awal menunjukkan bahawa fenomena ini merupakan hasil gabungan hujan berpanjangan, peningkatan keamatan ribut monsun, serta perubahan morfologi sungai akibat pembangunan pesat dan aktiviti manusia. Kejadian ini sekali lagi menekankan kepentingan perancangan hidrologi yang berasaskan sains dan integrasi penyelesaian alam sekitar dalam mitigasi bencana.
Data terkini daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menunjukkan beberapa kawasan mencatatkan jumlah hujan melebihi 250–350 mm dalam tempoh 48 jam, paras yang lazimnya melebihi risiko banjir kilat dan banjir termenung. Fenomena ini didorong oleh beberapa faktor meteorologi utama, antaranya pergerakan ribut monsoon yang lebih kuat daripada purata tahunan, kehadiran sistem tekanan rendah berhampiran Laut China Selatan yang menggalakkan kestabilan awan konvektif, serta pemanasan setempat (local convective heating) yang meningkatkan pembentukan ribut petir berskala tinggi. Gabungan faktor-faktor ini menghasilkan aliran permukaan yang sangat tinggi, berlaku lebih pantas berbanding kadar resapan tanah, sekali gus meningkatkan risiko banjir terutama di kawasan urban yang padat dengan pembangunan.
Dari perspektif hidrologi, kadar larian permukaan boleh meningkat sehingga 40–60% di kawasan bandar yang berimpak tinggi akibat pembangunan. Keadaan ini menyebabkan sistem saliran sedia ada melepasi kapasiti reka bentuk yang ditentukan, yang lazimnya berdasarkan tempoh ulangan 10 hingga 50 tahun. Reka bentuk saliran konvensional kini tidak lagi mencukupi untuk menghadapi hujan ekstrem. Perancangan bandar mesti mengintegrasikan model hidrologi dinamik yang mengambil kira pertumbuhan urbanisasi, perubahan guna tanah, serta strategi mitigasi jangka panjang bagi mengurangkan risiko banjir.
Faktor topografi dan keadaan sungai turut memainkan peranan kritikal dalam keamatan hujan dan tempoh banjir. Kawasan tadahan yang berada di kawasan bertanah rendah seperti yang terdapat di kawasan pantai Johor Barat dan beberapa kawasan d ipesisir pantai Barat Semenanjung Malaysia menyebabkan kelajuan aliran rendah, seterusnya menggalakkan kejadian banjir termenung. Selain itu, sedimentasi di beberapa sungai utama menurunkan kapasiti hidraulik sungai, meningkatkan kemungkinan berlaku limpahan air sungai. Kesan pasang surut di kawasan muara juga menimbulkan aliran balik (back flow), memanjangkan tempoh banjir dan menjejaskan kawasan penempatan berhampiran pesisir pantai dan sungai. Analisis topografi ini menegaskan bahawa strategi mitigasi banjir perlu berasaskan kapasiti aliran sebenar dan zon pengaliran semula jadi, bukannya semata-mata bergantung kepada saliran konvensional buatan manusia.
Dalam menghadapi cabaran ini, UTHM sebagai Tapak Demonstrasi Ecohydrology UNESCO telah menerapkan pendekatan ekohidrologi untuk menangani isu banjir secara holistik. Pendekatan ini termasuk penubuhan kawasan hijau untuk menahan air hujan dan mengurangkan kadar larian permukaan, penerapan Nature-Based Solutions (NBS) seperti swale dan kolam buatan untuk menampung limpahan air, serta penggunaan landskap air bagi menurunkan kadar alir puncak dan meningkatkan kualiti air. Penerapan konsep ekohidrologi bukan sahaja mengurus aliran air, tetapi turut memulihkan sistem ekologi yang menyokong kitaran hidrologi. Integrasi teknik konvensional dengan pendekatan berasaskan alam membolehkan pengurusan risiko banjir secara mampan dan meningkatkan ketahanan komuniti terhadap bencana hidrometeorologi pada masa hadapan.
Fenomena banjir Monsun Timur Laut 2025 menekankan keperluan pendekatan bersepadu yang menggabungkan data meteorologi, analisis hidrologi, strategi perancangan bandar dan penyelesaian berasaskan alam. Pendekatan ini bukan sahaja mengurangkan risiko banjir, tetapi juga sejajar dengan aspirasi UNESCO untuk pembangunan mampan yang mengekalkan keseimbangan ekologi. Saranan daripada analisis teknikal ini merangkumi peningkatan kapasiti saliran bandar berasaskan model hidrologi terkini, pemulihan sungai dan zon penampan, serta penerapan NBS untuk pengurusan lestari. Dengan pendekatan yang sistematik dan berasaskan sains, Malaysia dapat menghadapi cabaran banjir monsun pada masa hadapan dengan lebih berkesan.

Profesor Madya Ir. Dr. Mohd Adib Mohammad Razi
Profesor Madya
Jabatan Kejuruteraan Awam
Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
