Oleh Profesor Madya Dr. Fadillah Ismail

BATU PAHAT, 11 Nov 2025 — Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan kerjasama Sekolah Menengah Kebangsaan Ayer Baloi telah melancarkan Program Roselle Young Agropreneur, satu inisiatif pendidikan berasaskan inovasi sosial dan pembelajaran autentik yang bertujuan melahirkan agropreneur muda berdaya saing.

Program yang diketuai oleh Profesor Madya Dr. Fadillah Ismail itu dibiayai oleh Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) melalui inisiatif KOMUNITI @ UniMADANI dengan peruntukan sebanyak RM70,000.

Ia melibatkan penyertaan 65 pelajar tingkatan dua termasuk pelajar Pendidikan Khas, 13 guru dan lapan pensyarah UTHM sebagai mentor, serta rakan kolaboratif seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), ASD Training & Consultancy, UNISMUH Indonesia dan TRANSFORM@UTHM.

Fokus utama program adalah penanaman roselle berskala kecil merangkumi keseluruhan rantaian nilai pertanian, dari penyediaan tanah hingga pemasaran produk bernilai tambah.

Dalam tempoh enam bulan, sebanyak 120 kilogram bunga roselle berjaya dihasilkan dan dipasarkan kepada FAMA, sekali gus menjana pendapatan baharu serta modal pusingan sekolah.

Program itu turut menyumbang kepada Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) seperti pendidikan berkualiti, pertumbuhan ekonomi, inovasi, pengeluaran bertanggungjawab, tindakan iklim dan kehidupan di darat. Pendekatan Project-Based Learning (PBL) yang diterapkan telah meningkatkan minat pelajar terhadap bidang pertanian dan keusahawanan serta membentuk nilai tanggungjawab dan kelestarian.

Pengetua SMK Ayer Baloi, Andik Radhiah A.Aziz berkata program itu bukan sekadar menanam roselle, tetapi usaha menanam keberanian, kecekalan dan potensi pelajar untuk menjadi agropreneur muda yang berilmu dan berdaya tahan.

Sementara itu, Dekan Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, UTHM, Prof. Madya Dr. Md Asrul Nasid Masrom inisiatif itu menjadi contoh terbaik bagaimana ilmu, inovasi sosial dan kerjasama strategik mampu mengubah realiti kehidupan masyarakat akar umbi.

Program itu turut menghasilkan Modul Penanaman Roselle Berskala Kecil dan dua penerbitan ilmiah, serta menarik minat agensi kerajaan dan industri untuk memperluas pengeluaran dan pemasaran produk roselle.

UTHM kini dilihat sebagai peneraju dalam pendidikan komuniti lestari dan pembangunan ekonomi hijau selari dengan aspirasi Malaysia MADANI.