Oleh Suriayati Baharom

BATU PAHAT –  Nur Raudah Amran, 23 graduan Sarjana Muda Sains (Fizik Gunaan) Dengan Kepujian dari Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi menerima Anugerah Sultan Ibrahim ketika berlangsungnya sidang pertama Istiadat Konvokesyen ke-25 Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pada 6 Disember 2025.

Anugerah yang disampaikan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani merangkap Pro-Canselor UTHM itu merupakan penghormatan tertinggi kepada graduan yang cemerlang dalam semua aspek termasuklah akademik, kepimpinan, kokurikulum, sahsiah dan sumbangan luar biasa kepada universiti.

Lebih manis lagi, Raudah turut menerima Anugerah Canselor sebagai penghargaan terhadap kecemerlangan menyeluruh beliau sebagai mahasiswa.

Raudah merupakan anak kepada pasangan guru, yang mana ibunya seorang guru Kimia dan ayah pula guru Pendidikan Islam. 

Mereka membesarkannya dengan kasih sayang, disiplin dan nilai ilmu, namun jauh daripada bidang teknologi yang akhirnya menjadi pilihan Raudah.

Menurut Raudah, segalanya bermula dengan satu nasihat ringkas, tetapi mengubah seluruh arah hidupnya.

“Kalau peluang datang, sambutlah. Ia jarang mengetuk dua kali.” – Mentor

Kata-kata itu melekat di hati Raudah, dari seorang pelajar yang langsung tidak pernah menyentuh dunia pengaturcaraan, beliau melangkah berani ke dalam bidang Internet of Things (IoT) dan inovasi teknologi.

Tangannya pernah menggigil menaip kod, hatinya pernah luluh apabila projek gagal tetapi langkahnya tidak pernah terhenti.

Ketekunannya dibalas apabila beliau berjaya muncul ‘Juara The Great Challenge Hackathon’ dan dinobatkan sebagai ‘Best Presenter’ mengatasi peserta lain yang lebih berpengalaman. 

Bukan itu sahaja, Raudah terus melakar nama apabila terpilih sebagai ‘Top 5’ Finalis Anugerah Tokoh Siswa Negara (Kategori Daya Usaha dan Inovasi) iaitu satu pengiktirafan tertinggi peringkat kebangsaan yang menobatkan semangat juang dan daya tahan luar biasa seorang anak muda.

Di kampus, beliau juga aktif memimpin Kelab Sains dan Teknologi (STC) sebagai Naib Presiden, sekali gus memperkukuh bakat kepimpinannya, namun pada masa yang sama kekal unggul dalam akademik.

“Ini bukan kejayaan saya seorang, ini adalah hadiah untuk mak dan ayah yang tidak pernah letih untuk percaya kepada saya walaupun saya memilih jalan yang mereka sendiri tidak pernah tempuh,” ujarnya.

Raudah membuktikan bahawa keberanian untuk berubah dan keluar dari zon selesa boleh membawa seseorang jauh lebih tinggi daripada apa yang pernah dibayangkan.

Kerana peluang memang tidak datang dua kali, tetapi apabila ia datang, beranilah menyambutnya.