Oleh Noor Nasriq Selamat, Suriayati Baharom

BATU PAHAT – Perjalanan getir selama lima tahun akhirnya membuahkan hasil apabila graduan Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP), Rafidah Rahmat, 41 berjaya menamatkan pengajian peringkat Doktor Falsafah Pengurusan Teknologi (PhD), lalu menutup sebuah episod kehidupan yang sarat dengan ujian.

Kejayaan itu hadir selepas beliau berdepan dengan tujuh pembedahan melibatkan organ dalaman, termasuk dua pembedahan besar yang menjejaskan kesihatan sepanjang tempoh pengajian. 

Dugaan pertama melanda pada tahun ketiga, memaksanya berulang-alik ke hospital dan menempuh rawatan yang memakan masa. 

Tidak lama kemudian, pembedahan kedua pada tahun berikutnya menjadikan proses pemulihan lebih panjang dan menyakitkan.

“Ada hari saya fikir perjalanan ini terlalu jauh untuk saya habiskan, tetapi setiap kali saya hampir rebah, saya teringat anak-anak dan doa ibu saya.

 Itulah yang menguatkan saya untuk melangkah lagi,” katanya.

Walaupun masih menjalani pemulihan, Rafidah meneruskan tanggungjawab sebagai Ketua Bahagian Teknologi Maklumat di sebuah agensi kerajaan. 

Beliau mengakui tekanan kerja kadangkala begitu mencabar, namun tetap digalas dengan komitmen penuh.

Kepulangannya ke rumah pula bukan ruang untuk berehat kerana Rafidah perlu menjaga ibu yang uzur di samping membesarkan empat orang anak, menjadikan hampir setiap malamnya diwarnai tuntutan keluarga dan pengorbanan yang tidak terlihat oleh sesiapa.

Dalam keletihan itulah tesisnya disiapkan, malamnya dihabiskan dengan menulis dan menganalisis data. 

Ada ketika salah seorang anak tertidur di pangkuannya, menghadirkan detik-detik mengharukan  dengan semangat yang tidak pernah padam.

Rafidah turut mengakui bahawa arwah bapanya menjadi sumber kekuatan sepanjang perjalanan ini.

“PhD ini hadiah saya untuk arwah abah, kerana saya selalu ingat pesanan abah bahawa ilmu itu bekal paling berharga,” ujarnya.

Segala jerih perih itu akhirnya terbayar di bilik viva apabila beliau membentangkan hasil kajiannya dengan tenang, membawa bersamanya cerita-cerita yang tidak tercatat dalam mana-mana bab di dalam tesis. 

Keputusan panel yang memihak kepadanya menandakan penamat sebuah perjuangan panjang yang dibina daripada air mata, doa dan ketabahan tanpa henti.

Kisah Rafidah menjadi peringatan bahawa kejayaan akademik bukan sekadar tentang kecerdikan, tetapi juga tentang hati yang kuat dan langkah yang tidak pernah berhenti, walaupun dunia seakan menariknya ke belakang.