Oleh Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Nor Haslinda Abas
TENOM – Graduan Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Mohd Syazwan Mukayat membuktikan keupayaannya menyertai projek empangan hidroelektrik berskala besar di Sabah hanya sebulan selepas menamatkan peperiksaan dan pengajian semester akhir pada Februari 2025.
Peluang tersebut diraih setelah Syazwan memulakan kerjayanya bersama Gamuda Conlay Consortium (Gamuda Engineering) sebagai Approval & Liaison Engineer.
Beliau kini terlibat secara langsung dalam Projek Ulu Padas Hydroelectric Project (UPHEP) yang terletak di daerah Tenom, Sabah, iaitu sebuah projek empangan hidroelektrik berskala besar milik Kerajaan Negeri Sabah yang dilaksanakan oleh Gamuda Conlay Consortium selaku Total Development Contractor.
Projek UPHEP dijangka menyumbang secara signifikan kepada keselamatan bekalan tenaga negeri Sabah serta menyokong agenda tenaga boleh diperbaharui dan pembangunan mampan negara.
Projek itu merupakan projek strategik negara yang merangkumi pembinaan pelbagai komponen infrastruktur utama termasuk empangan hidroelektrik, stesen janakuasa turbin berkapasiti 187.5 MW, terowong headrace serta kemudahan sokongan lain.
Dengan kapasiti tersebut, projek itu berpotensi membekalkan tenaga elektrik kepada puluhan ribu isi rumah di Sabah.
Sebagai Approval & Liaison Engineer, Syazwan memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran koordinasi teknikal dan pematuhan kelulusan pihak berkuasa sepanjang pelaksanaan projek.
Antara tanggungjawab utama beliau ialah menyelaras urusan teknikal bersama jabatan kerajaan seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), membentangkan kemajuan projek kepada JKR Ibu Pejabat dan Jabatan Ketua Menteri Sabah, melaksanakan penyeliaan tapak, mengurus penyerahan lukisan reka bentuk, dan menyemak lukisan teknikal perunding, serta berurusan dengan komuniti setempat berkaitan isu pampasan tanah.
Syazwan sebelum ini merupakan pelajar Projek Tahun Akhir (FYP) berorientasikan industri di bawah seliaan Dr. Mohd Hafizal Hanipah.
Penglibatan beliau dalam projek berskala besar itu mencerminkan keupayaan kurikulum FKAAB yang menekankan pembelajaran berasaskan masalah sebenar industri, sekali gus menyediakan graduan untuk menghadapi cabaran profesional secara efektif.
Beliau turut dibimbing oleh Penasihat Akademik dan Kerjaya (PAK), Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Abdul Halim Abdul Ghani yang juga berpengalaman luas dalam dunia industri.
Sementara itu, Dekan FKAAB turut merakamkan tahniah atas pencapaian tersebut serta menyifatkannya sebagai bukti keberkesanan ekosistem pembelajaran dan bimbingan akademik di fakulti.
“Kejayaan Syazwan membuktikan bahawa graduan FKAAB bukan sahaja memiliki pengetahuan teknikal yang kukuh, malah berupaya menyesuaikan diri dan menyumbang secara signifikan dalam projek infrastruktur berskala besar di peringkat nasional.
“Saya berharap pencapaian ini dapat menjadi inspirasi kepada mahasiswa FKAAB yang lain untuk terus berusaha, berdaya saing dan berani meneroka peluang kerjaya dalam industri kejuruteraan,” katanya.
Syazwan ketika ditemui turut menekankan kepentingan keyakinan diri dan integriti profesional.
“Yakinlah dengan diri sendiri kerana kita merupakan individu yang kompeten, selain berpegang teguh kepada ilmu yang telah dipelajari dan amalkan disiplin kejuruteraan dengan penuh integriti.
“Sentiasa berfikiran terbuka untuk menerima nasihat dan perkara baharu dalam bidang teknikal, dan jangan malu untuk meneroka peluang baharu demi pembangunan kerjaya,” katanya.


