Tanggal 20 November 2025, genaplah 10 tahun usia pemasyhuran Masjid Sultan Ibrahim Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM). Hari ini, masjid ikonik yang terletak di kampus Parit Raja ini terus menjadi simbol penyatuan antara rohani, ilmu dan teknologi, seiring aspirasi universiti membangunkan modal insan berteraskan paradigma tauhid.
Masjid yang dibina bermula pada tahun 2008 dan siap pada 2011 ini telah digunakan secara rasmi untuk solat Jumaat selepas acara pemasyhuran yang disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar pada 20 November 2015 bersamaan 6 Safar 1437H. Dengan kapasiti sekitar 3,000 jemaah, menjadikannya antara masjid terbesar di daerah Batu Pahat dan Negeri Johor Darul Ta’zim.
Masjid Sultan Ibrahim yang menelan belanja RM29 juta ini tidak pernah dianggap sekadar bangunan ibadat, sebaliknya sebuah pusat tamadun kecil yang mempertemukan ibadah, kesarjanaan dan kebajikan.
Masjid ini dibangunkan berlandaskan semangat Surah at-Taubah ayat 18 bahawa yang mengimarahkan masjid ialah mereka yang beriman. Lalu, universiti menterjemahkan ayat ini dengan menjadikan masjid sebagai nadi kegiatan kerohanian, akademik dan pembangunan komuniti.
Sebagai institusi pengajian tinggi teknikal dan vokasional, UTHM telah meletakkan “paradigma tauhid” sebagai asas kepada misi dan visi universiti. Paradigma ini menekankan bahawa ilmu dan amalan hendaklah berteraskan kesatuan‐keesaan Tuhan (tauhid) dan membawa manfaat kepada manusia dan alam.
Antara nilai teras yang diangkat ialah amanah, siddiq (kebenaran), fathanah (kebijaksanaan) dan tabligh (penyebaran), yang dijadikan DNA bagi staf dan pelajar UTHM. Dengan itu, maka setiap aktiviti akademik, penyelidikan, kemahiran teknikal, khidmat masyarakat, termasuk pembinaan, pengurusan dan penggunaan infrastruktur kampus, dipandang melalui lensa tauhid, bukan sekadar keberkesanan duniawi, tetapi keberkatan ukhrawi turut diutamakan.
Falsafah paradigma tauhid yang menjadi DNA warga UTHM turut terjelma dalam reka bentuk dan fungsi masjid ini. Paradigma tauhid menekankan kesatuan antara ilmu, akhlak, teknologi dan amanah – prinsip yang memandu setiap warga memaknai tugas sebagai khalifah di bumi.
Firman Allah dalam Surah adh-Dhariyat ayat 56 mengingatkan bahawa tujuan penciptaan manusia adalah semata-mata untuk pengabdian kepada Allah SWT. Justeru, segala usaha akademik, penyelidikan dan inovasi di universiti ini mesti kembali kepada nilai tauhidik yang berpusat kepada keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT. Oleh sebab itulah, masjid ini menjadi sebuah pusat yang menyatukan roh kepada ilmu.
Reka bentuk masjid yang diilhamkan oleh M & R Architects Sdn. Bhd. ini menggabungkan ruang ibadah, dewan seminar, pusat sumber dan fasiliti pembelajaran dilihat memperkukuhkan hubungan rapat antara rohani dan intelektual.
Keseluruhan bangunan masjid ini menghasilkan bentuk bulan dan bintang yang menjadi simbol keagungan Islam sebagai agama suci. Bentuk bintang lapan bucu yang terdapat pada bahagian bumbung adalah berasaskan daripada empat sifat mulia Nabi Muhammad SAW yang diwarisi oleh empat orang khalifah Al-Rasyidin. Empat sifat tersebut adalah Siddiq, Amanah, Tabligh, dan Fatanah. Manakala empat sahabat dan khalifah nabi yang mewarisinya adalah Saidina Abu Bakar, Saidina Umar, Saidina Uthman dan Saidina Ali.
114 kaki ketinggian menara masjid ini melambangkan 114 surah dari ayat-ayat al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW. Tiga “crownest” pula melambangkan 3 maqam ada pada manusia iaitu Islam, Iman & Ihsan.
Bagi memperkasakan peranan Masjid Sultan Ibrahim ini, konsep Masjid Sejahtera telah diperkenalkan pada tahun 2024 merujuk kepada konsep pembangunan masjid yang berteraskan pendekatan kesejahteraan yang holistik berasaskan Maqasid Syariah.
Konsep ini membawa maksud bahawa masjid bukan hanya tempat ibadah ritual, tetapi pusat pembangunan insan, penyelesaian masalah masyarakat, dan pemerkasaan spiritual, intelektual serta sosial.
Ciri-ciri utama Masjid Sejahtera ini merangkumi:
- Masjid sebagai pusat pembinaan akhlak dan integriti,
- Masjid sebagai pusat ilmu dan penyebaran dakwah
- Masjid yang mesra komuniti
- Masjid yang mempromosikan kesejahteraan mental & spiritual
- Masjid yang berfungsi sebagai pusat penyelesaian isu sosial
- Masjid yang meraikan kepelbagaian dan inklusiviti
Pelaksanaan konsep Masjid Sejahtera ini diterjemahkan dalam bentuk penganjuran pelbagai aktiviti dan acara yang menerapkan ciri-ciri tersebut. Untuk rekod, pada tahun 2024 Masjid Sultan Ibrahim yang secara pentadbirannya diuruskan oleh Pusat Islam, telah melaksanakan 130 aktiviti, manakala bagi tahun 2025 ini, sehingga bulan November, sebanyak 140 program telahpun dilaksanakan. Angka ini menunjukkan betapa usaha serius dan berterusan untuk memakmurkan masjid serta syiar Islam di UTHM sentiasa diberi keutamaan.
Selain menganjurkan pelbagai program kerohanian dan ibadah, Pusat Islam turut giat mengadakan pelbagai program dan aktiviti kemasyarakatan seperti program tahunan Jalinan Ukhuwah Masjid dan Surau (JUMS), Prihatin Asnaf dan Ibadah Korban Perdana. Program program seperti ini sudah pastinya mendekatkan masjid dengan masyarakat sebagai salah satu usaha dakwah yang berterusan.
Sempena ulang tahun ke-10 pemasyhuran masjid ini, Pusat Islam baru-baru ini telah menganjurkan program MSI Sedekad yang menyantuni pelbagai peringkat usia dan latar belakang ahli kariahnya. Sepanjang empat hari program dilaksanakan, ribuan warga universiti dan penduduk sekitar telah datang ke masjid bagi menyertai 20 aktiviti yang dilaksanakan. Aktiviti-aktiviti yang yang dianjurkan merentas pelbagai aspek; kerohanian, kesenian, intelek dan rekreasi.
Tempoh 10 tahun ini hanyalah permulaan. Misi kita ialah untuk memastikan masjid ini terus menjadi mercu tanda paradigma tauhid UTHM. Tempat yang bukan sahaja membangunkan intelektual, tetapi membentuk jiwa dan nilai yang memandu generasi akan datang.
Masjid Sultan Ibrahim kini berdiri bukan hanya sebagai bangunan indah di dalam kampus, tetapi menjadi saksi bahawa UTHM bertekad mengintegrasikan kemajuan teknologi dengan kekuatan spiritual serta sebagai simbol paradigma tauhid dan penyatu warga UTHM.

Shafry Salim
Pengarah Pusat Islam
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
