Oleh Suriayati Baharom

PUTRAJAYA, 6 Nov 2025 – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mencatat sejarah tersendiri apabila dilantik secara rasmi oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebagai universiti peneraju sektor pengangkutan rel negara di bawah inisiatif Malaysia Railway Industrial Integration Initiative (MRI³).

Watikah pelantikan tersebut diserahkan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud kepada Naib Canselor UTHM, Profesor Dr. Mas Fawzi Mohd Ali ketika berlangsungnya Idea MALAYSIA (MyIDEAS) Session, Opening of Higher Education Institutions-Industry Summit (HEIs) and Launching Ceremony of MOHE Research and Industry-Infused Incubator (MRI³) yang diadakan di Putrajaya International Convention Centre (PICC).

Pelantikan itu mengiktiraf peranan UTHM sebagai institusi utama dalam memperkasa pendidikan, penyelidikan dan inovasi teknologi rel, sekali gus memperkukuh ekosistem rel negara melalui kerjasama erat antara akademia dan industri.

Menurut Prof. Mas Fawzi, pelantikan tersebut turut memperkukuh komitmen universiti dalam membangunkan sistem pengangkutan rel yang moden dan mampan, selari dengan aspirasi negara ke arah mobiliti hijau.

Antara inisiatif utama yang telah dilaksanakan termasuk penawaran Program Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Pengangkutan Rel (BNT) melalui Jabatan Teknologi Kejuruteraan Pengangkutan, penubuhan Metro System Academy (MSA) di Sungai Buloh sebagai pusat latihan industri, serta penubuhan Pusat Kecemerlangan Industri Rel (ICOE-REL) sebagai pusat penyelidikan dan konsultansi.

“UTHM juga aktif menjalin kerjasama strategik dengan syarikat industri rel utama dalam bidang latihan kemahiran, pemindahan teknologi dan penyelidikan mobiliti lestari.

“Malah, universiti turut menyumbang kepada agenda kesalinghubungan ASEAN melalui penyelidikan terapan dan penglibatan dasar dalam sistem logistik dan pengangkutan rel bersepadu,” kata Prof. Mas Fawzi.

Sebagai peneraju MRI³, UTHM mengetuai konsortium rel yang merangkumi institusi akademik seperti Kolej SPACE (Strategic Partnership and Continuing Education College), Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Advanced Technology Training Centre (ADTEC) Kuantan, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan Kolej Komuniti Masjid Tanah.

Manakala rakan industri pula terdiri daripada Malaysian Rail Technology (MRAIL Tech), Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Malaysia Rail Development Corporation (MRDC), East Coast Rail Link Maintenance (ECRL Maintenance), SMH Rail Sdn. Bhd., Rail Asia Sdn. Bhd., Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. dan Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp).

“Objektif utama konsortium itu adalah untuk memperkukuh jaringan kerjasama universiti-industri, menggalakkan penyelidikan bersama, serta mewujudkan laluan pembangunan bakat yang berintegrasi dengan keperluan industri rel negara,” tambah Prof. Mas Fawzi.

Terdahulu, bersempena penganjuran HEIs juga, satu sesi pertukaran dokumen perjanjian turut diadakan melibatkan lima kerjasama strategik UTHM bersama rakan industri iaitu BMI Roofing System Sdn. Bhd., Brillant Inspire Solutions (BIS), Synergy One Holding Sdn. Bhd., ASP PRO Sdn. Bhd. dan Cosmo Skills Sdn. Bhd.

Perjanjian tersebut bakal melibatkan kerjasama dalam aktiviti akademik, penyelidikan dan pembangunan serta program padanan industri.

Pelantikan itu sekali gus mengukuhkan kedudukan UTHM sebagai peneraju pendidikan teknikal negara dan pemacu utama dalam pembangunan sistem pengangkutan rel yang berdaya saing dan berimpak tinggi.

 

Berita ini juga diterbitkan di:

1. Malaysia Gazette (malaysiagazette.com), 12 November 2025: UTHM peneraju sektor pengangkutan rel negara di bawah Inisiatif MRI³

UTHM peneraju sektor pengangkutan rel negara di bawah Inisiatif MRI³