BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus membuktikan keunggulannya di peringkat nasional apabila pasukan pelajar dari Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP) berjaya merangkul gelaran ‘Juara Keseluruhan’ dalam pertandingan berprestij CIOB Malaysia Inter-University Students’ Challenge 2025 yang berlangsung di UCSI University Kuala Lumpur.
Pasukan yang mewakili Program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Teknologi (Pembinaan) (BPC) dan Program Ijazah Sarjana Pengurusan Teknologi Pembinaan (MPC) itu berjaya menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang pertandingan yang berlangsung dari Jun hingga Oktober 2025.
Bermula dengan penyertaan pada Jun, pasukan UTHM memenangi Challenge 1 yang menguji kebolehan pelajar menganalisis isu Kualiti dan MS ISO 9000 kepada industri pembinaan serta mencadangkan penyelesaian berasaskan prinsip kelestarian.
Momentum itu diteruskan dengan kemenangan dalam Challenge 2 pada September 2025 yang menilai kreativiti dalam aspek isu semasa pengurusan sumber projek terhadap Total Quality Management.
Sekali lagi kejayaan diraih dalam Challenge 3 pada Oktober 2025 apabila pasukan terbabit tampil dengan cadangan strategik kualiti serta berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) di tapak binaan.
Tiga kemenangan berturut-turut tersebut melayakkan pasukan UTHM mara ke peringkat akhir yang diadakan di UCSI University, yang akhirnya dinobatkan sebagai ‘Juara Keseluruhan’ CIOB Malaysia Inter-University Students’ Challenge 2025.
Dalam pertandingan akhir yang sengit itu, pasukan UTHM berjaya menewaskan tiga pesaing akhir utama daripada Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) yang menduduki tempat kedua dan Universiti Sains Malaysia (USM) di tempat ketiga.
Pasukan UTHM itu dibimbing oleh pensyarah berpengalaman, Ts. Dr. Mohd Hilmi Izwan Abd Rahim, dan dianggotai empat pelajar iaitu Nor Sabrina Syukriah Nor Azhar, Fakhrul Irfan Zulbahri, Muhammad Aiman Shahril Awaludin dan Nur Syazwani Abdul Rasid.
Menurut Dr. Hilmi, kejayaan itu merupakan hasil kerja berpasukan yang kukuh, disiplin tinggi, dan semangat tidak mudah menyerah dalam kalangan pelajar.
Tambah beliau pertandingan yang menghimpunkan penyertaan daripada pelbagai universiti awam dan swasta seluruh Malaysia seumpama itu bukan sahaja menguji kemahiran teknikal, tetapi juga membentuk nilai kepimpinan, etika kerja dan kemahiran insaniah yang selaras dengan aspirasi UTHM dalam melahirkan pelajar holistik.
Kemenangan itu juga mencerminkan keberkesanan pelaksanaan Model Graduan Holistik UTHM yang menekankan keseimbangan antara pengetahuan akademik, kemahiran insaniah dan nilai kemanusiaan.
“Melalui penglibatan dalam pertandingan seperti CIOB Challenge, pelajar berpeluang mengaplikasikan teori ke dalam amalan sebenar, mengasah kemahiran komunikasi, pemikiran kritikal serta daya tahan menghadapi cabaran.
“Aktiviti sebegini turut memperkukuh semangat kerja berpasukan dan keupayaan pelajar menyesuaikan diri dalam persekitaran kompetitif, sekali gus memenuhi keperluan industri pembinaan yang menuntut profesional berfikiran strategik dan inovatif,” katanya.
Sementara itu, Dekan FPTP, Prof. Madya Dr. Md Asrul Nasid Masrom turut mengucapkan tahniah atas kejayaan tersebut, sekali gus percaya bahawa pendekatan Project-Based Learning dan bimbingan berterusan oleh pensyarah mampu melahirkan pelajar berkualiti global.
“Kejayaan ini bukan sahaja menonjolkan kecemerlangan akademik, tetapi juga memperlihatkan nilai murni seperti semangat juang, kerja berpasukan dan rasa tanggungjawab sosial dalam kalangan pelajar,” katanya.
Kemenangan UTHM dalam CIOB Malaysia Inter-University Students’ Challenge 2025 bukan sekadar pengiktirafan kepada kecemerlangan akademik, tetapi juga simbol kejayaan dalam membentuk pelajar yang holistik dan berdaya tahan.
