Oleh Noor Nasriq Selamat, Suriayati Baharom
BATU PAHAT, 6 Dis 2025 – Graduan Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina, Norshila Abu Bakar,51 akhirnya menarik nafas lega apabila berjaya menerima Ijazah Doktor Falsafah Kejuruteraan Awam ketika berlangsungnya sidang pertama Istiadat Konvokesyen ke-25 UTHM.
Lebih membanggakan, anak sulungnya Akmal Hafiz Nurhaizal Azam, 25 graduan dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan turut menerima Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Awam (Alam Sekitar) pada keesokan harinya, 7 Disember 2025.
Dua generasi, dua hari berturut-turut di pentas yang sama, melambangkan indahnya perjalanan ilmu yang menjadi warisan keluarga.
Perjalanan Norshila sebagai pelajar Kejuruteraan Awam di UTHM bermula sejak era PLSP/ITTHO/KUiTTHO sebelum beliau melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana yang diselesaikan pada tahun 2000.
“Saya memulakan pengajian sebagai pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Kejuruteraan Awam di PLSP pada 26 Jun 1994 dan selepas itu tetap menyambung pengajian di peringkat sarjana di institusi yang sama.
“Saya berjaya menerima skrol sarjana pada tahun 2000, ketika kandungan anak sulung saya Akmal Hafiz berusia empat bulan.
Beliau kemudian berkhidmat sebagai pensyarah politeknik sebelum kembali menyambung pengajian PhD pada 2018.
Cerita Norshila, pada tahun tersebut beliau telah menerima tawaran Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) yang membolehkannya mengambil cuti belajar bergaji penuh beserta biasiswa bagi melanjutkan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah Kejuruteraan Awam di UTHM.
“Manakala anak sulung yang saya kandung selepas pengajian sarjana dahulu pula terpilih untuk menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana muda pada tahun 2021.
“Sepanjang pengajiannya di UTHM Kampus Cawangan Pagoh, anak saya telah mencipta beberapa pencapaian membanggakan antaranya pernah mengharumkan nama universiti apabila meraih tempat ketiga di 3rd International Geotechnical Engineering Festival (GEOFEST) 2023 di Bandung, Indonesia,” tambah Norshila.
Mengimbau perjalanan sebagai mahasiswa, cabaran terbesar Norshila hadir ketika pandemik Covid-19 apabila kerja lapangan terhenti dan bahan kajian sukar diperoleh, lalu memaksa beliau untuk memulakan semula penyelidikan dari awal.
Namun berkat sokongan keluarga, penyelia dan rakan-rakan, perjalanan tersebut tetap disempurnakan dengan penuh ketabahan.
Kekuatan keluarga itu turut didukung oleh suami Norshila yang juga merupakan alumni UTHM.
Suaminya turut membantu menjaga anak-anak mereka di Kedah ketika Norshila berulang-alik setiap minggu ke Batu Pahat bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pelajar.
Kini, keluarga ini membuktikan ketabahan dan komitmen mereka terhadap ilmu tetap berbalas dengan kejayaan yang manis.
“Universiti ini bukan sekadar institusi pengajian, tetapi medan yang membentuk perjalanan tiga ahli keluarga kami sebagai alumni, menjadikan kisah kami sebagai satu simbol kesetiaan terhadap institusi yang dinamakan UTHM,” katanya.
Berita ini juga diterbitkan di:
1. Bernama (bernama.com), 6 Disember 2025: Ibu Dan Anak Rai Kejayaan ‘Konvo’ Bersama
https://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=2499581
2. Bernama (bernama.com), 6 Disember 2025: Mother Earns PHD As Son Graduates Same Day At UTHM
https://bernama.com/en/general/news.php?id=2499576
3. Malay Mail (malaymail.com), 6 Disember 2025: His first degree, her PhD: Mum and son graduate together 25 years after she carried him at last UTHM convocation
4. Astro Awani (astroawani.com), 7 Disember 2025: Ibu dan anak rai kejayaan ‘konvo’ bersama
https://www.astroawani.com/berita-malaysia/ibu-dan-anak-rai-kejayaan-konvo-bersama-550706
5. The Star Malaysia (thestar.com.my), 7 December 2025: Mom earns PhD as son graduates on same day
https://www.thestar.com.my/news/nation/2025/12/06/mom-earns-phd-as-son-graduates-same-day
6. Sin Chew Daily (sinchew.com.my), 7 December 2025: 峇敦胡先翁大学毕业礼 4915人高唱骊歌
https://johor.sinchew.com.my/news/20251206/johor/7089410
7. ChinaPress (chinapress.com.my), 7 December 2025: 年龄不是问题 母子一同毕业 成佳话
8. Sinar Bestari (sinarbestari.sinarharian.com.my), 8 Disember 2025: Ibu & anak rai kejayaan ‘konvo’ bersama
https://sinarbestari.sinarharian.com.my/my-ipt/ibu-anak-rai-kejayaan-konvo-bersama
9. Borneo Post (KK) (page: 2), 8 Disember 2025: Mother earns PhD as son graduates same day at UTHM

10. Remaja (remaja.my), 8 Disember 2025: “Rezeki Berjubah Bersama Anak” —Ibu & Anak Rai Detik Konvokesyen Paling Bermakna Bersama Di UTHM
