Isu kebankrapan dalam kalangan golongan muda di Malaysia semakin membimbangkan dan wajar diberi perhatian serius oleh semua pihak. Berdasarkan data Jabatan Insolvensi Malaysia (MDI), sebanyak 2,776 kes kebankrapan akibat pinjaman peribadi direkodkan sepanjang tahun lalu, meningkat berbanding 2,225 kes pada tahun 2023. Majoriti kes ini melibatkan individu berusia antara 25 hingga 44 tahun, iaitu kelompok umur yang sepatutnya berada pada fasa paling produktif dalam kehidupan dan kerjaya mereka. Statistik ini jelas menunjukkan bahawa isu pengurusan kewangan dalam kalangan graduan dan pekerja muda berada pada tahap kritikal dan tidak boleh dipandang ringan.
Kebankrapan bukan sekadar isu kewangan peribadi, tetapi turut memberi implikasi besar terhadap kesejahteraan sosial dan kestabilan ekonomi negara. Individu yang diisytiharkan muflis berdepan sekatan dalam banyak aspek kehidupan seperti kesukaran mendapatkan pinjaman, peluang pekerjaan tertentu, malah tekanan emosi dan sosial yang berpanjangan. Dalam konteks negara, peningkatan kes kebankrapan golongan muda boleh menjejaskan produktiviti tenaga kerja dan melemahkan daya saing ekonomi jangka panjang.
Salah satu punca utama yang dikenal pasti ialah kelemahan dalam pengurusan kewangan peribadi, khususnya dalam kalangan graduan yang baru melangkah ke alam pekerjaan. Apabila menerima gaji pertama, ramai yang cenderung berbelanja tanpa perancangan yang jelas. Keghairahan menikmati kebebasan kewangan sering mengatasi keperluan untuk menabung, merancang perbelanjaan dan menyediakan simpanan kecemasan. Tanpa disiplin kewangan, pendapatan yang diterima tidak mampu bertahan hingga hujung bulan, apatah lagi untuk keperluan jangka panjang.
Golongan muda juga sering terpengaruh dengan gaya hidup mewah yang dipaparkan secara meluas di media sosial. Platform digital hari ini memaparkan kehidupan yang kelihatan sempurna, lengkap dengan kenderaan mewah, percutian ke luar negara, makanan eksklusif dan barangan berjenama. Tekanan sosial ini mendorong ramai pekerja muda untuk meniru gaya hidup tersebut walaupun hakikatnya ia tidak sejajar dengan kemampuan kewangan sebenar mereka. Akibatnya, pinjaman peribadi dan hutang menjadi jalan pintas untuk memenuhi kehendak, bukan keperluan.
Pengambilan pinjaman peribadi tanpa perancangan kewangan yang kukuh merupakan antara penyumbang terbesar kepada kebankrapan golongan muda. Ramai yang membuat pinjaman untuk tujuan tidak produktif seperti pembelian barangan mewah, majlis perkahwinan yang berlebihan atau perbelanjaan gaya hidup. Komitmen bulanan meningkat namun pendapatan tidak bertambah, mereka mula gagal membayar ansuran tepat pada masanya. Keadaan ini berlarutan sehingga membawa kepada tindakan undang-undang dan akhirnya pengisytiharan muflis.
Selain pinjaman peribadi, penggunaan kad kredit yang tidak terkawal turut menjadi punca utama masalah kewangan dalam kalangan pekerja muda. Kad kredit sering disalah anggap sebagai wang tambahan, sedangkan ia sebenarnya adalah hutang yang perlu dibayar semula dengan faedah tinggi. Ramai pemegang kad kredit hanya membuat bayaran minimum setiap bulan tanpa menyedari bahawa baki hutang akan terus meningkat. Perbelanjaan impulsif menggunakan kad kredit, terutamanya untuk hiburan dan barangan tidak perlu, menyebabkan hutang bertimbun dalam tempoh yang singkat.
Faktor lain yang tidak kurang penting ialah tahap literasi kewangan yang masih rendah dalam kalangan rakyat Malaysia, khususnya golongan muda. Ramai graduan tidak didedahkan secara formal kepada asas pengurusan kewangan seperti penyediaan bajet, pengurusan hutang, simpanan, perlindungan takaful dan pelaburan. Tanpa pengetahuan ini, mereka membuat keputusan kewangan berdasarkan emosi dan pengaruh persekitaran, bukan pertimbangan rasional dan jangka panjang.
Isu kos sara hidup yang semakin meningkat turut memburukkan keadaan. Harga rumah, sewaan, makanan dan perkhidmatan asas yang tinggi menyebabkan ramai pekerja muda bergelut untuk memenuhi keperluan harian. Bagi mereka yang mempunyai pinjaman pendidikan, ansuran kenderaan dan komitmen keluarga, tekanan kewangan menjadi lebih berat. Apabila pendapatan tidak mencukupi, pinjaman peribadi dan kad kredit digunakan untuk menampung kekurangan, sekali gus meningkatkan risiko kebankrapan.
Masalah kebankrapan golongan muda perlu ditangani secara menyeluruh dan bersepadu. Langkah pencegahan paling asas ialah memperkukuh pendidikan literasi kewangan sejak awal. Pendidikan pengurusan kewangan peribadi wajar diperkenalkan secara sistematik di peringkat sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi. Pelajar perlu didedahkan kepada realiti dunia kewangan sebenar sebelum memasuki alam pekerjaan agar mereka lebih bersedia mengurus pendapatan dan komitmen kewangan.
Kerajaan dan institusi kewangan juga perlu memainkan peranan lebih proaktif dalam meningkatkan kesedaran kewangan dalam kalangan belia. Program bimbingan kewangan, seminar dan kempen kesedaran perlu diperluaskan dengan pendekatan yang lebih praktikal dan mudah difahami. Institusi kewangan khususnya harus bertanggungjawab memastikan pelanggan memahami implikasi pinjaman dan penggunaan kad kredit sebelum produk kewangan ditawarkan.
Pada peringkat individu, disiplin kewangan adalah kunci utama kepada kestabilan jangka panjang. Graduan muda perlu mengamalkan perancangan kewangan yang berhemah dengan menetapkan bajet bulanan dan mematuhi perancangan tersebut. Amalan menyimpan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada pendapatan perlu dijadikan budaya, walaupun jumlahnya kecil. Simpanan kecemasan sekurang-kurangnya untuk tiga hingga enam bulan perbelanjaan juga penting bagi menghadapi situasi tidak dijangka.
Majikan turut boleh memainkan peranan penting dengan menyediakan latihan dan program kesedaran kewangan kepada pekerja, khususnya golongan muda. Program seperti perancangan persaraan, skim simpanan dan pelaburan pekerja boleh membantu meningkatkan kesejahteraan kewangan tenaga kerja. Pekerja yang stabil dari segi kewangan lazimnya lebih fokus, produktif dan setia kepada organisasi.
Di samping itu, syarat kelayakan pinjaman peribadi dan pemilikan kad kredit untuk golongan muda perlu diteliti semula. Penilaian kredit yang lebih ketat dan bertanggungjawab mampu mengelakkan individu yang belum bersedia daripada menanggung beban hutang berlebihan. Pendekatan ini bukan bertujuan menyekat, tetapi melindungi golongan muda daripada risiko kewangan yang lebih besar.
Kesimpulannya, isu kebankrapan dalam kalangan graduan dan pekerja muda adalah masalah serius yang memerlukan tindakan segera dan bersepadu. Tanpa pengurusan kewangan yang bijak, pendapatan yang baik sekalipun tidak menjamin kestabilan hidup. Oleh itu, pendidikan literasi kewangan, disiplin diri, sokongan institusi dan kesedaran kolektif perlu digembleng bagi memastikan generasi muda Malaysia mampu membina masa depan kewangan yang kukuh, stabil dan mampan. Generasi muda yang celik kewangan bukan sahaja memberi manfaat kepada diri sendiri, malah menjadi aset penting kepada pembangunan negara.

Profesor Madya Ts. Dr. Md Fauzi Ahmad
Pensyarah dan Penyelidik Kanan Pengurusan Teknologi Pengeluaran
Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
