Oleh Suriayati Baharom

BATU PAHAT – Festival Konvokesyen 2025 (FESTKON’25), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang berlangsung di Padang Kawad, kampus induk bermula pada 5 hingga 14 Disember ini menjadi acara wajib yang  menarik ribuan pengunjung ke kampus.

Pengerusi Jawatankuasa Induk FESTKON’25, Khairuddin Alias berkata festival itu diadakan bagi menarik masyarakat setempat berkunjung ke UTHM selain sebagai usaha merapatkan hubungan antara universiti dan komuniti serta endah antara satu sama lain melalui penganjuran aktiviti-aktiviti yang bermanfaat.

“Festival ini dimeriahkan dengan 120 lot gerai terdiri daripada pelbagai variasi jualan dan pengisian program anjuran kelab-kelab pelajar.

“Pelbagai aktiviti menarik disediakan antaranya jualan makanan berskala besar, kawasan riadah untuk kanak-kanak, jualan pakaian serta cenderamata, dan persembahan artis popular antaranya Datuk Ramli Sarip, Amir Masdi, Zamani dan kumpulan Iklim.

“Selain hiburan, festival itu turut menampilkan sesi perkongsian ilmu dan pengisian rohani bersama pendakwah-pendakwah disegani,” jelas beliau.

Istimewanya, FESTKON’25 juga bakal menjadi wadah Solidariti Palestin yang akan dianjurkan pada 11 Disember 2025, menjadikan festival itu bukan sekadar acara santai, tetapi penganjuran yang memberi impak positif dan sarat dengan nilai kemanusiaan.

Penganjuran tahun ini mendapat sokongan padu daripada RHB Bank dan Etiqa selaku penaja utama.

Tambah Khairuddin, kesemua acara dan program yang dianjurkan melibatkan beberapa golongan sasaran seperti komuniti tempatan dan antarabangsa, industri, kanak-kanak, pelajar sekolah dan juga universiti.

Sementara itu, Majlis Perasmian FESTKON’25 yang diadakan pada 6 Disember 2025 telah disempurnakan oleh Timbalan Speaker Dewan Negeri Johor, Datuk Haji Samsolbari Jamali, merangkap ADUN Semarang.

Kehadiran beliau mencerminkan hubungan erat antara UTHM dan kepimpinan setempat, seiring dengan tema FESTKON pada tahun ini iaitu “Universiti Wadah Jalinan Budi.”

 “Penganjuran FESTKON’25 ini diharap dapat menjadi platform untuk mengeratkan hubungan antara warga universiti dan masyarakat setempat serta terus mengangkat nama UTHM sebagai institusi yang memupuk kesatuan dan keharmonian,” kata Khairuddin.