Oleh Noor Nasriq Selamat, Suriayati Baharom
BATU PAHAT – Graduan Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, Peter Ronaldie Anak Bender, 25 berjaya menembusi sektor teknologi antarabangsa apabila diterima bekerja sebagai Jurutera Projek di Syarikat Tesla, Texas, Amerika Syarikat.
Kisahnya bukan sekadar kejayaan kerjaya, tetapi juga perjalanan penuh pengorbanan kerana semasa pengajian, Peter merupakan anak yatim yang ditanggung sepenuhnya oleh ibunya tanpa pinjaman atau biasiswa.
Sokongan dan pengorbanan itulah yang menjadi asas kekuatan beliau untuk mengekalkan prestasi cemerlang di universiti.
Usaha kerasnya membuahkan hasil apabila pada tahun akhir pengajian, Peter menerima tawaran sebagai Jurutera Projek di Genetec Technology Sdn. Bhd., sebuah syarikat tempatan.
Hanya tiga bulan selepas memulakan tugas, beliau dipilih untuk menggalas tanggungjawab besar di luar negara.
Peter kemudiannya ditempatkan di Texas, Amerika Syarikat, bagi menyokong projek kritikal Tesla di Giga Texas.
Di sana, beliau berdepan cabaran pengurusan projek kompleks serta tekanan tarikh akhir setiap projek yang ketat daripada pelanggan global tersebut.
Menurut Peter, tugasnya menuntut koordinasi merentasi budaya dan zon masa.
“Sebagai jurutera projek, saya perlu menguruskan masa, cara kerja dan menentukan keutamaan dengan pasukan dari Amerika, Mexico dan Poland,” katanya.
Anak kelahiran Kuching, Sarawak itu turut menjelaskan bahawa komunikasi berkesan antara semua pasukan menjadi faktor penentu kejayaan projek.
Bagi Peter, pencapaian itu adalah hadiah terbesar untuk ibunya yang banyak berkorban.
Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa pencapaiannya membuktikan graduan UTHM mampu bersaing di pentas antarabangsa.
Kisah Peter wajar menjadi inspirasi bahawa graduan tempatan berpotensi besar untuk melangkah ke dunia global dengan semangat, disiplin dan asas pendidikan yang kukuh.

