Oleh Profesor Dr. Afandi Ahmad, Mohamad Firdaus Nasir
PAGOH – Penghujung tahun 2025 mencatat memori tersendiri buat warga kerja UTHM-Kampus Cawangan Pagoh (UTHM-KCP) apabila mereka sekali lagi berpeluang berkumpul bersama dan makan setalam setelah selesai Program Bersama Provost – Perhimpunan Warga UTHM-Kampus Cawangan Pagoh, Sukuan Keempat Tahun 2025.
Program yang berlangsung pada 18 Disember 2025 lalu adalah rutin yang telah digerakkan sejak tahun 2024 pada setiap sukuan dengan iltizam memperkukuh muafakat selari dengan naratif memimpin perubahan dan memacu kecemerlangan.
Dalam slot Amanat Provost, aktiviti secara cooperative learning iaitu perbualan ringkas dengan dua soalan, “apa khabar?” dan “apakah perkara yang paling disyukuri?” dicetuskan seawal Provost UTHM-KCP, Profesor Dr. Afandi Ahmad memulakan amanatnya.
Seluruh penjuru dewan meriah dan hangat seketika dengan perbualan ringkas tetapi mendalam, ceria dan memberi ruang serta peluang seluruh warga kampus mendekati rakan-rakan sekerja.
Walaupun aktiviti itu kelihatan ringkas, tetapi rata-rata memberikan maklum balas positif bahawa perbualan ringkas dan bermakna amat penting dalam memperkukuh hubungan positif di tempat kerja.
Meneruskan Amanatnya, Prof. Afandi mengangkat agenda kepentingan kecerdasan emosi di tempat kerja sejajar dengan Top 10 Fastest Growing Skills by 2030 yang telah dikeluarkan oleh Future of Jobs Report 2025 oleh World Economic Forum (WEF).
Memasuki fasa seterusnya ke arah menjayakan hala tuju UTHM sebagai Global Technopreneur University (GTU 2030), Prof. Afandi juga menitipkan pesan agar semua pihak terus belajar dan memperbaiki diri, mengambil kira cabaran dunia pekerjaan pada hari ini yang berteraskan kecerdasan buatan (AI), data raya dan pengalaman peribadi, serta tidak membenarkan sesiapapun kekal dalam zon selesa.
Program yang dihadiri bukan sahaja staf malah pemimpin mahasiswa itu juga diisi dengan majlis bacaan Yaasin dan tahlil, pengisian ilmu berkaitan perjuangan Palestin, penghargaan warga kampus dan dilengkapkan dengan aktiviti makan setalam bersama mesej yang ingin disampaikan.
Menurut Prof. Afandi, konsep makan setalam itu cuba diterapkan agar seluruh warga kampus terus memperkukuh muafakat dan persaudaraan, bersikap saling menghormati dan melengkapi.
“Ekosistem budaya kerja yang sihat amat penting pada era digitalisasi yang banyak diperangkap oleh tanggapan dan salah faham serta sikap mementingkan diri sendiri berbanding organisasi.
“Tanpa mengira peringkat jawatan dan kumpulan kerja, semua duduk makan bersama, berbual mesra di samping menginsafi bahawa dalam setiap rezeki, ada juga bukan milik kita dan mesti dikongsi bersama,” katanya.
Ringkasnya, aktiviti perhimpunan yang lazimnya kelihatan sekadar rutin atau peluang merekod jam latihan dan pulang awal kini diberi nafas baharu sebagai platform pembelajaran aktif untuk membawa semua bersama.
“Memimpin perubahan menuntut organisasi berperanan sebagai a learning organisation, serta semua warganya menjiwai sifir kepimpinan dan kepengikutan yang luar biasa, agar semuanya boleh berbicara dengan frekuensi dan pada muka surat sama.
“Demi UTHM yang disayangi, semua cabaran perlu kita depani dengan penuh bijaksana, selari dengan slogan Dengan Hikmah Kita Meneroka,” tambah Prof. Afandi.




