BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah bekerjasama dengan Jabatan Pertanian Malaysia serta beberapa agensi swasta yang lain bagi melatih lebih 100 juruterbang dron yang kompeten dalam kalangan pegawai Jabatan Pertanian Malaysia dan petani.

Inisiatif yang diambil selama dua bulan itu bertujuan melahirkan tenaga kerja mahir dalam bidang dron serta membantu memastikan keterjaminan makanan negara melalui pelaksanaan pelbagai kursus kompetensi.

Jabatan Pertanian Malaysia Negeri Johor antara yang paling aktif menyertai inisiatif tersebut dengan menghantar hampir 30 pegawai pertanian dan petani Johor.

Kesemua peserta terbabit berjaya memperoleh Sijil Kompetensi Juruterbang Kawalan Jauh yang diiktiraf oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) setelah lulus ujian teori dan praktikal yang ditetapkan.

Inisiatif itu merupakan hasil kerjasama erat antara kedua-dua pihak dalam memperkasakan sektor pertanian melalui penerapan teknologi moden.

Latihan itu juga mencerminkan komitmen bersama dalam meningkatkan produktiviti, keberkesanan pemantauan tanaman serta memperkukuh pengurusan ladang secara moden dan berteknologi tinggi.

Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Johor, Haji Yosri Mohd berkata kerjasama strategik itu membuktikan kepentingan integrasi teknologi moden dalam amalan pertanian tradisional.

“Kerjasama dengan Avitex Solution, yang merupakan Organisasi Latihan Juruterbang Kawalan Jauh (RPTO) UTHM membuka peluang kepada pegawai pertanian serta petani Johor untuk menguasai teknologi dron yang terbukti mampu meningkatkan hasil, mengurangkan kos operasi dan menjadikan sektor pertanian negeri lebih berdaya saing.

“Melihat kepada impak positif ini, Jabatan Pertanian Johor berhasrat untuk meneruskan kolaborasi ini pada masa hadapan, malah akan mengangkat projek ini sebagai sebahagian daripada Program Rancangan Johor Lima Tahun (RJ5T) 2026–2030,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Bertanggungjawab RPTO, Prof. Madya Dr. Mohammad Zulafif Rahim pula berkata inisiatif itu mengukuhkan peranan universiti dalam menyokong sektor pertanian melalui pemindahan ilmu dan kepakaran teknologi terkini.

“Latihan kompetensi dron kepada pegawai pertanian dan petani bukan sahaja meningkatkan keupayaan individu, malah memberi impak positif kepada sektor pertanian secara keseluruhan, khususnya dalam aspek pemantauan tanaman, penggunaan baja, racun serta strategi pengurusan ladang yang lebih efisien,” katanya.

UTHM dan Avitex Solution, sebagai Organisasi Latihan Juruterbang Dron yang diiktiraf Civil Aviation Authority of Malaysia (CAAM), akan terus komited menyediakan latihan berkualiti tinggi kepada masyarakat, industri dan sektor kerajaan, khususnya dalam bidang pertanian yang menjadi salah satu tonggak pembangunan negara.